Perodua Myvi, tapi pintu buka macam Lamborghini!

Perodua Myvi, tapi pintu buka macam Lamborghini!

Sejak dari wujudnya Perodua Kancil, ‘kiblat’ modifikasi kereta-kereta berjenama Perodua tidak pernah lari dari ubahsuai untuk mentransformasikannya kepada sebuah model JDM sebenar. Kancil menjadi Mira, Kenari menjadi Move, Myvi menjadi Boon/Toyota Passo dan begitulah seterusnya.

Namun dua model terakhir Perodua – Bezza dan Myvi generasi ketiga – jenama automotif nasional kedua tersebut mula menghasilkan kereta-kereta yang lebih original, berbeza dari banyak aspek dari model-model JDM Daihatsu. Bagi Myvi generasi baharu, sudah banyak artikel dan video yang kami sajikan sebelum ini dan memberitahu ia kini bukan lagi model yang diasaskan dari Boon atau Passo, sebaliknya kerangka asal dibina dengan penambahbaikkan dari Myvi generasi kedua dan bahagian upper body pula hampir keseluruhannya adalah rekaan Perodua sendiri.

Jadi adakah ini akan menyebabkan pengubahsuaian Myvi tidak lagi akan menjadi kegilaan seperti generasi-generasi seterusnya? Nampaknya tidak, kerana walaupun ia bukan lagi model jelmaan JDM, produk-produk aftermarket untuk Myvi ini begitu pantas muncul dipasaran walaupun usia model ini belum lagi sampai setahun. Myvi milik Abang Liey dari Kuala Lumpur ini antara contoh bagaimana anda boleh mengubahsuai Myvi generasi ketiga bagi membezakannya dari kebanyakkan Myvi lain di atas jalan raya.

Perodua Myvi, tapi pintu buka macam Lamborghini!

Abang Liey memilih model 1.5 High lengkap dengan kit badan asli Gear Up sepenuhnya sebagai asas projek ini. Perkara pertama yang membezakan kereta Abang Liey ini dengan Myvi yang lain adalah pengubahsuaian pada pintu hadapannya – bukaan keatas seperti pintu model-model Lamborghini, atau lebih spesifik digelar sebagai Scissors Door (pintu gunting).

Menurut Abang Liey, bagi membolehkan pintu tersebut dibuka sedemikian rupa, kit hinge atau engsel pintu khas perlu digunakan. Abang Liey memilih untuk memadankan kit universal jenis satu penyerap (damper) tanpa pengubahsuaian pada fender hadapan. Pengubahsuaian ini dipilih kerana ia lebih ringkas, namun bukaan mendatar pintu tersebut tidak boleh dibuka dengan lebar. Abang Liey telah menghabiskan sebanyak RM2,500 hanya untuk ubahsuai bahagian ini sahaja.

Pada bahagian luaran, ubahsuai lain yang dibuat sangat minimalis. Abang Liey menanggalkan semua emblem pada badan Myvi ini bagi kelihatan lebih ‘bersih’ dan memadankan kemasan penutup untuk cermin suku belakang. Kemudian ia diberikan dengan set rim replika Work Zeast hitam dengan serlahan merah (sedondon dengan warna badan) bersaiz 17x8jj et32, dibaluti tayar 205/45R17. Selepas itu, badan kereta ini direndahkan menggunakan set suspensi boleh laras tinggi-rendah keras-lembut dari D2.

Perodua Myvi, tapi pintu buka macam Lamborghini!

Ubahsuai lain yang turut diberikan pada bahagian luaran termasuk lampu kabus hadapan LED dan juga cermin sisi boleh lipat automatik. Anda juga akan disajikan dengan persembahan lampu LED pada setiap pintu Myvi merah ini sekiranya ia dibuka, dengan tujuh warna berbeza dan kerlipannya telah disetkan dengan 16 corak berbeza secara automatik.

Kabin Myvi ini juga menerima sentuhan semula Abang Liey. Keseluruhan tempat duduk telah dibalut semula dengan material separa kulit berwarna merah-hitam bagi diselarikan bersama warna luaran. Penumpang hadapan pula akan dihiburkan dengan skrin utama Android pada papan pemuka, manakala penumpang belakang menerima dua buah skrin berasingan yang ditanam di dalam perehat kepala.

Tidak cukup dengan itu, sistem audio Myvi ini telah dihubungkan kepada empat pembesar suara baharu di dalam panel pintu, dua lagi pada panel belakang, dan turut dibantu dengan empat unit tweeter dan sepasang subwoofer yang terletak di bawah kedua-dua tempat duduk hadapan. Walaupun bentangan sistem ini kelihatan agak ringkas jika dibandingkan dengan sistem yang digunakan dalam pertandingan autoshow, ia masih lagi mampu memberikan kualiti audio yang begitu padu.

Abang Liey tidak melakukan sebarang pengubahsuai terhadap enjin, namun sistem ekzos masih dirombak semula bagi memberikan bunyi enjin yang lebih sedap. Abang Liey menukar paip utama asal kepada sistem paip custom berdiameter 2-inci bersama peredam pada bahagian tengah, manakala muffler belakang digantikan dengan unit yang mempunyai dua tip pada bahagian kiri dan kanan bampar belakang – secara tidak langsung menambah seri bahagian belakang Myvi ini.

Walaupun tidak diubahsuai secara benar-benar ekstrem, Abang Liey berjaya mengangkat Myvi generasi ketiga miliknya ini setingkat lebih tinggi dari Myvi lain. Hah, pemilik Myvi baharu lain macam mana? Dah ada idea nak ubahsuai Myvi anda selepas tengok kereta Abang liey ni?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required