Minggu lalu, Toyota Corolla 2019 telah mula muncul di bilik pameran, dan kami telah pun bawakan galeri penuh serta penawaran spesifikasinya untuk tatapan anda. Kali ini, kami tampilkan pula model generasi ke-11 yang bakal digantikan oleh terbaru ini – dari generasi ke-12 – untuk anda lihat perbezaan antara kedua-duanya.

Pertama sekali, namanya telah berubah. Corolla merupakan satu nama yang sangat dikenali diperingkat global. UMWT juga akan menggugurkan penjenamaan Altis dari material pemasaran model terbaru ini; sebuah nama yang digunakan untuk kereta segmen C berkenaan dipasaran Asia Tenggara sejak generasi kesembilan lagi. Namun, lencana Altis masih akan dikekalkan pada kereta ini – tambahan ia dibawa masuk secara CBU di Thailand.

Di dalam artikel ini, gambar-gambar Corolla terbaru akan diletakkan di kiri, manakala Altis sedia ada di sebelah kanan. Dari wajah depan sahaja sudah menampakkan kesegaran dan kekemasan yang ditampilkan pada Corolla versi baru ini – kemasan krom yang sampai ke bahagian lampu utamanya yang kini LED. Ada iras Camry terbaru yang dibawakan pada Corolla terkini.

Sudut sisi pada bahagian bawah bampar pula diberikan bucu bersegi dengan kemasan krom, menampakkannya lebih lebar. Versi lama hadir dengan jalur bukaan udara yang lebih panjang ke tepi; kedua-duanya lengkap dengan lampu kabus halogen bulat. Lip bawah juga lebih halus dan kemas.

Bahagian sisi, ada dua perbezaan ketara. Cermin sisi kini diletakkan pada bahagian pintu dan bukannya pada tingkap – rekaan cermin sisi baru ini juga lebih kecil, bahagian atasnya disudahi dengan kemasan krom. Selain itu, garis bahu pada pintu juga berbeza, kini tidak lagi sebaris dengan pemegang pintu krom yang digunakan.

Tiang C juga tampil dengan bentuk yang lebih sekata, dengan pintu belakang juga tidak lagi selari dengan lengkuk yang sama dengan bahagian tayar. Lain-lain perbezaan ialah rim aloi 17-inci dua-tona yang digunakan; rekaannya nampak sama, tetapi ada kelainan diberikan berbanding rim pada model 2.0V sebelum ini.

Di belakang, lampu 3D LED menerima kombinasi perumah merah-putih yang sama, tetapi di’terbalikkan’ untuk mendapatkan bentuk L bagi seksyen merahnya, memberikan imej yang lebih unik. Bahagian lampu itu juga diberikan kemasan krom dan menampakkan kereta ini menjadi lebih lebar. Bukaan ruang but pula lebih bersegi, dengan lencana Altis diturunkan ke bawah lampu kiri. Bampar belakang juga baru – dengan empat sensor serta dua pemantul cahaya.

Di dalam, rekaan yang diberikan lebih lapang dan tersusun kemas berbanding sebelumnya. Stereng kini menggunakan jenis tiga jejari, balutan kulit. Panel instrumen Optitron dengan paparan tujuh-inci TFT LCD, rekaan corong pendingin hawa asimetrikal serta penggunaan skrin apung ditengah konsol. Di tengah tempat duduk, ada kemudahan pengecas tanpa wayar Qi disediakan, tombol gear yang lebih moden, suis brek parkir elektronik, dua ruang pemegang cawan dan ruang simpanan pada pintu yang lebih besar serta butang mod Sport tersedia.

Tempat duduk depan dan belakang pula hadir dengan rekaan baru yang lebih lebar dan panjang, serta gabungan material campuran – untuk memberikan lebih keselesaan. Kerusi belakang juga lebih “dalam” untuk menyokong badan penumpang dengan lebih berkesan. Tambahan baru lainnya ialah seperti corong pendingin udara di tengah bahagian belakang, perehat lengan bersepadu di tengah dengan dua pemegang cawan serta tirai penghadang manual.

Tidak seperti Corola generasi ke-11, model baru generasi ke-12 ini akan ditawarkan hanya dengan satu pilihan enjin 2ZR-FE 1.8 liter NA Dual VVT-i empat silinder petrol, menghasilkan 139 PS pada 6,000 rpm dan 172 Nm tork pada 4,000 rpm. Seperti sebelumnya, ia dipadankan dengan transmisi CVT dengan mod Shiftmatic dengan tujuh nisbah maya, pacuan ke roda hadapan.

Suspensi belakang juga telah dipertingkat kepada unit double wishbone berbanding torsion beam dahulu. Kelengkapan standard antara lain terdiri daripada lampu utama halogen automatik dengan DRL LED dan lampu belakang LED, rim 16-inci, sistem tanpa kunci, butang Start, cermin utama akustik, sistem pendingin zon tunggal, tempat duduk pemandu larasan lapan-arah, balutan fabrik, sistem DVD infotainmen dengan skrin 6.8-inci, enam pembesar suara dan pam tayar mudah alih.

Varian 1.8 G yang lebih tinggi pula ditambah dengan lampu LED, cermin sisi yang turun apabila mengundur, pengelap cermin automatik, pengawal suhu dua zon, panel instrumen Optitron dengan skrin TFT LCD tujuh inci, tempat duduk balutan kulit, penghalang cahaya cermin belakang, pengecas telefon Qi tanpa wayar, brek parkir elektronik dan rim 17 inci.

Untuk aspek keselamatan, semua varian mendapat tujuh beg udara, Vehicle Stability Control (VSC), Hill Start Assist, cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang dan sistem pemerhati tekanan angin tayar. Tetapi, varian 1.8 G yang lebih tinggi pula mendapat pakej bantuan pemandu penuh Toyota Safety Sense yang termasuk Autonomous Emergency Braking, All-speed Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Tracing Assist, Blind Spot Monitoring dan lampu tinggi automatik.

Varian ini juga diberikan sistem kamera “3D” 360 darjah serta perakam video depan dan belakang (dijual secara berasingan untuk varian 1.8 E pada harga masing-masing RM2,700 dan RM1,100). Turut ditawarkan adalah sistem telematik kenderaan pada harga RM1,700, yang termasuk langganan selama dua tahun berharga RM250 setahun. Jadi, macam mana? Boleh lawan Civic dan Mazda 3?

Malaysia akan menerima dua varian Corolla 2019 iaitu 1.8E dengan harga anggaran RM128,888 dan 1.8G pada harga anggaran RM136,888.

Toyota Corolla 1.8G 2019

Toyota Altis 1.8G 2018