GIIAS 2017: Daihatsu DN Multisix – MPV konsep enam-tempat duduk baharu dengan penggayaan seperti SUV

GIIAS 2017: Daihatsu DN Multisix – MPV konsep enam-tempat duduk baharu dengan penggayaan seperti SUV

Selain dari model konsep sedan DN-F, Daihatsu turut membawa sebuah lagi model konsep yang membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini. Kali ini dalam bentuk MPV, digelar DN Multisix.

Buat masa ini, segmen MPV mampu milik dengan tujuh-tempat duduk sememangnya segmen yang paling hangat di pasaran rantau ASEAN manakala Toyota dan Daihatsu merupakan peneraju segmen tersebut – dengan barisan model Toyota Calya dan Daihatsu Sigra bagi pasaran entry-level, serta kembar Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia untuk pasaran pertengahan.

Model konsep Daihatsu DN Multisix yang diperkenalkan hari ini berkemungkinan akan dijelmakan sebagai model MPV produksi tertinggi yang menawarkan ruang dan keselesaan yang lebih baik. Seperti yang tertera pada namanya, MPV dengan tiga baris tempat duduk ini hanya menawarkan enam-tempat duduk berbanding Avanza yang mempunyai tujuh-tempat duduk.

Ia turut menampilkan pelbagai ciri tipikal sebuah model konsep, antaranya bahagian dalaman yang futuristik, pintu bukaan suicide seperti DN-F Sedan, dan juga bumbung kaca sepenuhnya. Seperti juga Honda BR-V dan juga Mitsubishi Xpander (juga diperkenalkan di GIIAS 2017 hari ini), DN Multisix diberikan penampilan seakan sebuah SUV walaupun hakikatnya ia sebuah MPV.

Selain itu, MPV ini juga diberikan muka yang hampir sama seperti DN-F Sedan, dan mungkin ia akan digunakan sebagai rekaan signatur baharu Daihatsu untuk model-model produksi akan datang.

Model ini juga berkemungkinan akan dihasilkan sebagai model produksi pada masa akan datang memandangkan permintaan yang semakin tinggi terhadap kenderaan sebegini – dan tidak mustahil juga Perodua akan menggunakannya sekiranya mereka mahukan sesuatu yang lebih besar dari Alza. Tiada lagi maklumat berkenaan dimensi MPV ini, dan ia hanya didedahkan pada petang ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required