Proton Iriz telah diperkenalkan buat pertama kali pada 2014, kemudian disegarkan dengan rupa baharu menerusi facelift pertama (MC1) pada 2019. Ini bermakna hatchback segmen-B yang dibangunkan sepenuhnya oleh Proton tersebut sudah pun berada tujuh tahun dalam pasaran.
Kalau ikut usia produksi, Iriz sepatutnya digantikan dengan model baharu sepenuhnya. Tetapi seperti yang semua tahu, Proton memberikan satu lagi fasa facelift (MC2) pada model ini, dilancarkan pada Ogos lalu bagi memastikan ia terus relevan dalam pasaran sebelum model gantian serba baharu tiba dalam tempoh masa yang belum lagi diketahui.
Jadi untuk memastikan momentum jualan Iriz boleh diteruskan, pasukan jurutera Proton tidak boleh sekadar melakukan “kejuteraan bampar” pada model facelift kali ini. Ia bukan sahaja memerlukan rupa yang lebih segar, Iriz facelift MC2 ini juga perlu menerima pelbagai lagi tingkat taraf bagi memastikan masih ada sebab mengapa konsumer harus memilihnya.
Namun berjayakah Proton dalam misi berkenaan? Jadi kami ambil model tertinggi dalam pilihan varian Iriz 2022 iaitu Iriz 1.6 Active bagi dipandu uji hujung minggu lalu untuk mengetahui apa yang berbeza untuk versi terbaharu ini.
Bagi yang belum mengetahui, tiada lagi varian Premium bagi model 2022. Dan untuk mereka yang mahukan Iriz dengan semua spesifikasi terbaik ditawarkan Proton, mahu tidak mahu anda perlu memilih Iriz yang diberikan kit pengayaan luaran acah-acah SUV Iriz Active ini.
Walau bagaimanapun, rekaan Iriz Active langsung tidak sama dengan model konsep Iriz Active yang muncul pada tahun 2014 dahulu. Dan kalau anda perasan, Proton seolah-olah mahu memberikan imej ‘Baby X50’ pada Iriz Active produksi ini bukan sahaja dari segi rekaan gril dan bampar, malah dari segi penawaran warna yang begitu sinonim dengan X50 seperti Ocean Blue, Citric Orange dan juga merah Mak Ngah Passion Red yang kami terima untuk pandu uji ini.
Selain dari set pelindung sekeliling badan yang direka seakan kit badan lebar, Iriz Active juga merupakan satu-satunya varian yang diberikan lampu hadapan LED. Bagi model 2022 ini, hanya varian Standard yang menerima rim 15-inci, manakala dua varian lebih tinggi kini diberikan rim 16-inci. Namun rekaan bagi rim Active dan Executive adalah berbeza, menampilkan jejari lebuh halus dan banyak serta datang dalam kemasan dua-tona.
Atas kertas, Iriz Active ini diberitahu bahawa ia dihasilkan dengan tinggi 1,574 mm, atau 10 mm lebih tinggi berbanding model 1.6 Executive yang menampilkan tinggi 1,564 mm. Walau bagaimanapun, ketinggian tersebut bukanlah kerana talaan suspensi, sebaliknya disebabkan penambahan rel bumbung pada Iriz Active berkenaan.
Manakala bagi model Executive 2022, ketinggiannya juga dilihat naik 10 mm berbanding model Premium dan Executive 1.6 sebelumnya (1,554 mm), mungkin kerana rim 16-inci yang dipadankan. Jadi jika anda biasa memandu Iriz model 2014 atau MC1 2019, duduk dalam kabin Iriz Active/Executive 2022 ini memang terasa sedikit tinggi.
Oleh itu perlu penulis beritahu disini, talaan suspensi antara model Active dan Executive adalah sama, dan anda yang berminat untuk membeli varian Executive juga boleh mengambil artikel pandu uji kami ini sebagai input.
