PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8L generasi ke-12 – pakej kuasa sama, tapi ada kelebihan pada keseimbangan

PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8L generasi ke-12 – pakej kuasa sama, tapi ada kelebihan pada keseimbangan

Toyota sudah menggunakan nama Corolla pada model keluarannya agak lama, iaitu sejak tahun 1960-an lagi. Sejak dari itu, model ini telah melalui pelbagai evolusi, dan meninggalkan kesan kepada ramai orang. Sehinggakan pada satu masa, Corolla pernah mencatat jumlah jualan yang lebih tinggi daripada Beetle oleh Volkswagen.

Di negara kita sendiri, kalau disebut Corolla, mungkin ramai yang sukar untuk memberi gambaran kereta yang dirujuk, tetapi kalau anda sebut siri seperti KE, AE, SE, LE, SEG dan Trueno mungkin baru tercetus semula dalam fikiran, ini semua adalah model Corolla.

Malah model-model awal sehingga Corolla generasi keenam boleh dikatakan masih dicari-cari oleh ramai peminat kereta sehingga kini mungkin kerana ciri pemanduannya, mekanikal yang ringkas serta keseronokan yang boleh diperolehi apabila memandu.

Walaubagaimanapun, apabila memasuki model generasi kelapan dan seterusnya, semangat pemanduan yang ditawarkan pada model Corolla seperti berkurang dan dijadikan lebih kepada keselesaan seperti kereta kebanyakan. Bermula daripada generasi ini juga model Corolla lebih dikenali sebagai Altis di negara kita.

Sekarang, Corolla sudah memasuki generasi ke-12 dan tanggapan awal yang terhasil adalah ia sebuah model yang lebih sporty. Ia pertamanya muncul di Amerika Syarikat pada bulan Mac tahun 2018, dan diperkenalkan dalam versi hatchback. Kemudiannya muncul pula versi wagon Touring Sports dan sedan.

Untuk pengetahuan anda, selain versi sedan dan hatchback, Corolla generasi ke-12 ini juga hadir dalam dua penampilan berbeza iaitu yang digunakan bagi pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, serta versi pasaran Eropah, China dan ASEAN. Penampilan dua versi adalah berbeza, tetapi binaan di sebaliknya adalah sama.

Kita baru sahaja menerima model ini bulan Oktober lalu, dan ia hadir dalam dua pilihan varian bentuk badan sedan. Sedikit menghampakan, walaupun ini adalah model generasi baru, kita tidak mendapat enjin 2.0 liter Dynamic Force baru dan sebaliknya kedua-duanya varian digerakkan oleh enjin 1.8 liter sama seperti Altis sebelum ini.

Sebagai sebuah kereta baru, memanglah Corolla ini nampak menarik, tapi bagi saya sendiri aura yang terhasil padanya adalah berbeza jika dibandingkan dengan Altis sebelum ini. Pandang dari sudut mana pun, perkadarannya nampak elok dengan bahagian hadapan kelihatan lebih sporty manakala bahagian belakang pula bentuknya hampir menyerupai model Lexus.

Ramai yang mengatakan Corolla versi AS nampak lebih ganas berbanding Corolla yang kita terima tapi bagi saya kedua-duanya sama menarik dan boleh mengundang lebih banyak lirikan mata berbanding Altis sebelum ini. Apapun, ia masih sesuatu yang subjektif dan bergantung kepada seseorang.

Varian yang ditampilkan ini adalah varian tinggi 1.8G berharga RM136,888 (beza RM8,000 dengan 1.8E) dan jika dilihat dari luar, kelainannya cuma pada lampu utama iaitu 1.8G menggunakan unit Bi-LED automatik dan rim (17 inci pada 1.8G dan 16 inci pada 1.8E).

PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8L generasi ke-12 – pakej kuasa sama, tapi ada kelebihan pada keseimbangan

Seperti yang diberitahu awal tadi, pakej kuasa pada Corolla baru ini adalah sama seperti sebelumnya, dan secara lebih tepat, ia mampu menghasilkan kuasa 137 hp pada 6,400 rpm dan 173 Nm tork pada 4,000 rpm kepada roda hadapan.

