Minggu lalu Perodua akhirnya telahpun melengkapkan katalog aksesori GearUp untuk Myvi facelift 2022, dengan pengenalan kit badan Ace untuk hatchback versi kemaskini berkenaan yang dilancarkan pada November 2021. Kit badan ini akan menyertai pelbagai lagi aksesori GearUp yang telah diperkenalkan sekali ketika pelancaran model berkenaan pada akhir tahun lalu.

Sebelum ini kami telah pun menyiarkan katalog barisan aksesori tersebut, bersama gambar-gambar rasmi dari Perodua sendiri. Kalau anda tak puas dengan gambar-gambar studio berkenaan, nah kami sediakan galeri penuh untuk sebuah Perodua Myvi 2022 yang diberikan aksesori lengkap Ace dari GearUp.

Seperti yang telah diketahui, kit badan Ace tersebut terdiri dari kemasan tambahan untuk apron bampar hadapan bersama spoiler pada bahagian bawah, skirt sisi, kemasan tambahan bawah bampar belakang dengan diffuser dan juga spoiler bumbung pada bahagian atas pintu tailgate belakang.

Kit badan lengkap ini dijual pada harga RM2,500, termasuk kos buruh dan SST, dan telah pun diwarnakan mengikut enam warna badan Myvi iaitu Cranberry Red, Electric Blue, Lava Red, Granite Grey, Glittering Silver dan Ivory White. Jika anda pilih kit badan ini menerusi pembelian kereta baharu, ia turut boleh disekalikan dengan pembiayaan kereta berkenaan.

Perodua turut menawarkan spoiler belakang sahaja pada harga RM550 sekiranya anda tidak berminat dengan komponen lain pada kit badan ini. Kit badan Ace ini memberikan rupa yang jauh lebih agresif berbanding versi standard, tetapi mungkin untuk sesetengah orang ia menampilkan rekaan yang ‘terlalu sibuk’.

Untuk kemasan apron bampar hadapan, ia diberikan perumah lampu nyalaan siang LED yang jauh lebih besar dengan kemasan hitam, yang kelihatan seperti liang pengambilan udara. Perlu diingat, kit ini tidak datang sekali dengan lampu nyalaan siang tersebut di mana ia adalah perincian yang diberikan standard sekiranya anda membeli Myvi dalam varian H dan AV.

Tiada lagi kemasan berwarna perak pada bahagian ‘dagu’ Myvi yang diberikan kit badan ini kerana ia telah ditutup dengan kemasan spoiler bawah bampar juga berwarna hitam, yang bersambung sekali dengan kemasan perumah lampu nyalaan siang. Namun panel pada bahagian sisi spoiler bawah bampar berkenaan diberikan kemasan warna badan.

Kemasan warna hitam turut diberikan pada bahagian skirt sisi, manakala bampar belakang diberikan panel tambahan sisi lebih labuh dengan warna badan, dan bersambung dengan kemasan diffuser berwarna hitam pada bahagian tengah. Spoiler bumbung untuk kit Ace ini juga bersaiz jauh lebih besar, menampilkan ‘sayap’ kiri dan kanan yang tidak bersambung.

Selain dari kit badan, barisan aksesori Ace juga menampilkan balutan tempat duduk dengan material PVC dalam warna hitam, dengan kemasan merah dan panel gaya-gentian karbon, bersama logo Myvi pada perehat badan. Menurut Perodua, balutan tempat duduk ini dihasilkan dari material lembut dan ia mudah untuk dibersihkan.

Anda juga tidak perlu risau sama ada balutan berkenaan akan menjejaskan fungsi lain kerana Perodua mengesahkan bahawa ia telah diuji untuk beg udara sisi dan tidak menjejaskan fungsi Isofix. Jika anda berminat dengan set balutan ini, ia boleh dibeli pada harga RM745. Namun ia hanya untuk varian G, X dan H, manakala varian AV sudah pun diberikan tempat duduk balutan kulit sebagai ciri standard.

Ciri lain yang ada dalam katalog ini termasuk plat bernyala LED (set lengkap untuk kesemua empat pintu dalam satu set berharga RM260), pencahayaan lantai merah (depan dan belakang, RM240) dan dashcam dengan resolusi HD 1080p pada 2.0MP yang dilengkapi dengan keupayaan WiFi untuk melihat paparan video menerusi telefon pintar (RM500). Menurut Perodua, dashcam ini juga mempunyai “rakaman waktu malam yang berkualiti tinggi dengan Night Vision.”

Perlu diingatkan, ketiga-tiga ciri kelengkapan tersebut memerlukan wayar tambahan, dan ia dijual secara berasingan pada harga RM60. Penggunaan wayar tambahan ini membolehkan perincian-perincian tersebut dipadankan secara plug & play tanpa sebarang pemotongan wayar. Oleh itu,ia tidak akan menjejaskan waranti kereta anda, kata Perodua.

Lain-lain pilihan aksesori tanpa sebarang sistem elektrikal yang ditawarkan termasuk pelindung pintu, kemasan cermin sisi krom, kemasan cermin krom, perapi pintu sisi dengan garisan krom, pelindung suria magnetik, scuff plate krom (tanpa pencahayaan LED), tray barang untuk but belakang, set karpet kaki jenis gegelung yang boleh ditambah dengan alas jenis mesh di atasnya.

Anda juga boleh memadankan penebat bunyi tambahan GearUp untuk Myvi 2022 ini yang sedia dipadankan pada pintu serta penutup bonet hadapan. Antara aksesori lain untuk melengkapkan katalog GearUp ini termasuklah tempat duduk keselamatan kanak-kanak, skru pengunci tayar, dan sistem pemantauan tekanan tayar Bluetooth.

Perodua juga menawarkan dua pakej untuk anda membeli barisan aksesori yang ditawarkan ini. Yang pertama adalah Utility Package yang berharga RM360, merangkumi visor pintu, karpet gegelung, tray barang. Manakala yang kedua adalah Illumination Package yang berharga RM450, terdiri dari set pencahayaan lantai dan scuff plate LED.

GALERI: Brosur Perodua Myvi GearUp 2022