Perodua Myvi facelift dibuka untuk tempahan – harga RM46k-RM59k, ADAS dari Ativa, lebih jimat petrol

Perodua Myvi <em>facelift</em> dibuka untuk tempahan – harga RM46k-RM59k, ADAS dari Ativa, lebih jimat petrol

Gambaran Perodua Myvi facelift 2022 oleh Theophilus Chin berdasarkan gambar intipan yang bocor

Selepas terdedah ketika penggambaran iklan bulan lalu, hari ini Perodua mengumumkan bahawa Myvi dalam versi facelift 2022 kini sudahpun boleh ditempah oleh pelanggan. Ini merupakan kali pertama Myvi generasi ketiga ini menerima penyegaran rupa selepas dilancarkan pada penghujung 2017, dan ia turut menerima pelbagai tingkat taraf teknologi.

Menurut Perodua, Myvi facelift 2022 ini akan dijual pada harga bermula dari RM45,700 hingga RM58,800. Angka-angka yang disebut berkenaan adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

Kali ini sistem bantuan keselamatan pemanduan Advance Safety Assist sekali lagi diberikan peningkatan berbanding kemaskini pada tahun 2020 – ia kini menerima sistem penuh Perodua Smart Drive Assist (PSDA) sama seperti Perodua Ativa. Menurut Perodua, sistem PSDA berkenaan menawarkan “keselamatan pintar” memebolehkan pemandu “sentiasa peka dengan bantuan pemanduan sekeliling yang mengesan halangan”.

Perodua menyatakan bahawa sistem PSDA akan diberikan kepada semua varian dengan enjin 1.5L, serta salah satu varian 1.3 G. Belum dinyatakan sistem-sistem yang bakal dihimpunkan pada pakej PSDA Myvi berkenaan, namun pada Ativa ia terdiri dari sistem Amaran Keluar Lorong, Pengelak Keluar Lorong, Adaptive Cruise Control, Kawalan Kekal Lorong dan Pemantau Titik Buta.

Ativa juga menerima sistem lain seperti Bantuan Parkir (penderia hadapan/belakang, kamera undur, amaran lintasan trafik belakang) dan juga Bantuan Lampu Hadapan (lampu tinggi automatik atau adaptif, bergantung pada varian. Adakah Myvi juga akan menerima kesemua perincian dari Ativa ini? Sama-sama kita tunggu.

Menerusi satu gambar teaser bahagian dalaman Myvi facelift ini, dapat diperhatikan ia masih menggunakan papan pemuka yang sama tetapi diberikan pelbagai perincian yang tidak ada pada model sebelumnya. Antaranya adalah kemasan merah di sekeliling liang pendingin hawa, tetapi apa yang lebih menarik adalah pemadanan roda stereng dari Ativa (dengan butang kawalan sistem bantuan pemanduan di sebelah kanan), serta perumah besar untuk kamera stereo pada bahagian atas cermin hadapan bersama kamera perakam digital di sebelahnya.

Model facelift ini akan ditawarkan dalam varian tertinggi 1.5 AV, menurun kepada 1.5 H, 1.5 X dan dua varian paling rendah 1.3 G – seperti juga Proton Iriz facelift 2022, Myvi juga kini tiada lagi varian dengan kotak gear manual lima kelajuan.

Gambar intipan Perodua Myvi facelift 2022 yang bocor

Pengumuman yang dibuat hari ini masih tidak menyebut berkenaan penukaran kotak gear dari 4AT pada model sedia ada kepada CVT seperti yang dilaporkan sebelum ini. Namun ia ada menyatakan bahawa model kemaskini tersebut bakal menampilkan penggunaan bahan api lebih baik.

“Kami juga telah meningkatkan kecekapan bahan api bagi Myvi baharu di mana ia kini mampu mencapai sehingga 22.2 km/l (diuji pada varian 1.3L) dari 21.1 km setiap liter sebelum ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Penambahbaikan ini mewakili usaha kami dalam memenuhi jangkaan para pelanggan kami yang semakin meningkat dan pada masa yang sama menawarkan nilai yang lebih hebat dengan memperkenalkan Standard Terbaharu untuk model paling diterima di Malaysia, Perodua Myvi,” tambahnya lagi

Myvi facelift 2022 ini juga turut akan diperkenalkan dalam warna baharu iaitu Cranberry Red khas untuk varian AV, bersama warna lain termasuk Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak ditawarkan untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required