Tiada apa-apa yang istimewa pada enjin ini, dan saya boleh katakan ia tidak sporty seperti penampilannya. Mereka yang mahukan tarikan kuasa kuat sehingga badan melekat kepada penyandar tempat duduk, anda tidak akan dapat merasakannya pada Corolla baru ini. Sudah tentu, kalau tiba dengan enjin 2.0L Dynamic Force baru pastinya ia lebih mengujakan tetapi sepanjang memandu Corolla ini, tidak sekali pun saya terasa seperti enjin 1.8 liter ini kekurangan kuasa bagi sebuah sedan segmen C.

Transmisi yang digunakan pula adalah unit CVT, jadi anda tahu ia bukan untuk pemanduan sporty tetapi lebih kepada keselesaan. Tiada rasa penukaran gear, dan bila anda melepaskan pedal minyak pun, tidak banyak engine braking yang dapat dirasa dan kereta masih meluncur secara lancar. Walaupun begitu, jika mahukan sensasi engine braking sebelum masuk selekoh atau menurun bukit, anda boleh menurunkan gear maya menggunakan tombol atau pedal penukar gear di belakang stereng. Kereta ini juga datang dengan mod Sport serta Eco.

Bagi sebuah kereta yang lebih banyak membawa penumpang atau pemandunya lebih gemarkan keselesaan berbanding pemanduan agresif, ini adalah sangat padan dan anda juga tidak akan mendengar banyak bunyi daripada luar kerana tahap NVH kereta ini agak bagus. Ada masanya saya terfikir, kenapa seseorang yang biasa perlu membeli model berenjin 2.0L atau lebih dan membayar cukai jalan lebih tinggi sedangkan enjin 1.8L ini sudah mencukupi pada kebanyakan masa bagi kereta seperti ini.

Sebenarnya, ada kelebihan tersembunyi untuk mereka yang gemar memandu pada Corolla baru ini. Ia menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C baru, serta suspensi belakang yang ditukar daripada torsion beam kepada double wishbone. Suspensi hadapan adalah jenis MacPherson dan kedua-dua bahagian dipasang dengan stabiliser.

PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8L generasi ke-12 – pakej kuasa sama, tapi ada kelebihan pada keseimbangan

Tetapan ini ternyata memberikan kesan yang baik pada pengendalian kereta, dan ia terasa stabil dan meyakinkan pada kebanyakan masa. Kalau mahu dibandingkan dengan pesaingnya, Honda Civic terasa lebih lembut, manakala Mazda 3 pula lebih keras dan mantap. Corolla ini berada di tengah, dengan keseimbangan yang baik antara keselesaan dan prestasi.

Semasa hari pelancaran Corolla ini Oktober lalu, saya sebenarnya telah diberi peluang awal untuk memandunya dari ibu pejabat UMW Toyota di Shah Alam ke Genting Highlands kerana acara dilakukan di sana. Melalui lebuh raya Karak dan jalan naik ke puncak itu memberikan saya peluang untuk mecuba pengendalian Corolla baru.

Pertamanya, kenderaan ini mudah untuk dihalakan masuk ke dalam selekoh dan maklum balas sterengnya lebih responsif berbanding sebelum ini. Disebabkan terdapat dua lagi rakan sekerja dalam kereta, saya tidak memandu begitu agresif tetapi masih lagi boleh dikatakan laju berbanding biasa.

Walaupun dengan keadaan begitu, suspensi Corolla ini masih lagi terasa meyakinkan dan kereta tidak terlalu berayun apabila mengambil selekoh. Sementara saya memberi tumpuan kepada pemanduan, rupanya penumpang di sebelah dan belakang masih boleh tertidur sehingga tiba.

Sekiranya anda ada berkira-kira ingin membeli Corolla baru ini, saya cadangkan pergi terus kepada varian tinggi 1.8G kerana bayaran tambahan RM8,000 berbanding varian 1.8E itu boleh dianggap berbaloi untuk pelbagai barangan tambahan yang diberi.

Paling utama adalah pada sistem keselamatan, di mana selain ciri seperti tujuh beg udara, pengesan jarak depan dan belakang, TPMS, VSC, TRC, ABS, EBD, BA dan HAC yang diberi secara standard untuk kedua-dua varian, 1,8G ditambah lagi dengan pakej Toyota Safety Sense yang termasuk Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Automatic High Beam (AHB) dan Blind Spot Monitor (BSM).

