07_01_04-e1460444609730_BM

Setelah pengenalan Toyota Passo, kembarnya, Daihatsu Boon turut tampil untuk versi 2016 terbaharu. Hatchback lima-pintu segmen-B ini telah direka semula sepenuhnya pada bahagian luaran dan dalaman, serta ditambah dengan pelbagai ciri baharu.

Seperti juga Passo, Boon baharu ini turut dibahagikan kepada dua model yang boleh disifatkan seperti watak iaitu model standard X dan juga model Cliq yang lebih bergaya. Model X standard menampilkan rekaan yang lebih berkotak berbanding Cliq, serta dilengkapi dengan lampu hadapan yang juga berbentuk petak (lampu LED dilengkapi untuk pakej varian G yang lebih tinggi), Lampu belakang LED berbentuk-C dan juga kemasan hitam pada tiang-C yang mengapit cermin belakang yang direka meliputi terus bahagian kedua sisi cermin.

Seiras dengan Passo Moda, watak Boon Cliq dibezakan dengan lampu hadapan bi-LED berbentuk air mata, gril berbentuk trapezoid, lampu isyarat membelok yang dibina bersama cermin sisi dan jaring bermotif sarang lebah pada bampar hadapan dan belakang. Roda keluli 14-inci dengan penutup adalah standard untuk kedua-dua model, manakala untuk varian yang lebih tinggi, ia dilengkapi dengan roda aloi enam jejari.

07_01_03-e1460446229621_BM

Beralih kepada bahagian dalaman, Boon dipadankan dengan papan pemuka rekaan dua tingkat baharu. Unit pemain audio utama diapit oleh liang-liang udara bahagian tengah, manakala di bawahnya direka sebagai ruang storan konsol tengah. Bahagian paling bawah konsol tengah papan pemuka tadi pula menempatkan suis kawalan penghawa dingin serta tuil gear, tidak seperti sebelum ini yang menyaksikan tuil gear diletakkan pada kolum stereng seperti rekaan van era 80’an.

Roda stereng tiga jejari rekaan baharu juga ditampilkan agar ia secocok dengan rekaan papan pemuka. Sistem kunci pintar dan pemanas tempat duduk (standard untuk model pacuan empat roda) disediakan sebagai pilihan opsyen kepada pembeli.

Terdapat sedikit perbezaan pada papan pemuka X dan Cliq pada bahagian ruang storan di atas glovebox, di mana ruang tersebut dibiarkan terbuka untuk X manakala untuk Cliq, ia direka sebagai sebuah kotak berpenutup. Begitu juga dengan tema warna kabin, model X diberikan tema warna beige-hitam dan kemasan kayu yang nampak lebih lembut, sementara untuk Cliq ia diberi tema warna hitam dengan sulaman benang dan juga kemasan merah yang tampak lebih garang.

Dengan posisi tuil gear yang masih tidak diletakkan diantara tempat duduk kiri dan kanan, bahagian hadapan Boon masih lagi dipadankan dengan tempat duduk jenis ‘bangku’ untuk memberikan suasana yang lebih santai.

07_02_01_BM

Untuk keselamatan, Boon dilengkapi dengan dua beg udara, sistem ABS serta EBD, Kawalan Stabiliti Elektronik (VSC) dan juga Kawalan Cengkaman. Untuk mereka yang tidak berkira dalam aspek keselamatan, beg udara tambahan untuk bahagian sisi dan langsir disediakan sebagai opsyen, menjadikan jumlah keseluruhan enam beg udara dilengkapkan pada kereta kecil ini.

Turut disediakan sebagai pilihan opsyen untuk pertama kali ialah sistem bantuan pemanduan Smart Assist II, yang menggabungkan fungsi brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran pejalan kaki, amaran keluar laluan, false start suppression control yang menolong mencegah pelanggaran akibat tersalah menekan pedal, dan juga vehicle start notification yang memberitahu pemandu bahawa kenderaan hadapan sudah mula bergerak (contohnya selepas berhenti dari lampu isyarat).

Boon dijana oleh enjin 1KR-FE “Topaz Neo” 1.0 liter DVVT tiga silinder, berkuasa 69 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 92 Nm pada takat 4,400 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. Sistem start-stop automatik untuk enjin adalah disertakan sebagai ciri standard. Ini membolehkan Boon mencapai penggunaan bahan api 28 km untuk setiap liter petrol pada kitaran JC08 Jepun, manakala untuk varian 4WD ia memberikan penggunaan bahan api 24.4 km untuk setiap liter petrol. Tiada lagi varian yang dilengkapi dengan enjin empat-silinder 1.3 liter 1NR-FE berkuasa 95 PS/121 Nm pada generasi terbaharu Boon ini.

01_04_BM

Seperti sebelum ini Passo-Boon-Myvi adalah tiga serangkai dari pengeluar ‘adik-beradik’ Toyota-Daihatsu-Perodua. Passo dan Boon telah dilancarkan, kemungkinan untuk Myvi baharu untuk dilancarkan juga dilihat agak besar. Juga seperti sebelum ini, rekaan Myvi pastinya akan diubah mengikut citarasa rakyat Malaysia terutamanya pada bahagian muka hadapan, belakang dan juga pada bahagian dalaman. Begitu juga pada aspek janakuasa, untuk memastikan Myvi kekal kompetitif dalam saingan kategorinya, mungkin enjin 1.3 liter dan 1.5 liter dari siri NR dengan teknologi dual VVT-i terbaharu akan dilengkapi pada Myvi dengan kotak gear empat-kelajuan automatik.

Berikutan jangkaan ASEAN NCAP yang menyatakan Perodua akan melengkapkan kereta mereka dengan sistem AEB menjelang 2020, kemungkinan Myvi baharu akan dilengkapi dengan sistem Smart Assist II kelak adalah tinggi. Perodua juga dilihat sedang menguji sistem tersebut pada Daihatsu Move baru-baru ini. Berdasarkan trend sebelum ini, kita mungkin boleh menjangkakan Myvi baharu akan membuat kemunculan pertamanya selepas setahun Passo dan Boon dilancarkan.