Model konsep Myvi GT yang dipamerkan di KLIMS 2018

Bulan depan, Perodua Myvi generasi ketiga akan mencecah umur empat tahun di dalam pasaran. Disebabkan itu, model facelift dijangka tiba tidak lama lagi, dan berdasarkan informasi yang diterima, ia mungkin berlaku seawal bulan hadapan.

Perincian berkenaan model facelift D51A ini masih lagi kabur, tetapi maklumat yang disampaikan oleh Perodua kepada rangkaian pengedarnya mendedahkan bahawa terdapat perubahan besar, melibatkan transmisi baru – unit automatik empat kelajuan E-AT sekarang akan diganti dengan CVT bagi semua varian.

Berdasarkan dokumen yang kami lihat, barisan Myvi FL ini masih akan ditawarkan dalam empat varian – satu 1.3 G dan tiga varian 1.5 liter iaitu X, H dan AV. Dalam senarai kelengkapannya, semua menggunakan transmisi CVT.

Sebelum ini memang sudah ada khabar angin yang menyatakan ketibaan CVT ini sebagai pengganti, tetapi sepatutnya untuk model 1.5L sahaja. Sekarang, ia menunjukkan model 1.3L juga menerima transmisi yang sama sementara transmisi manual lima kelajuan tiada lagi dalam senarai. Walaupun tidak dinyatakan, kita boleh menjangka CVT ini adalah unit D-CVT sama seperti Ativa.

Enjin mungkin tidak berubah, iaitu unit 1NR-VE 1.3 liter dengan kuasa 94 hp dan 121 Nm, serta 2NR-VE berkuasa 102 hp dan 136 Nm tork. Penampilan model popular ini sudah tentu akan juga diberi penyegaran, tetapi tidaklah sehingga menjadi seperti model Myvi GT Concept yang ditunjukkan di atas.

Satu lagi perubahan ketara adalah pada sistem keselamatan, berasaskan “teknologi Ativa”, yang bermakna Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 pada Myvi sekarang akan dipertingkat kepada ASA 3.0 bagi model facelift. Kita boleh menjangka ciri seperti Pre-collision Warning (PCW), Pre-collision Braking (PCB or AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) disediakan pada varian H dan AV Myvi FL yang lebih tinggi.

Akhir sekali, model facelift ini juga akan diperkenalkan dengan warna baru, iaitu Cranberry Red, tetapi hanya untuk varian 1.5 AV. Warna lain yang ditawarkan adalah Ivory White, Glittering Silver, Granite Grey dan Electric Blue.

Pertukaran kepada transmisi CVT ini juga berkemungkinan membawa kepada peningkatan harga – seperti yang tertera dalam dokumen yang dihantar – tetapi kita cuma akan mengetahui sepenuhnya apabila ia dilancarkan secara rasmi nanti. Apakah pendapat anda dengan Myvi yang menggunakan CVT? Adakah ia bersesuaian dan akan membantu menambah populariti model ini? Atau sebaliknya?