Cantik ke sebuah hatchback segmen-B diberikan penampilan sebuah SUV palsu sebegini? Pada penulis, cantik atau tak terpulang pada mata masing-masing. Tapi kalau ikut selera penulis, lagi cantik kalau semua pelindung badan tersebut diberikan warna badan, buang rel bumbung, kemudian berikan rim dengan offset yang sesuai agar tidak kelihatan seperti ‘terkelup’ ke dalam, dan jadi seolah-olah model gantian untuk Satria Neo CPS dahulu. Susah nak bayangkan? Itu hari Theophilus Chin ada buat render gambaran tersebut yang boleh anda tengok pada PAUTAN INI.
Masuk ke kabin, mungkin ramai daripada anda ingat Iriz 2022 ini diberikan papan pemuka baharu bukan? Sebenarnya tidak – tiada sebarang perubahan dibuat pada asas papan pemuka berkenaan, dan ia masih sepenuhnya diambil dari model sebelum ini.
Apa yang Proton buat adalah menggantikan komponen-komponen pada konsol tengah yang direka semula, dan menampilkan susun atur baharu yang berjaya membuatkan ia kelihatan berbeza dari papan pemuka Iriz 2014 dan Iriz MC1. Perubahan utama yang dibuat adalah pada seksyen skrin infotainmen dan juga liang penghawa dingin pada bahagian tengah.
Rombakan ini bukan sahaja membolehkan papan pemuka berkenaan dipadankan dengan skrin infotainmen lebih besar bersaiz 8-inci (hanya 7-inci sebelum ini) yang kini berada pada kedudukan ‘berdiri sendiri’, berbeza dengan kedudukan ‘tertanam’ sebelum ini, ia juga menerima liang pendingin hawa yang direka melintang serta bercantum antara unit kiri dan kanan, yang pada penulis memberikan aliran hembusan yang lebih baik.
Suis-suis kawalan pendingin hawa analog sepenuhnya sebelum ini juga telah ditukar dengan bentangan suis baharu, menampilkan paparan digital. Untuk mengawal suhu dan kelajuan motor penghembus masih perlu menggunakan suis putar (kini lebih kecil), namun untuk kawalan lain seperti mod aliran, penghilang wap cermin dan sebagainya kini menggunakan suis tekan yang disusun seakan kekunci piano.
Bentangan suis baharu ini bukan sahaja nampak lebih cantik, ia juga memberikan kualiti penggunaan yang jauh lebih baik – tiada lagi bunyi “krakkk krakkk krakkk” bila suis putar dipusingkan, dan suis kekunci piano berkenaan juga terasa sangat lembut dan premium ketika ditekan.
Di bawah suis pendingin hawa tersebut kini diberikan slot yang boleh memuatkan telefon pintar bersaiz lebih 6-inci, berbanding storan sebelum ini yang hanya mampu menempatkan telefon bersaiz lebih kecil. Tiga port USB diletakkan di bawah slot berkenaan (dua untuk mengecaj, satu untuk data/hubungan QD Link pada sistem infotainmen) membolehkan anda menggunakan wayar USB lebih pendek dan tidak nampak ‘semak’ ketika dihubungkan kepada telefon pintar.
Konsol terowong pada bahagian tengah kabin Iriz ini bukan sahaja direka semula untuk kelihatan lebih cantik, malah ergonomiknya juga dipertingkat. Ia sebenarnya lebih tinggi berbanding bahagian sama pada Iriz MC1 membolehkan anda mencapai tombol gear dengan lebih dekat (rasa lebih ‘tenggelam’ ketika duduk di kerusi pemandu), sambil siku diletakkan pada perehat tangan tengah yang juga satu lagi ciri baharu pada Iriz MC2 ini.
