Perodua hari ini mengumumkan bahawa mereka telah mengemaskini model Myvi untuk versi 2020 dengan ciri keselamatan dipertingkat pada varian terpilih serta penawaran satu lagi warna badan baharu. Model yang disegarkan ini juga telah diumumkan boleh ditempah bermula hari ini.
Bermula sekarang, sistem bantuan pemanduan Advanced Safety Assist (ASA) pada Myvi telah dipertingkatkan dengan sistem ASA 2.0, sama seperti pada Perodua Aruz, Axia facelift dan juga Bezza facelift. Malah sistem ASA 2.0 kini bukan sahaja diberikan pada model tertinggi 1.5 AV, ia juga hadir standard pada varian 1.5 H dan opsyen dengan bayaran tambahan untuk varian 1.3 X.
Sistem ASA 2.0 ini masih menawarkan pakej sistem yang sama iaitu Pre-collision Warning (PCW), Pre-collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC), tetapi fungsi untuk sistem ini telah dipertingkatkan.
Antara peningkatan tersebut termasuk penambahan sistem Pengesan Pejalan Kaki yang berfungsi sehingga 50 km/j, manakala kelajuan operasi PCW dan PCB ditingkatkan masing-masing kepada 100 km/j dan 80 km/j. Lebih perincian untuk sistem ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Selain dari kemasikini sistem ASA, Myvi juga kini ditawarkan dengan warna baharu Electric Blue untuk semua varian, sama seperti yang ditawarkan pada Daihatsu Sirion 2020 pasaran Indonesia yang diperkenalkan pada Mac lalu. Warna Ivory White, Glittering Silver, Lava Red dan Granite Grey juga kini ditawarkan untuk semua varian Myvi, kecuali untuk varian 1.3 G.
Untuk lain-lain perincian, kelengkapan yang ditawarkan pada Myvi untuk setiap varian masih lagi kekal sama. Perodua Myvi dijual pada bermula RM41,292 untuk varian asas 1.3 G MT (satu-satunya varian yang diberikan transmisi manual), dan RM43,029 untuk 1.3 G AT.
Manakala untuk varian 1.3 X, ia akan dijual pada harga RM44,959 dan pelanggan perlu menambah bayaran sebanyak RM2k sekiranya mahu ia dilengkapkan dengan sistem ASA 2.0, menjadikan harga keseluruhan RM46,959. Model 1.5 H yang kini sudah standard dengan ASA 2.0 pula dijual pada harga RM50,530, manakala varian tertinggi Myvi 1.5 AV dijual pada harga RM52,697. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan.
Lebih perincian berkenaan Perodua Myvi 2020 ini termasuk perbezaan setiap varian, anda boleh rujuk di laman Carbase.my.
GALERI: Perodua Myvi 1.3 X dengan ASA 2.0
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.