Proton Iriz, Persona 2022 dapat penarafan lima-bintang ASEAN NCAP, diuji semula pada Disember 2020

Dengan pelancaran dua model terbaru Proton untuk pasaran tempatan, Proton Iriz dan Persona 2022 hari ini, ada eloknya kita lihat semula pencapaian aspek keselamatan yang dicapai oleh kedua-dua model ini. Dalam ujian terakhir yang dijalankan mengikut protokol tahun 2020 ujian ASEAN NCAP yang mana keputusannya di umumkan penghujung Disember 2020 lalu, kedua-dua model ini menerima penarafan lima-bintang dengan cukup meyakinkan.

Tiga kategori yang dinilai untuk protokol terbaru tersebut termasuklah Adult Occupant Protection (AOP), Child Occupant Protection (COP) dan Safety Assist Technologies (SAT). Berdasarkan ujian model terakhir kenderaan Proton untuk tujuan ini, iaitu SUV Proton X70 dan X50, yang telah juga menerima penarafan 5-bintang setiap satunya, keputusan sama bagi Persona dan Iriz 2021 terbaru sudah dijangka.

Dengan perincian keputusan lengkap yang telah diumumkan, ini sedikit sebanyak memberi petunjuk bahawa dua model facelift ini menampilkan perubahan yang agak ketara, memandangkan kedua-duanya dihantar sekali lagi untuk ujian semula versi terbaru berkenaan. Kebanyakan pengeluar biasanya akan menggunakan saja keputusan ujian sebelumnya untuk mana-mana model facelift yang sama.

Proton menghantar kedua-dua model terbaru ini untuk ujian semula, dengan protokol yang sama seperti dilakukan terhadap X70 dan X50 sebelum ini — ini bermakna, keputusan yang diraih oleh model facelift Iriz dan Persona ini menepati ujian dengan protokol tahun 2020 yang diguna pakai bagi penarafan keselamatan tersebut.

Untuk mengetahui lanjut penambahbaikan dan peningkatan yang telah dilakukan terhadap Proton Iriz 2022 dan juga Proton Persona 2022 ini, ikuti laporan pelancaran yang telah kami sediakan.