Bagi orang yang berbadan besar seperti penulis, konsol yang lebih tinggi berkenaan sebenarnya memudahkan saya untuk meletakkan dan mencari semula barang yang diletakkan pada bahagian storan/pemegang cawan. Dan, perehat tangan yang dibekalkan juga bukan hanya untuk merehatkan tangan, malah ruang storan di dalamnya juga adalah lebih besar dan lebih selamat (boleh menyorokkan barang berharga seperti pembaca Smart Tag) berbanding ruang storan yang diletakkan pada posisi sama pada model sebelum ini.
Untuk pemandu, papan instrumen meter dengan skrin pelbagai info berwarna pada Iriz Active/Executive mungkin nampak sama dengan Iriz 1.6 bagi model 2019. Namun sebenarnya ada sedikit perubahan yang dibuat di mana pada sebelah kanan atas skrin ia kini sudahpun diberikan jam, manakala satu lampu Eco berwarna hijau akan menyala pada atas sebelah kanan sekiranya butang mod Eco ditekan (mod ini akan dicerita lebih lanjut selepas ini). Bagi model Active ini pula, grafik animasi “Active” akan dimainkan pada skrin instrumen setiap kali enjin dihidupkan, menggantikan animasi “Proton”.
Iriz Active ini juga diberikan kemasan-kemasan yang membuatkan ia nampak lebih ‘mahal’ seperti serlahan jahitan benang untuk setiap balutan upholsteri, tali pinggang keledar berwarna merah, sulaman perkataan “Active” pada setiap panel pintu dan perehat badan tempat duduk hadapan, tempat duduk balutan gandingan kulit dan fabrik, set pedal aloi, kemasan merah satin disekeliling konsol skrin infotainmen dan konsol terowong, serta serlahan merah pada liang pendingin hawa sisi dan juga sekeliling dua meter utama dalam panel instrumen.
Tombol gear balutan kulit yang kelihatan seperti tombol gear Proton X50 kini bukan hanya diberikan pada varian tertinggi, malah ia juga diberikan secara standard untuk model 1.6 Executive dan varian paling rendah dengan enjin 1.3L.
Iriz 2022 ini juga kini diberikan dengan port USB tambahan berhampiran cermin pandang belakang bagi memudahkan anda memasang dashcam, manakala lampu kabin telah digantikan dengan lampu peta yang menggunakan pencahayaan LED lebih baik yang sama seperti Proton Saga 2019.
Walau bagaimanapun, ada peningkatan yang diberikan seakan mendatangkan sedikit masalah. Kemasan merah satin pada konsol skrin dan terowong misalnya, sekiranya ada cahaya matahari yang terpancar terus pada bahagian tersebut, ia agak menyilaukan mata.
Manakala pada skrin infotainmen baharu yang diberikan, ia juga agak silau pada siang hari dan menyukarkan pemandu untuk melihat apa yang dipaparkan pada skrin, sebaliknya skrin tersebut menjadi seakan cermin – ini mungkin disebabkan unit pandu uji yang penulis terima ini tidak diberikan lapisan filem pelindung cahaya matahari pada bahagian atas cermin hadapan.
Selain itu, ada peningkatan yang penulis rasakan tidak perlu seperti sistem arahan suara untuk membuka cermin tingkap (hanya untuk pemandu) dan juga kawalan pendingin hawa menggunakan skrin infotainmen. Pada penulis, sistem arahan suara untuk membuka cermin ini logik diberikan sekiranya ia boleh berfungsi pada semua cermin, misalnya untuk memudahkan penumpang belakang pemandu membuka cermin tingkap hadapan sebelah kiri sekiranya perlu.
Untuk pemandu membuka tingkap pemandu, lebih cepat sebenarnya dengan menggunakan tangan terus menekan butang. Begitu juga dengan kawalan pendingin hawa – butang kawalan analog yang diberikan boleh dioperasikan dengan lebih cepat malah tanpa melihat berbanding untuk menggunakan kawalan digital pada skrin infotainmen.
Walau bagaimanapun, penulis faham, jika mahukan sistem arahan suara berfungsi untuk semua tingkat, Proton perlu memadankan modul tingkap cermin baharu yang memberikan fungsi auto bagi setiap cermin, dan ini tentunya akan meningkatkan kos.
