Perodua Myvi D-CVT 2022 — kos selenggara lebih rendah berbanding 4AT lama, SUV Ativa, Proton Iriz

Perodua Myvi D-CVT 2022 — kos selenggara lebih rendah berbanding 4AT lama, SUV Ativa, Proton Iriz

Dengan perubahan terutamanya bahagian mekanikal yang dilakukan terhadap Myvi 2022 yang dilancarkan minggu lalu, adakah itu akan memberi kesan kepada kos penyelenggaraannya? Misalnya, peralihan daripada kotak gear 4AT sebelum ini kepada D-CVT dari Ativa — kotak gear manual lima-kelajuan tidak lagi ditawarkan.

Selain hal itu, sistem janaan kuasa kekal dengan kelengkapan sama; enjin Dual VVT-i, DOHC NR empat silinder sebelum ini. Unit 1NR-VE 1.3 liter menjana 95 PS (94 hp) dan 121 Nm tork, sementara unit 2NR-VE 1.5 liter menghasilkan 103 PS (102 hp) dan 137 Nm. Adakah hal ini akan melibatkan perbezaan kos selenggara?

Untuk itu, kami akan membandingkan kos selenggaran Myvi D-CVT untuk tempoh lima tahun/100,000 km berbanding model lama dengan 4AT, serta dengan pesaing dekatnya, Proton Iriz. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih luas, kami juga sertakan kos selenggaran Ativa, yang dalam varian paling asasnya, RM2,700 lebih mahal daripada Myvi spesifikasi tertinggi — mungkin ada yang ingin pertimbangkan juga penawaran ini sekiranya wang mengizinkan.

Perodua Myvi D-CVT 2022 — kos selenggara lebih rendah berbanding 4AT lama, SUV Ativa, Proton Iriz

Berdasarkan angka yang diperoleh dari laman web Perodua dan Proton, Myvi baru ini lebih murah untuk diselenggara berbanding model lamanya dalam tempoh lima-tahun, walaupun hanya melibatkan beza RM55 — ini bagi kedua-dua varian 1.3L dan 1.5L. Melihat kepada jadual servis kedua-duanya, kami dapati pelincir CVT bagi Myvi baru hanya perlu ditukar sekali berbanding model 4AT dulu yang memerlukan dua kali penukaran minyak kotak gear dalam lima tahun.

Bagaimanapun, perbezaan kos ini turut melibatkan juga jumpah penukaran penapis udara Myvi baru yang perlu ditukar dua kali lebih banyak berbanding model lama. Ambil maklum, Perodua tidak menyediakan senarai penyelenggaraan hindaran Pro Care bagi model baru ini.

Barangan yang tersenarai dalam servis Pro Care model sebelum ini termasuk penapis udara enjin tambahan, minyak brek dan gantian palam pencucuh, serta pilihan untuk servis major bari pendingin hawa serta jajaran, imbangan dan putaran tayar — semua ini melibatkan kos hampir RM1,000 keseluruhannya bagi tempoh lima tahun.

Berbanding Iriz yang menggunakan enjin 1.3 liter dan 1.6 liter, kedua-dua Myvi baru dan lama lebih murah diselenggara dengan masing-masing melibatkan beza antara RM639 dan RM584. Jadual selenggara menunjukkan minyak enjin semi-sintetik Iriz lebih murah berbanding minyak sintetik penuh Myvi, begitu juga dengan kos untuk menggantikan penapis udara dan palam pencucuh — walaupun ditukar lebih kerap.

Bagaimanapun, penapis udara kabin N95 untuk model Proton tersebut lebih mahal, manakala coolant radiatornya perlu kerap ditukar. Sebagai tambahan, Iriz perlu ditukar penapis bahan api dan tali sawar FEAD-nya, yang tidak perlu dilakukan terhadap Myvi, sementara kos untuk menukar minyak gear CVT Iriz lebih mahal.

Ativa juga lebih murah untuk diselenggara berbanding Iriz, walaupun ia lebih tinggi berbanding Myvi dengan beza antara RM233. Membandingkan jadual selenggaranya, palam pencucuh Ativa bagi enjin 1KR-VET 1.0 liter turbocas tiga-silinder menjadi penyumbang terbesar bagi perbezaan tersebut, dengan kos sekali ganda berbanding Myvi, dan untuk barangan lain kosnya hampir sama.

Seperti biasa, kos keseluruhan akan jadi cerita lain pula, bukan hanya hal-hal di pusat servis semata. Misalnya kos untuk insurans dan cukai jalan. Iriz dan Myvi dikenakan cukai jalan yang sama banyak — RM70 bagi 1.3 liter dan RM90 bagi model 1.5L/1.6L — dan Ativa lagilah murah dengan enjin 1.0 liter, dengan cukai jalan cuma RM20.

Kadar penggunaan minyak juga akan menyumbang kepada kos keseluruhan. Angka yang didakwa bagi setiap model adalah seperti berikut — Myvi baru dengan D-CVT ialah 22.2 km/l (1.3L) dan 21.1 km/l (1.5L); Ativa 1.0L dengan bacaan 18.9 km/l; dan Iriz memberikan antara 14.9-14.3 km/l (1.6L).

Faktor lain termasuklah penukaran pad brek dan tayar, dengan bergantung misalnya kepada saiz untuk tayar yang digunakan — lagi besar, lagi mahal. Roda Myvi bersaiz antara 14-15 inci, Iriz pula dari 15-16 inci sepentara Ativa 16-17 inci. Bagi harga kereta itu sendiri pula, Myvi bermula dari RM45,700 hingga RM58,800 atas jalan tanpa insurans. Iriz pula dijual dari RM40,800 dan RM54,800, sementara Ativa pula dari RM61,500 hingga RM72,000.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required