Ini dua model yang sudah agak lama kita tahu kewujudanya, iaitu sejak bulan Disember 2020 berita tentang spyshot dan sesi ujian jalan raya mula terdedah. Akhirnya diperkenalkan secara rasmi hari ini dalam satu acara maya untuk umum. Yang dimaksudkan tentulah Proton Iriz dan Proton Persona facelift versi tahun 2021 ini. Lebih banyak mencuri tumpuan tentulah versi hatchback model segmen B Proton ini, itu Iriz, yang turut diperkenalkan dalam penawaran dan penampilan lebih sporty, Iriz Active.

Namun, jangan dilupa kepada saudara sedannya yang lebih praktikal dari aspek ruangan, Persona 2022. Bagi model ini, terdapat tiga varian ditawarkan, terdiri daripada Persona 1.6L Standard (RM45,200), Persona Executive (RM50,100) dan juga Persona Premium (RM54,900). Semua ini merupakan harga atas jalan dengan pengecualian SST, tidak termasuk insurans. Sekadar makluman, majlis pengenalan ini dilakukan secara maya oleh kerana Lembah Klang masih dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara dan kekal di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Dari aspek luaran, ada beberapa perubahan yang dapat dilihat pada Persona 2022 ini. Pertama sekali wajah depannya. Ia kini menggunakan rekaan gril yang direka semula, dan lengkapi dengan logo baru Proton. Begitu juga, penggunaan lampu lampu LED untuk lampu utama. Di Bahagian belakang pula, perumah lampunya kelihatan sedikit gelap, memberikan imej yang lebih menarik bagi sedan ini. Rekaan rim 16-inci baru juga menyuntik naluri sporty bagi Persona varian Executive ke atas, dengan tayar bersaiz 185/55.

Perubahan paling ketara dan menarik adalah di dalam ruang kabin. Pada bahagian papan pemukanya, dapat dilihat sebuah paparan skrin infotainmen terapung dengan saiz yang jelas menghiasi kawasan berkenaan. Selain tampil dengan rekaan antaramuka tersendiri, sama seperti Iriz 2022, ia juga kini dilengkapi dengan sistem arahan suara “Hi Proton” — yang kini bukan sahaja boleh mengawal operasi tingkap, malahan untuk mengendalikan sistem pendingin hawa sekaligus. Ini satu peningkatan ciri yang sangat menarik untuk model dalam segmen B ketika ini.

Bagi varian Executive, ia dilengkapi dengan kerusi balutan fabrik. Dan, tidak lupa juga, perehat lengan kini turut disediakan. Naik satu varian kepada Premium pula, semua bahagian ini diberikan balutan kulit warna coklat cerah untuk menyuntik imej yang lebih “mahal” pada Persona.

Sistem keterhubungan pula menampilkan peningkatan yang agak menarik pada Persona terbaru ini. Selain “Hi Proton” yang boleh mengendalikan tingkap sebelah pemandu, sistem pendingin hawa, sistem tunjuk arah, penstriman muzik dalam talian dan banyak lagi, ia juga menyediakan sambungan 4G dan WiFi dalam kenderaan, sama seperti model lain Proton yang pernah kita lihat sebelum ini, seperti SUV X50 dan X70 — cuma ia kini diperturunkan juga kepada model yang lebih mampu milik seperti Persona.

Kemudahan atau penawaran keselesaan lain yang turut disediakan ialah seperti ciri penapis kabin N95, sistem kunci pintar, butang Push Start, suis Eco Mode, bukaan but kereta dari jauh dan juga cermin sisi elektirk lipatan automatik. Dalam bahasa mudah, Persona kini dihasilkan untuk menjadi sebuah sedan yang bukan sahaja praktikal tetapi lebih banyak ciri yang memudahkan penggunaan.

Tidak lupa, kini ada enam slot USB untuk kegunaan penumpang; tiga di depan, dua di belakang dan satu di cermin pandang belakang (untuk kegunaan dash cam). Dari aspek keselamatan pula, berdasarkan protokol ujian tahun 2020, Persona telah menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP seperti yang diumumkan sebelum ini. Untuk itu, ia juga dilengkapi enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik dan kawalan cengkaman serta Hill Hold Assist.

Bagi sistem janaan, ia kekal sama menggunakan enjin 1.6 liter VVT empat-silinder, dengan janaan kuasa 107 hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 4,000 rpm. Begitu juga dengan Punch CVT. Untuk transmisi, Proton mendakwa telah melakukan penambahbaikan dalaman dan karekter pemanduan bagi unit berkenaan, walaupun tiada perincian lanjut didedahkan setakat ini.

Gambar rasmi — Proton Persona 1.6L Premium 2022

Proton Persona 2022 Premium — ehsan Proton Regal Motors PJ

Proton Persona 2022 Executive — ehsan Proton Regal Motors PJ

Tambahan