Sekarang kita beralih pula kepada pemanduan. Untuk rekod, Proton sebenarnya sudahpun memberikan talaan enjin dan kotak gear CVT yang jauh lebih baik pada Iriz 2019 berbanding model asal 2014. Bagi model 2022 ini, padanan enjin 1.6 liter VVT berkuasa 109 PS dan tork maksima 150 Nm bersama kotak gear Punch CVT masih lagi tidak berubah, namun sekali lagi Proton memperhalusi perisian serta talaannya unit rangkaian kuasa berkenaan.
Talaan yang diberikan pada versi 2019 sebelum ini sudahpun terasa lebih “direct”, kurang rasa lag ketika mula bergerak, dan nisbah yang diberikan adalah tepat dan responsif, tidak lagi menyebabkan enjin meraung tidak tentu pasal dan tiada lagi bunyi berdengung dikeluarkan ketika beroperasi – jadi kepada yang masih belum tau CVT Iriz ini sudah ditala dengan baik, jemput-jemputlah ke bilik pameran Proton untuk rasa sendiri karekter terkini transmisi keluaran Punch yang telah diperhalusi oleh Proton tersebut.
Sebaik sahaja mula bergerak, penulis dapat rasakan respon pada pendikit dan juga pada kotak gear CVT Iriz 2022 adalah sedikit lebih baik daripada model 2019 – respon pada pedal dapat dirasakan sedikit lebih ‘tajam’ dan respon kotak gear bertambah sedikit lagi rasa ‘direct’.
Yang paling ramai nak tahu tentulah fungsi SAT yang telah diperkenalkan semula pada kotak gear CVT Proton menerusi Iriz dan Persona facelift 2022 kan? Untuk sistem kali ini, Proton tidak lagi menyediakan butang khas untuk mengaktifkan atau mematikan fungsi SAT tersebut, sebaliknya ia akan diberikan berdasarkan corak pemanduan pemandu secara automatik.
Setelah pelbagai cara penulis lakukan untuk mendapatkan rasa tukaran gear maya fungsi SAT tersebut, dapat disimpulkan satu-satunya cara adalah dengan menekan pedal pendikit pada kadar 100%. Ketika ini enjin akan mengaum dan apabila jarum takometer mencecah 5,500 rpm, anda akan dapat rasa seperti gear ditukar dan jarum tersebut akan turut sedikit.
Sekiranya pedal dikerah tidak mencecah lantai, tiada tukaran gear dapat dirasakan dan kotak gear tersebut berfungsi sama seperti CVT biasa. Jika anda nak rasa tukaran gear lebih agresif, alihkan tombol gear ke posisi ‘S’. Dalam posisi ‘D’, tukaran gear masih terasa tetapi diberikan dengan lembut berbanding posisi ‘S’.
Jika anda perhatikan pada sebelah hadapan tuil gear, terdapat satu butang ‘ECO’ yang terletak sebaris dengan butang penderia parkir hadapan dan butang ESC. Ini merupakan satu lagi fungsi baharu yang diberikan pada Iriz 2022, dimana ia akan memberikan mod pemanduan yang lebih ekonomi. Jangan keliru dengan lampu ‘Eco Assist’ pada paparan meter (masih lagi ada pada model baharu ini) kerana lampu tersebut berfungsi hanya sebagai penunjuk kepada pemandu sama ada mereka memandu pada kadar yang efisien atau tidak.
Bagi mod pemanduan Eco ini, enjin akan serta merta menjadi ‘malas’ selepas ia ditekan, seterusnya membolehkan kadar penggunaan bahan api yang lebih rendah dicatatkan. Mod Eco ini juga akan memutuskan klac sekiranya pemandu melepaskan pedal pendikit pada kelajuan di bawah 70 km/j, membolehkan kereta berkenaan meluncur tanpa memberikan beban pada enjin yang hanya perlu hidup pada kelajuan pepura.
