Mitsubishi Xpander kini telah diberikan sedikit kemaskini estetika bagi pasaran Indonesia. MPV berkenaan, atau lebih kerap dirujuk sebagai Low Multi-Purpose Vehicle (LMPV) kini menerapkan penampilan baru merangkum semua varian yang ditawarkan, termasuk GLX, GLS, Exceed, Sport dan Ultimate.

Luarannya, Xpander menerima sedikit perubahan pada gril Dynamic Shield yang digunakan, kini dengan logo Mitsubishi yang lebih besar dan lengkung baru di tengahnya, serta penggunaan hon baru bagi semua varian.

Perbezaan antara varian pula, GLS dan Exceed ditawarkan dengan kemasan gril hitam berkilat, sementara dari Exceed ke atas, ia kini dilengkapi dengan rim 16-inci dwi-tona, lampu utama LED, antena “shark fin” serta penyah-kabus dan sensor belakang. Bagi varian Sport, kini terdapat kamera undur dan gril krom, begitu juga dengan gril varian Ultimate.

Bahagian dalam pula, corak baru dikenakan pada kerusinya seperti yang ditawarkan pada varian Exceed dan Ultimate, sementara Sport menerima tempat duduk hitam dengan corak baru. Kemasan warna perak pada Sport serta kemasan kayu pada Exceed dan Ultimate juga telah menerima rekaan baru. Skrin sentuh tujuh-inci pada head unit serta enam pembesar suara kini ada pada Sport dan Ultimate. Selebihnya kabin kekal sama.

Bagi unit penjanaan kuasa pula, ia masih kekal sama dengan penggunaan enjin 4A91 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 104 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm pada 4,000 rpm. Ini digandingkan pula dengan kotak gear manual lima-kelajuan atay automatik empat-kelajuan pacuan roda depan. Harga bagi Xpander yang dikemaskini berkenaan bermula dari 215.8 juta Rupiah (RM65,504) dan varian paling tinggi 272.1 juta Rupiah (RM82,593).