Ketika Toyota Corolla Altis generasi baharu masuk ke pasaran Thailand September lalu, ia turut diperkenalkan dalam varian paling sporty GR Sport. Model tersebut turut dibawa untuk di pamerkan ketika Thai Motor Expo 2019 berlangsung, dan kesempatan ini kami ambil untuk memberikan galeri penuh kereta tersebut untuk tatapan anda.

Model GR Sport ini adalah satu-satunya varian Corolla Altis yang diberikan enjin NA 1.8L di Thailand, dijana oleh enjin 2ZR-FBE menghasilkan 140 PS dan tork maksima 177 Nm – sedikit lebih berkuasa dari model pasaran Malaysia yang dijana enjin 1.8L 2ZR-FE berkuasa 139 PS/173 Nm.

Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik Super CVT-i, yang akan memberikan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

Seperti yang anda lihat, Corolla Altis GR Sport pasaran Thailand ini menampilkan kit badan unik yang terdiri dari gril hadapan kemasan hitam bersama serlahan kemasan krom tebal seakan Camry SE pasaran Amerika Syarikat, skirt sisi gabungan warna badan dan hitam, diffuser pada bawah bampar belakang serta rim aloi tujuh-jejari 17-inci.

Pada bahagian dalaman pula, Corolla GR Sport ini diberikan kabin dengan warna hitam, dengan serlahan-serlahan merah pada tempat duduk dan panel dalaman pintu. Ia juga diberikan kelengkapan tertinggi seperti lampu hadapan LED automatik, upholsteri kulit, skrin sesentuh utama lapan-inci, paparan pelbagai info 4.2-inci, fungsi brake hold automatik, dan pedal penukar gear.

Untuk keselamatan, kesemua Corolla Altis pasaran Thailand dibekalkan dengan tujuh-beg udara, VSC, ABS, kawalan traction, EBD, BA dan bantuan mula mendaki. Model tertinggi ini pula menerima tambahan penderia parkir, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.

Termasuk varian GR Sport ini, Toyota menawarkan enam varian Corolla Altis di Thailand. Untuk varian asas 1.6 liter Limo dan 1.6G, ia dijual pada harga masing-masing 829,000 baht (RM114,100) dan 869,000 baht (RM119,600). Model GR Sport pula dijana enjin petrol 1.8 liter dijual pada harga 999,000 baht (RM138,076).

Tiga varian selebihnya adalah dikuasakan dengan unit janakuasa petrol hibrid, dengan versi asas dijual pada harga 939,000 baht (RM129,200), meningkat kepada 989,000 baht (RM136,100) untuk versi pertengahan Mid. Manakala varian penuh Corolla Hybrid High dijual pada harga 1,099,000 baht (RM151,200).

Model-model dari versi 1.6 liter dijana oleh enjin petrol empat silinder 1ZR-FBE berkuasa 125 PS pada takat 6,050 rpm dan tork maksima 156 Nm pada 5,200 rpm. Versi yang dijana enjin 1.8 liter pula menerima enjin 2ZR-FBE berkuasa 140 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 177 Nm bermula 4,000 rpm. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT automatik untuk memacu roda hadapan.

Manakala untuk model-model hibrid, ia menggandingkan enjin petrol 1.8 liter kitaran Atkinson 2ZR-FXE berkuasa 98 PS/142 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 72 PS/122 Nm – secara keseluruhan Corolla Altis Hybrid 2019 dibekalkan dengan kuasa 122 PS.