Ya, kami tahu, sejak pelancarannya pada 16 November lalu sehingga kini, telah banyak maklumat dan kandungan berkaitan Perodua Myvi 2018 yang telah kami ketengahkan.

Walaupun segelintir daripada kita mungkin sudah “penat” dengan info-info mengenai model ini, kami juga percaya masih ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang kereta ini, lebih-lebih lagi bagi mereka yang benar-benar sedang mempertimbangkan untuk membelinya.

Dan, perhatian meluas yang diberikan terhadap Myvi 2018 ini juga sangat berasas – ia merupakan model paling popular di Malaysia sebelum ini dan saban tahun ia menjadi pilihan utama sebahagian besar rakyat Malaysia sebagai sebuah kereta mampu milik.

Maka, kami sediakan video ini untuk panduan dan rujukan anda. Ia sebuah video paling panjang yang pernah kami hasilkan setakat ini dan merangkumi secara menyeluruh perkara-perkara penting yang kami rasa anda perlu tahu tentang model ini. Tak berlebihan juga jika video ini boleh dianggap sebagai panduan lengkap anda bagi Perodua Myvi 2018.

Ini kerana, kami tidak hanya mengulas hal-hal dipermukaan sahaja. Dalam video ini, kami pergi lebih terperinci untuk melihat penawaran antara model 1.3L dan 1.5L. Tak lua juga, kami bawakan sebuah Myvi 1.5 Advance versi sebelum ini untuk dijadikan penanda arasnya.

Kami juga jalankan beberapa ujian penggunaan dunia nyata terhadap kereta ini. Misalnya, demonstrasi ciri ASA (ia juga menerima penarafan ASEAN NCAP 5-bintang), drag race untuk melihat kepantasan, ujian pecutan 0-100 km/j, tahak kebisingan dalam kabin (NVH) serta kami uji sendiri kadar penggunaan minyaknya dalam perjalanan kira-kira 400 km pergi-balik ke Ipoh untuk mendapatkan bacaan sebenar.

Jadi, luangkan sedikit masa untuk menontonnya, dan sampaikan kepada mereka yang mungkin berminat untuk mengetahui secara terperinci model Myvi 2018 ini (terutama bagi yang malas baca tulisan yang panjang berjela). Dan, jangan lupa untuk berkongsi pandangan anda pula selepas menontonnya.

GALERI: Perodua Myvi 2018 1.5 Advance

Perodua Myvi 2018 1.3 Premium X