Toyota Corolla Touring Sports – wagon generasi baru

Toyota Corolla Touring Sports – wagon generasi baru

Selepas model Corolla Hatchback generasi baharu diperkenalkan awal tahun ini, Toyota kini memperkenalkan pula satu lagi versi model ikonik tersebut – bukan sedan, tetapi wagon yang diberi nama Toyota Corolla Sports Touring.

Menurut Toyota, model ini direka di studio Pusat Rekaan Toyota Eropah yang terletak di Zaventem, Belgium dan turut dibangunkan di benua berkenaan, disasarkan untuk mereka yang “inginkan praktikaliti dan gaya tanpa kompromi.” Jenama tersebut turut mendakwa bahawa wagon ini bukan variasi dari model hatchback, sebaliknya adalah model yang dibangunkan secara tersendiri.

Walau bagaimanapun, jika diamati dari muka hingga ke pintu hadapan, rekaan wagon ini adalah seiras dengan versi hatchback. Namun berbanding hatchback yang mempunyai dua garis bahu – garis utama naik ke tiang-C, manakala satu lagi bermula dari pintu belakang hingga lampu belakang – model Touring Sports ini hanya mempunyai satu garis bahu yang bermula dari fender hadapan hingga lampu belakang.

Toyota Corolla Touring Sports – wagon generasi baru

Seperti juga model-model wagon baharu dalam pasaran, bahagian belakang kereta ini tidak direka petak, tetapi menerapkan rekaan shooting brake dengan garis bumbung tirus kebelakang, bersama cermin belakang yang lebih leper. Toyota belum lagi mendedahkan rekaan belakang sepenuhnya wagon ini, namun menerusi imej sedia ada dapat dilihat lampu LED belakang yang tirus mungkin menerima rupa yang hampir seiras dengan versi hatchback.

Bagi menyerlahkan lagi penampilan sebuah kenderaan utiliti, Corolla Touring Sports diberikan kemasan seperti rel bumbung berwarna perak, kemasan hitam disekeliling gril hadapan, serta pilihan warna badan dua-tona dengan bumbung dan tiang menerima cat berwarna hitam.

Bukan sekadar bahagian storan belakang yang ditambah dengan kapasiti muatan 598 liter berbanding 507 pada model hatch standard, malah model wagon ini juga sebenarnya mempunyai jarak roda lebih panjang dengan dimensi 2,700 mm, berbanding 2,640 mm pada model hatchback. Menurut Toyota, ini membolehkan kereta berkenaan mempunyai ruang kelegaan lutut yang paling luas dalam kelasnya.

Seperti juga model hatchback, Touring Sports ini juga hadir dengan tiga pilihan janakuasa. Enjin konvensional hanya ditawarkan dengan pilihan unit petrol turbo 1.2 liter berkuasa 116 hp, manakala untuk versi 1.8 liter dan 2.0 liter tanpa induksi paksaan, ia hadir bersama padanan sistem hibrid elektrik masing-masing berkuasa 122 hp dan 180 hp.

Dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C, unit janakuasa diletakkan serendah mungkin manakala bateri hibrid pula berada pada bahagian tempat duduk belakang, memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan. Menurut Toyota lagi, buat pertama kali penyerap hentak dengan teknologi Suspensi Adaptif Bervariasi (AVS) diperkenalkan menerusi Corolla Touring Sports ini.

Ciri-ciri lain yang turut ditampilkan pada model ini termasuk meter pemandu 3-D, paparan Head-up premium, sistem bunyi premium JBL GreenEdge dan Toyota Touch Multimedia System yang memberikan fungsi pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required