Di Eropah, pembeli Toyota Corolla Touring Sports (wagon) kini diberikan pilihan versi lebih ranggi, dipanggil sebagai Corolla Trek, dengan gaya seperti crossover. Ia adalah satu model kolaborasi dengan pengeluar basikal, Trek, dan disasarkan kepada pengguna yang mempunyai gaya hidup aktif.

Corolla Trek ini boleh didapati dalam tiga pilihan enjin iaitu 1.2 liter turbo, 1.8 liter atau 2.0 liter hibrid, dan keistimewaannya bukan sekadar terletak pada penampilan. Tinggi kenderaan juga dinaikkan 20 mm berbanding model Touring Sports biasa.

Antara bahagian yang menjadikan Corolla Trek ini nampak lebih ranggi adalah kemasan pada keliling lengkuk roda serta tambahan plet pada bampar hadapan dan belakang. Turut dipasang adalah gril jenis honeycomb, cermin belakang gelap, lampu kabus, lampu LED, rim 17 inci, dan sudah tentu, lencana Trek untuk menunjukkan keluaran khasnya.

Di bahagian dalam, varian ini mendapat balutan fabrik dua tona pada tempat duduk dan kemasan kayu pada papan pemuka. Lencana Trek turut diletakkan di tepi pintu. Kelengkapan standard lain adalah termasuk skrin infotainmen TFT tujuh inci, panel instrumen TFT tujuh inci, serta pakej keselamatan dan bantuan pemandu Safety Sense.

Corolla Trek pertama kali dipertontonkan sewaktu perlumbaan basikal La Vuelta di Sepanyol, tetapi ramai yang tidak menyedari ia adalah versi istimewa kerana pelekat yang digunakan. Kerjasama antara Toyota dan Trek juga akan melihatkan penggunaan 16 Corolla Trek (semuanya berenjin 2.0 liter hibrid) oleh pasukan Trek-Segafredo sepanjang perlumbaan basikal Eropah yang disertainya.