Perodua Alza D27A 2021 – imej bayangan dihasilkan

Perodua Alza D27A 2021 – imej bayangan dihasilkan

Pada Tokyo Motor Show (TMS) tahun ini, Daihatsu telah mendedahkan Daihatsu Rocky generasi baharu yang juga versi produksi dari model konsep Daihatsu DN Trec yang muncul pada TMS 2017. Dan disebabkan Rocky dihasilkan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) sama seperti SUV segmen-B yang sedang dibangunkan oleh Perodua dikenali dengan kod D55L, ramai yang membuat kesimpulan dua model tersebut mungkin adalah kembar seperti Daihatsu Terios dan Perodua Aruz.

Dalam masa yang sama, Perodua juga sebenarnya sedang membangunkan MPV baharu bagi menggantikan Perodua Alza yang sudah berada 10-tahun dalam pasaran, dikenali dengan kod D27A. Sekarang kami tertanya-tanya, adakah formulasi MPV baharu ini sama dengan D55L iaitu versi produksi untuk model konsep terkini yang didedahkan oleh Daihatsu?

Untuk kes ini, model konsep yang kami maksudkan adalah Daihatsu DN Multisix, iaitu MPV konsep yang muncul di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017 dan TMS 2017 dua bulan kemudian. Jadi untuk mengagak bagaimana agaknya ‘Perodua Alza’ generasi baharu nanti, seperti biasa pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin menghasilkan satu imej digital bagi memudahkan kita membayangkannya.

Perodua Alza D27A 2021 – imej bayangan dihasilkan

DN Multisix sebenarnya telah menampilkan rupa yang nampak seperti hampir dengan model produski tanpa elemen-elemen yang mengarut atau melebih-lebih. Untuk muka, Theo masih mengekalkan bentuk kluster lampunya yang tajam dan nipis tersebut dan hanya mengubah gril hadapan dengan memberikan elemen rekaan seperti gril Aruz.

Muka DN Multisix berkenaan juga tampil dengan elemen “X” yang kuat seperti yang diperkatakan oleh ketua pereka Perodua, Muhamad Zamuren sebelum ini. Oleh itu, bentuk asas bampar hadapan masih dikekalkan oleh Theo dan dia hanya merubah bentuk lampu kabus dan kemasan perumahnya agar nampak lebih realistik sebagai model produksi.

Kemudian pada bahagian sisi, kamera sisi dan pembuka pintu jenis rata pada DN Multisix telah digantikan dengan peralatan yang lebih logik untuk sebuah MPV produksi marhaen iaitu cermin sisi dan pembuka pintu jenis konvensional. Rim konsep juga telah digantikan dengan rim yang nampak lebih produksi dengan kemasan dua-tona.

Model konsep Daihatsu DN Multisix

Di belakang pula lampu bersaiz kecil pada model konsep tersebut diubah dengan unit yang lebih tebal dengan elemen rekaan seperti Daihatsu Rocky bersama perkataan “Alza” yang nampak seakan dicop ke dalam panel pintu tailgate tersebut.

Menurut Daihatsu, model konsep DN Multisix dihasilkan dengan dimensi 4,310 mm panjang, 1,720 mm lebar, 1,695 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,620 mm. Jika dibandingkan dengan Alza sekarang, versi konsep ini adalah 90 mm lebih panjang, 75 mm lebih tinggi tetapi mempunyai lebar yang sama. Nampak logik sebagai Alza generasi baharu kan?

Apa perkembangan projek D27A ini sebenarnya? Tidak seperti Proton yang kita senang untuk nampak menguji model-model akan datang mereka di jalan raya awam, Perodua pula lebih bijak untuk menyimpan rahsia. Namun baru-baru ini ada pembaca kami terserempak Perodua menguji MPV baharu ini di sekitar Genting Highland dengan menjadikan Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga sebagai kayu ukur, tetapi model berkenaan ‘bersembunyi’ di sebalik badan Toyota Avanza yang kelihatan sedikit pelik.

Perodua Alza D27A 2021 – imej bayangan dihasilkan

Perodua Alza generasi baharu ini berkemungkinan akan berkongsi platform dengan Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza generasi baharu, memandangkan dua model tersebut juga sudah berada lebih kurang 13-tahun dalam produksi. Tambahan pula, enjin siri NR yang digunakan dalam Avanza sekarang sememangnya dihasilkan oleh Perodua menerusi kilang enjin mereka yang terletak di Sendayan, Negeri Sembilan.

Malah jika dilihat trend pembangunan model-model baharu Toyota-Daihatsu-Perodua buat masa sekarang, mereka kini tidak lagi mengambil asas-asas model JDM, sebaliknya menghasilkan kenderaan-kenderaan baharu yang lebih sesuai dengan pasaran ASEAN, contohnya kembar Toyota Agya/Daihatsu Ayla/Perodua Axia dan Toyota Rush/Daihatsu Terios/Perodua Aruz.

Perodua juga mungkin akan menggunakan kekuatan divisi R&D mereka sekarang bagi menghasilkan rekaan badan atas yang berbeza dari versi Toyota dan Daihatsu, seperti apa yang telah didemonstrasikan pada Perodua Myvi generasi terkini.

GALERI: Model Konsep Daihatsu DN Multisix di GIIAS 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required