GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022, RM54,000

GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022, RM54,000

Proton Iriz dan Persona facelift 2022 sudahpun dilancarkan pada awal bulan lalu. Namun disebabkan ketika itu kebanyakkan tempat masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kami sendiri tidak berpeluang untuk melihat sendiri kedua-dua model berkenaan dengan lebih dekat.

Namun dengan pelbagai kelonggaran yang diberikan kerajaan kerana semakin ramai rakyat Malaysia yang sudah lengkap divaksinasi, nah kami bawakan anda galeri penuh untuk varian baharu yang juga kini diletakkan sebagai model tertinggi untuk Iriz, iaitu Proton Iriz Active.

Seperti namanya yang diambil dari model konsep Proton yang muncul pada 2014, Iriz Active ini merupakan varian yang dilengkapi kit penampilan seakan sebuah SUV. Ini bukanlah konsep baharu, kerana sebelum ini banyak pengeluar lain yang telah pun menggunakan konsep sama contohnya Perodua Axia Style, Volvo V40 Cross Country, Nissan Livina X Gear dan banyak lagi.

GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022, RM54,000

Bagi Iriz Active, Proton seolah-olah mahu ia menonjolkan imej ‘Baby X50’. Jadi ia diberikan pelindung plastik bawah sisi badan pada pintu dan juga fender flare pada setiap ruang roda yang kelihatan seperti dilekatkan dengan bol Allen, seakan Satria GTI dan juga Satria Neo CPS. Pelindung-pelindung berkenaan diberikan disekeliling badan, dilengkapkan menerusi skid plate kemasan perak pada bampar hadapan dan belakang serta pada skirt sisi.

Gril bawah bampar pada Iriz Active ini juga berbeza, tampil dengan elemen sarang lebah, dan ia satu-satunya varian Iriz yang menerima lampu hadapan jenis LED. Rupa sebuah SUV pada model ini dilengkapkan dengan rel bumbung berwarna perak yang nampak menyerlah pada bumbung berwarna hitam.

Kesemua varian Iriz kini menerima muka hadapan baharu, yang kelihatan sama dengan sedan Persona. Kluster lampu masih nampak sama seperti sebelum ini, namun gril infinite weave telah direka semula yang kelihatan hampir sama seperti gril pada Proton X50, lengkap dengan jalur serlahan merah di bawah dan juga logo baru Proton berbentuk bulat di tengah.

Iriz juga kini nampak lebih garang kerana jalur krom pada bahagian atas lampu dan gril kini diganti dengan jalur dalam kemasan hitam berkilat (Persona masih lagi dalam kemasan krom). Bampar model kemaskini ini turut menerima perubahan ketara di mana bahagian perumah lampu nyalaan siang LED direka lebih ‘berotot’, bersama bahagian bawah yang direka seakan spoiler.

Juga satu lagi perkara yang anda perlu tahu, tiada lagi varian Premium untuk Iriz 2022 ini, manakala model standard hanya hadir dengan kotak gear CVT automatik.

Bagi memberikan lebih unsur ‘Baby X50’, Iriz turut ditawarkan dengan warna badan yang sama seperti abangnya iaitu Passion Red (seperti unit yang dipamerkan ini) dan Citric Orange. Model pertengahan 1.6 Executive juga ditawarkan dengan dua warna istimewa tersebut termasuk lima warna lain iaitu Ocean Blue, Armour Silver, Snow White, Ruby Red dan Jet Grey (dua warna terakhir tidak ditawarkan untuk Active). Manakala model Standard pula tidak diberikan pilihan warna Passion Red dan Citric Orange.

Iriz juga menerima perubahan ketara pada bahagian dalaman, terutamanya pada bahagian tengah papan pemuka dan juga konsol terowong. Bagi membolehkan ia menerima skrin infotainmen lebih besar, skrin tersebut tidak lagi ‘ditanam’ dalam papan pemuka, sebaliknya diberikan rekaan berdiri sendiri dengan liang pendingin hawa yang direka melintang di bawahnya bersama suis lampu hazard dan pengunci pintu pusat disusun di tengah.

Suis kawalan pendingin hawa juga nampak jauh lebih moden dengan rekaan seakan sama dengan X50, menampilkan dua suis putar untuk mengawal suhu dan kelajuan blower, paparan digital tersendiri di tengah, serta suis-suis kawalan lain yang diletakkan seakan kekunci piano. Namun sistem pendingin hawa ini sebenarnya masih manual dan bukan automatik.

GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022, RM54,000

Konsol terowong juga menerima rombakan besar dengan suis penderia parkir dan kawalan kestabilan elektronik yang dialih ke bahagian hadapan tuil penukar gear bersama suis mod Eco baharu, ruang storan dan pemegang cawan yang di atur semula serta ditambah dengan perehat tangan yang dibalut dengan material sentuhan lembut.

