Toyota Calya GIIAS 3

Toyota Calya baharu telah pun dilancarkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016 yang sedang berlangsung ketika ini. Calya dibangunkan oleh PT Astra Daihatsu di kilang Karawang, yang mampu menghasilkan kapasiti sebanyak 200,000 unit. MPV ini menggunakan 94% komponen tempatan.

MPV bajet yang menerima penarafan Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia ini ditawarkan dalam dua pilihan iaitu varian asas E dan varian tertinggi G A/T dengan harga bermula 129.65 juta rupiah (RM39,662) hingga 150 juta rupiah (RM45,887).

Ia didatangkan dengan pilihan enjin petrol tunggal 3NR-VE 1.2 liter Dual VVT-i empat-silinder berkuasa 88 PS pada takat 6,000 rpm dan tork 108 Nm pada 4,200 rpm. Enjin 3NR-VE MPV yang dibina berasaskan platform Perodua Axia/Daihatsu Ayla/Toyota Agya ini juga merupakan salah satu enjin dari siri NR. Ia turut dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan, yang dipacu roda-hadapan.

Toyota_Calya-8

Sama seperti Avanza yang mampu memuatkan kapasiti tujuh-tempat duduk, namun Cayla ternyata memiliki saiz yang lebih kecil iaitu 4,070 mm panjang (-120 mm), 1,655 mm lebar (+5 mm) dan 1,600 mm tinggi (-95 mm), dan jarak roda 2,525 mm (-130 mm).

Manakala sistem suspensi dan brek pula sama seperti yang digunakan pada Perodua Axia/Bezza iaitu menampilkan suspensi topang Macpherson dan brek cakera pada bahagian hadapan, dan gandar torsion beam serta brek dram pada bahagian belakang. Kesemua varian juga didatangkan secara standard dengan roda aloi 14-inci dua-ton dibaluti tayar Bridgestone Ecopia bersaiz 175/65R14.

Bagi rekaannya pula , untuk bahagian luaran, Calya agak mirip dengan Toyota Yaris facelift yang dijual di pasaran Eropah. Ia menampilkan gril bawah yang agak besar pada bampar hadapan dan bersambung pada gril utama. Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan lampu belakang berbentuk-L, seperti rekaan pada Toyota Innova baharu.

Selain itu, kedua-dua varian juga ditampilkan dengan lampu hadapan reflektor halogen, immobilser penderia undur dan penggera kawalan jauh, penghawa dingin manual (dengan corong pada tempat duduk barisan kedua), tingkap berkuasa untuk semua pintu, penunjuk ECO, paparan pelbagai info, tempat duduk barisan kedua boleh lipat nisbah 60:40 dengan satu sentuhan tuil dan tempat duduk barisan ketiga one-piece.

Toyota_Calya-33

Walau bagaimana pun, bagi membezakan model asas dan spesifikasi tertinggi, varian G dilengkapi dengan lampu kabus hadapan, cermin sisi berkuasa dilengkapi lampu isyarat membelok, kemasan perak pada pintu dan papan pemuka serta kemasan krom pada corong penghawa dingin dan tombol gear.

Kedua-dua varian juga turut dilengkapi dengan pemain audio utama 2-DIN dengan fungsi CD, USB dan AUX. Walau bagaimanapun hanya varian G mempunyai hubungan Bluetooth dan empat-pembesar suara (varian E hanya dua-pembesar suara).

Malah bagi aspek keselamatannya, Calya dilengkapi dengan dua beg udara dan cagak ISOFIX secara standard serta ABS bagi varian G sahaja. Ia turut ditawarkan dengan enam pilihan warna, termasuk merah dan jingga metalik.