Sudah tentu, ini adalah bagus untuk menjadikan kenderaan anda lebih selamat, tetapi pengalaman memandu anda juga akan jadi lebih berbeza. Ciri LDA contohnya, boleh melatih lebih ramai pemandu menggunakan lampu penunjuk arah dan melihat kepada cermin sisi sebelum menukar lorong kerana jika tidak berbuat demikian, bunyi amaran dan berat tambahan pada stereng akan dapat dirasa. Walaubagaimanapun, ciri ini masih boleh ditutup menggunakan butang pada sebelah kanan roda stereng.

Paling saya gemari adalah Adaptive Cruise Control. Pada Corolla baru, ciri ini sangat mudah digunakan dan masih dapat memberi keyakinan kepada pemandu. Hanya dengan menekan dua butang pada bahagian kiri stereng, ia sudah aktif dan anda boleh memilih tiga tahap jarak dengan kereta di hadapan.

Saya sempat mencubanya dalam satu perjalanan ke Melaka melalui lebuh raya pada waktu malam, dengan keadaan trafik sederhana dan hujan berpanjangan. Walaupun dalam keadaan sebegitu ia masih berfungsi baik. Untuk memberikan gambaran bagaimana menggunakan ciri ini, biar saya nyatakan contohnya.

Mula-mula sekali, anda tetapkan kelajuan yang diinginkan, sebagai contoh 110 km/j di lorong tengah dan biarkan sahaja kereta bergerak sendiri tanpa menekan pedal minyak atau brek. Semasa anda meluncur pada kelajuan tersebut, jika ada kereta yang lebih perlahan di depan, sistem ini akan memperlahankan kenderaan secara sendiri dan mengikut kelajuan kereta tersebut. Yang menariknya juga, ia tidak membrek secara mengejut (melainkan jika perlu) dan kelajuan turun secara sekata, sekaligus menghasilkan rasa selesa.

PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8L generasi ke-12 – pakej kuasa sama, tapi ada kelebihan pada keseimbangan

Apabila kereta di hadapan itu sudah meningkatkan kelajuan atau tiada lagi di depan, sistem ini akan membawa kenderaan anda kepada kelajuan yang telah ditetapkan awal tadi secara sendiri.

Selain daripada ciri keselamatan ini, varian 1.8G juga datang dengan beberapa aksesori lain seperti pengecas tanpa wayar, pengelap cermin automatik, panel paparan informasi MID 7.0 inci, kawalan pendingin hawa dua zon, tempat duduk balutan kulit, brek parkir elektronik, penghadang cahaya cermin belakang, perakam video depan dan belakang serta paparan panoramik 3D.

Secara keseluruhannya tidak banyak benda yang saya tidak gemar pada Corolla baru ini. Saya sangat senang bersamanya selama beberapa hari dan satu lagi contoh, ada satu waktu, saya perlu mengangkat barang yang panjang ke dalam kereta, ia juga tidak menjadi masalah kerana keseluruhan penyandar tempat duduk belakang boleh dibaringkan ke hadapan.

Kalau ada pun benda yang saya tidak berpuas hati, skrin sesentuh 6.8 inci yang digunakan nampak seperti kecil sedangkan perumahnya adalah besar (terdapat bahagian lebar yang tidak digunakan), manakala butang kawalan pendingin hawa dan di stereng semuanya rata membuatkan saya perlu melihat setiap kali mahu menekan sesuatu butang. Saya faham jurutera Toyota mahu menghasilkan rekaan yang kemas, tapi sekurang-kurangnya mereka boleh meletakkan titik kecil pada butang tertentu supaya kita tahu kedudukan serta apa yang ditekan.

Anda juga sebenarnya boleh melihat potensi yang lebih luas untuk Corolla generasi ke-12 ini di mana antara yang sudah dipertontokan adalah seperti versi sedan GR Sport, crossover, Corolla Sport HKS, Corolla Sport TOM’S, Corolla Sport Blitz, hatchback GR Sport dan versi hibrid.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required