Toyota Corolla Altis 2019 dilancarkan di Thai – tawar varian GR Sport dan Hybrid, bermula RM114k-RM151k

Toyota Corolla Altis 2019 dilancarkan di Thai – tawar varian GR Sport dan Hybrid, bermula RM114k-RM151k

Seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, Toyota Corolla generasi ke-12 kini secara rasmi telah mendarat di ASEAN, atau secara spesifiknya ia telah dilancarkan di Thailand semalam. Seperti pasaran lain, Corolla tersebut adalah model baharu sepenuhnya, diasaskan dari platform GA-C Toyota New Global Architecture (TNGA), tetapi masih mengekalkan nama Corolla Altis bagi pasaran rantau ini.

Corolla Altis 2019 di Thailand ini menerapkan rupa dari Corolla Sedan pasaran Eropah, yang kelihatan lebih ‘sopan’ berbanding model pasaran Amerika Syarikat dengan rekaan lebih agresif. Walau bagaimanapun jika dibandingkan dengan model generasi ke-11, Altis ini jelas nampak lebih garang.

Bermula dengan Corolla ini juga nampaknya Toyota mula membawa jenama Gazoo Racing terhadap model-model lebih sporty dari bilik pameran bagi pasaran ASEAN, yang sebelum ini lebih dominan dengan jenama Toyota Racing Development (TRD). Untuk itu, varian paling sporty ESport pada model sebelumnya telah digantikan dengan varian GR Sport pada Corolla Altis 2019 ini.

Corolla Altis GR Sport pasaran Thailand menampilkan kit badan yang terdiri dari gril hadapan kemasan hitam bersama serlahan kemasan krom tebal seakan Camry SE pasaran Amerika Syarikat, skirt sisi gabungan warna badan dan hitam, diffuser pada bawah bampar belakang serta rim aloi tujuh-jejari 17-inci.

Toyota Corolla Altis 2019 dilancarkan di Thai – tawar varian GR Sport dan Hybrid, bermula RM114k-RM151k

Kabin model pasaran ASEAN ini pula tidak menampilkan perubahan ketara dengan model pasaran global lain. Ia masih diberikan papan pemukan dengan rekaan berlapis, bersama skrin infotainmen berdiri sendiri pada bahagian tengah.

Selain itu, Altis 2019 ini turut diberikan ciri lain seperti paparan head-up bersaiz besar, paparan meter kelajuan digital tujuh-inci, liang pendingin hawa kabin belakang, skrin sesentuh utama lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dan juga kualiti material yang lebih baik dari sebelumnya.

Dari segi saiz pula, Altis 2019 hadir dengan dimensi 4,640 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,435 mm tinggi, atau 10 mm lebih panjang, 5 mm lebih lebar dan 45 mm lebih rendah dari model generasi ke-11. Tetapi jarak roda Altis baharu ini masih kekal 2,700 mm.

Enam varian Corolla Altis baharu ditawarkan di Thailand dengan tiga pilihan unit janakuasa. Untuk varian asas 1.6 liter Limo dan 1.6G, ia dijual pada harga masing-masing 829,000 baht (RM114,100) dan 869,000 baht (RM119,600). Model GR Sport pula dijana enjin petrol 1.8 liter dijual pada harga 999,000 baht (RM137,500).

Toyota Corolla Altis 2019 dilancarkan di Thai – tawar varian GR Sport dan Hybrid, bermula RM114k-RM151k

Tiga varian selebihnya adalah dikuasakan dengan unit janakuasa petrol hibrid, dengan versi asas dijual pada harga 939,000 baht (RM129,200), meningkat kepada 989,000 baht (RM136,100) untuk versi pertengahan Mid. Manakala varian penuh Corolla Hybrid High dijual pada harga 1,099,000 baht (RM151,200).

Model-model dari versi 1.6 liter dijana oleh enjin petrol empat silinder 1ZR-FBE berkuasa 125 PS pada takat 6,050 rpm dan tork maksima 156 Nm pada 5,200 rpm. Versi yang dijana enjin 1.8 liter pula menerima enjin 2ZR-FBE berkuasa 140 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 177 Nm bermula 4,000 rpm. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT automatik untuk memacu roda hadapan.

Manakala untuk model-model hibrid, ia menggandingkan enjin petrol 1.8 liter kitaran Atkinson 2ZR-FXE berkuasa 98 PS/142 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 72 PS/122 Nm – secara keseluruhan Corolla Altis Hybrid 2019 dibekalkan dengan kuasa 122 PS.

Model asas akan diberikan perincian standard seperti lamu hadapan halogen, lampu belakang LED, rim aloi 15-inci, tempat duduk fabrik dengan larasan manual di hadapan dan hubungan Bluetooth. Varian 1.6G dan model asas Hybrid pula dibekalkan dengan rim aloi 16-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit, pendingin hawa automatik dengan liang kabin belakang dan juga penderia undur.

Toyota Corolla Altis 2019 dilancarkan di Thai – tawar varian GR Sport dan Hybrid, bermula RM114k-RM151k

Model GR Sport dan Hybrid Mid pula dibekalkan dengan lampu hadapan automatik LED, cermin hadapan akustik, tempat duduk pemandu larasan berkuasa, skrin sesentuh lapan-inci dan kamera undur.

Manakala model paling mahal Hybrid High menerima ciri seperti rim aloi 17-inci, lampu kabus LED, sistem navigasi, sistem telematik T-Connect, meter kelajuan digital, paparan HUD, Nanoe ioniser, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa dan juga pelindung matahari berkuasa pada cermin belakang.

Untuk keselamatan pula, semua varian hadir standard dengan tujuh-beg udara dan sistem kestabilan elektronik. Model GR Sport pula menerima tambahan sistem pemantau titik buta bersama amaran lintasan trafik belakang.

Walau bagaimanapun, hanya model Hybrid High menerima pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang menawarkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong dan juga lampu tinggi automatik. Versi tertinggi ini juga dipadankan dengan sistem pemantau tekanan tayar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required