Dengan adanya perehat tangan berkenaan, dua port USB pada bahagian berkenaan telah dialihkan kebelakang dan ia secara tidak langsung memudahkan penumpang belakang untuk menggunakannya. Secara keseluruhan kabin Iriz facelift ini menerima sejumlah enam port USB yang terdiri satu port untuk data, dan lima selebihnya untuk mengecaj.

Selain itu, Iriz juga kini menerima lampu kabin LED yang sama dengan Saga, serta roda stereng dengan rekaan beg udara berbeza yang diberikan logo baharu Proton. Ia kekal diberikan kemasan tiang dan pelapik bumbung berwarna hitam dan juga kemasan-kemasan piano black termasuk pada varian Standard dan Executive.

Manakala untuk varian Active, ia menerima upholsteri tempat duduk gabungan fabrik dengan corak seperti papan litar dan juga kulit serta serlahan jahitan benang merah, tulisan ‘Active’ yang disulam pada tempat duduk dan panel dalaman pintu depan dan belakang, karpet kaki istimewa Active, tali pinggang keledar berwarna merah, set pedal aloi, dan juga serlahan-serlahan merah pada sekeliling liang pendingin hawa, konsol terowong, gegelang paparan meter, benang jahitan serta suis kawalan pada roda stereng.

Bagi sistem infotainmen, walaupun Iriz Active menerima skrin yang kelihatan sama seperti varian Executive, ia sebenarnya lebih canggih kerana menerima sistem Geely Key User Interface (GKUI) dengan eSIM yang hampir sama dengan sistem pada Proton X50 dan X70.

Jadi ia bukan sahaja mampu untuk mengoperasikan sistem navigasi atas talian, streaming muzik Jook dan hubungan WiFi, malah sistem arahan suara “Hi Proton” pada Iriz Active ini juga kini boleh mengawal tingkap berkuasa dan juga pendingin hawa. Satu antaramuka khas yang membolehkan anda mengawal pendingin hawa juga disediakan pada skrin berkenaan.

Tiada perubahan diberikan pada sistem mekanikal di mana Iriz Active masih dijana enjin 1.6 liter VVT berkuasa 109 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm. Walau bagaimanapun, ia kini menerima perisian baharu untuk kotak gear yang memberikan fungsi SAT, membolehkan tukaran gear sporty diberikan dengan kelajuan maya seakan tukaran gear transmisi konvensional.

Iriz facelift ini juga diberikan Neutral Idle Control (NIC) yang akan memutuskan klac apabila kereta berhenti sepenuhnya bagi mengurangkan beban, sekaligus menjimat lebih bahan api. Tidak cukup dengan itu, ia juga kini sudah diberikan mod Eco sebenar yang boleh diaktifkan oleh pemandu dengan menekan butang, dan ia tidak sama dengan lampu Eco pada model sebelumnya yang berfungsi sekadar memberitahu pemandu bahawa mereka sedang memandu dengan efisien.

Selepas pemandu memilih untuk menggunakan mod Eco berkenaan dengan menekan butang yang berada di hadapan tuil penukar gear, kotak gear akan memutuskan klac sekiranya pemandu melepaskan pedal pendikit pada kelajuan di bawah 70 km/j, membolehkan kereta berkenaan meluncur tanpa memberikan beban pada enjin yang hanya perlu hidup pada kelajuan pepura.

Dengan penambahbaikkan ini, Proton Iriz Active yang lebih tinggi dan lebih berat ini mencatatkan penggunaan bahan api NEDC 7.0 liter setiap 100 km (14.3 km/l), manakala model Executive pula mencatatkan bacaan 6.7 liter setiap 100 km (14.9 km/l). Sebagai perbandingan, Iriz 2019 memberikan bacaan bahan api 7.5 liter setiap 100 km (13.3 km/l) atau sekitar 11% dan 12% lebih rendah. Malah Iriz Active juga masih 7% lebih jimat bahan api berbanding Iriz biasa sebelum ini.

Proton Iriz 1.6 Active ini dijual pada harga RM54,000, manakala model 1.6 Executive pula dijual pada harga RM47,800. Model paling asas 1.3 Standard kini dijual pada harga RM40,300. Kesemua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama pengecualian cukai jualan (SST) yang diberikan oleh kerajaan sehingga 31 Disember nanti. Iriz kekal diberikan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km.

Bagi mengetahui berkenaan perincian varian-varian lain pula anda boleh baca pada PAUTAN INI. Kami juga telah menyiarkan galeri penuh untuk Proton Persona 1.6 Premium 2022 yang boleh anda baca dan lihat pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required