Ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini, Perodua turut menayangkan sebuah Myvi yang diubahsuai, menampilkan rupa yang lebih garang dan sporty di gelar Myvi GT. Model yang diasaskan dari versi tertinggi 1.5 Advance berkenaan diberi pelbagai sentuhan semula yang bukan sahaja nampak agresif, malah turut kelihatan sangat premium – namun ia bukan untuk dijual, hanya sekadar ‘show car‘ yang dibuat khas untuk KLIMS tahun ini.

Jika sebelum ini ramai yang mengatakan bahagian belakang Myvi kelihatan seperti Volkswagen Golf, menerusi versi GT ini, bahagian muka hatchback tersebut diberikan sentuhan seakan Golf GTI. Ia dibekalkan gril hitam berkilat dengan jalur merah merentanginya, kemudian jalur berkenaan kelihatan seakan bersambung dengan lampu hadapan.

Bahagian bampar direka begitu agresif dengan tiga bahagian liang udara yang besar bersama sepasang lampu LED melintang di atasnya, manakala splitter udara yang begitu lebar diletakkan pada bahagian bawah.

Rim 17-inci lima-jejari berkembar berwarna hitam, dibaluti tayar Bridgestone Potenza Adrenalin RE003 bersaiz 205/40R17 dilengkapkan pada Myvi GT ini. Apa yang lebih menarik perhatian adalah set brek Brembo pada keempat-empat roda yang begitu menyerlah, bersama cakera berliang yang ditebuk.

Namun dengan rim yang lebih lebar dan set brek yang lebih besar memerlukan set spacer dipadankan pada hab tayar tersebut, bagi mengelakkan rim bersentuh dengan angkup brek, dan secara tidak langsung menyebabkan ia terjojol keluar. Jadi, Perodua telah memadankan set overfender pada keempat-empat ruang roda bersama skirt sisi yang lebih labuh. Dengan set spring yang merapatkan lagi badannya ke permukaan jalan, stance Myvi ini kelihatan begitu agresif.

Bumbung Myvi GT ini turut menerima sunroof dan juga spoiler yang lebih besar di belakang, manakala lampu belakang asal Myvi ditukar dengan lampu yang dilengkapkan dengan lensa putih sepenuhnya, bersama unit LED untuk grafik di dalam. Bampar belakang juga menerima sentuhan semula dengan kemasan seakan diffuser bersama lampu kabus di bahagian tengah dan turut menempatkan dua tip ekzos krom pada kedua-dua sisi (belah kiri adalah tip palsu).

Keseluruhan badan Myvi ini disembur dengan warna putih, manakala bahagian kit badan tambahan diberikan kemasan kelabu gelap bersama jalur merah. Pada bahagian sisi tengah pula, set jalur badan berwarna kelabu diberikan.

Lebih kejutan diberikan pada bahagian kabin Myvi GT ini. Roda stereng asal Myvi digantikan dengan unit custom, menampilkan rekaan rata di bawah, pemegang yang diperbuat dari gentian karbon bersama balutan Alcantara dan serlahan jahitan merah, membuatkan ia kelihatan seperti roda stereng dari Mercedes-AMG.

Papan pemuka turut menerima balutan Alcantara pada bahagian atas, bersama kemasan-kemasan serlahan berwarna merah. Tempat duduk bucket diberikan pada bahagian hadapan, manakala di belakang hanya boleh memuatkan dua orang penumpang kerana bahagian tengahnya diberikan ruang untuk meletakkan barang. Kesemua tempat duduk tersebut diberikan balutan gabungan kulit dan Alcantara hitam, bersama jalur-jalur dan jahitan berwarna merah.

Elemen warna merah-hitam lain turut diberikan pada tombol gear, karpet kaki (dengan sulaman GT) dan juga panel pintu – bahagian terakhir tersebut juga diberikan kemasan berbalut Alcantara.

Tiada ubahsuai mekanikal diberikan pada Myvi GT ini, jadi ia dipercayai masih dijana enjin 2NR-VE berkuasa 102 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm, bersama kotak gear automatik empat kelajuan elektronik E-AT.

Lain dengan Myvi generasi pertama dan kedua, model generasi ketiga ini dibangunkan sendiri oleh Perodua tanpa saduran dari model Toyota Passo dan Daihatsu Boon generasi terkini. Jadi dalam dunia modifikasi, tentunya cara mengubahsuai Myvi kini sudah pun berubah tanpa berpandukan dunia JDM. Bagi pemilik Myvi diluar sana, Myvi GT ini mungkin boleh menjadi salah satu inspirasi untuk mengubahsuak kereta anda, selain dari Myvi Abang Liey Misai dengan pintu Lamborghini yang kami paparkan sebelum ini.