Namun apa yang penulis perasan, fungsi ‘menggelonsor’ ini tidak akan beroperasi setiap kali pedal pendikit diangkat. Ini kerana pada kawasan menurun bukit misalnya, pemandu masih memerlukan kesan ‘engine braking’ bagi mengelakkan ia hilang kawalan.
Talaan kotak gear CVT baharu yang dibuat ini juga menampilkan fungsi Neutral Idle Control (NIC) – dengan fungsi ini, klac tetap akan diputuskan dari enjin apabila kereta berhenti sepenuhnya walaupun pemandu tidak mengalihkan tuil gear ke posisi N, bagi mengurangkan beban sekaligus menjimat lebih bahan api.
Dengan penambahbaikkan ini, Proton mendakwa bahawa Iriz Active yang lebih tinggi dan lebih berat ini mencatatkan penggunaan bahan api NEDC 7.0 liter setiap 100 km (14.3 km/l), manakala model Executive pula mencatatkan bacaan 6.7 liter setiap 100 km (14.9 km/l). Sebagai perbandingan, Iriz 2019 memberikan bacaan bahan api 7.5 liter setiap 100 km (13.3 km/l) atau sekitar 11% dan 12% lebih rendah. Malah Iriz Active juga masih 7% lebih jimat bahan api berbanding Iriz biasa sebelum ini.
Pengendalian Iriz baharu ini masih kekal seperti terdahulu, di mana ia dikenali dengan memberikan dinamik pemanduan yang cukup bagus. Ia lincah di selekoh dengan bahagian hadapan sentiasa mudah ‘mengikut kata’ putaran stereng, dalam masa yang sama pergerakan bahagian belakang juga mudah untuk diagak.
Namun apa yang saya perasan, kali ini Proton memperhalusi aspek keselesaan terhadap Iriz 2022. Dapat rasa dengan jelas bagaimana suspensi pada Iriz ini menyerap hentakan dengan lebih baik terutamanya pada permukaan jalan yang tidak diturap dengan betul dan juga di kawasan garis kuning (speed breaker), di mana getaran yang terhasil adalah lebih minima dari sebelum ini, walaupun ia kini menerima rim berdiameter lebih besar.
Satu lagi rasa yang agak signifikant adalah pada pedal brek – ia memberikan cengkaman yang lebih responsif berbanding model 2019.
Selepas memandu Proton Iriz Active ini selama lima hari, boleh saya simpulkan bahawa Proton telah melakukan sesuatu yang besar terhadap model MC2 ini. Walaupun ia sekadar satu lagi versi facelift, tetapi hampir segenap sudut telah diperhalusi semula.
Jika anda membandingkannya dengan model MC1, perubahan yang dilihat dan dirasa mungkin tidak terlalu banyak. Namun sekiranya ada pemilik Iriz 2014 yang telah merasai pengalaman memandu versi 2022, dengan setiap perubahan talaan yang dibuat, pertambahan pelbagai ciri teknologi baharu, serta kualiti material dan pemasangannya yang jelas jauh lebih baik, tidak mustahil untuk mereka trade-in Iriz lama berkenaan dengan versi terbaharu ini.
Proton Iriz 1.6 Active ini dijual pada harga RM54,000, manakala model 1.6 Executive pula dijual pada harga RM47,800. Model paling asas 1.3 Standard kini dijual pada harga RM40,300. Kesemua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama pengecualian cukai jualan (SST) yang diberikan oleh kerajaan sehingga 31 Disember nanti. Iriz kekal diberikan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km.
Bagi mengetahui lebih terperinci berkenaan spesifikasi Iriz Active ini mahupaun varian-varian lain bagi model 2022, anda boleh baca pada PAUTAN INI.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Design belakang iris kena ubah dgn lampu belakang melintang mcm jazz 2022.
Kena keluar model turbo 1 liter