Toyota Vios 2023 D92A – video teaser disiar, dalaman nampak premium, bakal didedah di Thailand Ogos ini!

Toyota Vios 2023 D92A – video <em>teaser</em> disiar, dalaman nampak premium, bakal didedah di Thailand Ogos ini!

Nampaknya khabar angin yang bertiup sebelum ini menyatakan bahawa Toyota Vios generasi baharu bakal didedahkan di Thailand pada Ogos ini adalah benar – laman sosial Toyota Motor Thailand sudah pun menyiarkan video teaser untuk sedan segmen-B generasi baharu berkenaan, dan mengumumkan bahawa ia bakal diperkenalkan pada 9 Ogos ini! Dan apa yang lagi menarik, sebahagian rupa Vios 2023 berkenaan turut terdedah pada video teaser pertama ini!

Menerusi video berkenaan, dapat dilihat bahawa Vios generasi keempat tersebut menerima muka dengan lampu hadapan yang nipis dan tajam seakan Toyota Corolla, bersambung terus dengan gril sebelah atas yang juga direka nipis. Sementara gril bampar pula direka besar berbentuk-heksagon bersama elemen bar tebal yang melintang seakan Toyota Avanza generasi baharu.

Seperti yang dijangka sebelum ini, Vios 2023 ini adalah versi produksi untuk model konsep Daihatsu DN-F Sedan, yang muncul di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017. Ia diserlahkan menerusi profil sisi Vios produksi ini yang menampilkan rekaan garis bumbung, tingkap sisi dan juga garis bahu seakan coupe diinspirasikan dari versi konsep berkenaan.

Manakala di belakang, lampu utama bagi model generasi baharu ini turut menampilkan rupa yang lebih nipis serta bersegi. Namun berbeza dengan model konsep Daihatsu DN-F Sedan yang diberikan ruang nombor pendaftaran pada bampar, model produksi Vios ini nampaknya diberikan perumah nombor pendaftaran pada bahagian penutup but yang lebih tinggi.

Video pendek yang berdurasi hanya 15 saat ini juga sempat memberikan sebahagian rupa bahagian dalam Vios 2023 ini. Ia kini menerima papan pemuka yang jauh lebih minimalis seakan Honda Civic, dengan skrin berdiri sendiri pada bahagian tengah. Stereng yang diberikan pada Vios baharu ini juga nampaknya seiras dengan stereng Perodua Ativa AV/Perodua Alza AV 2022/Toyota Veloz 2022, menandakan ia menerima sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.

Perincian premium turut boleh dilihat pada kabin Vios generasi baharu ini dimana ia menerima balutan upholsteri kulit berwarna merah bukan hanya pada tempat duduk, malah pada sebahagian besar papan pemuka serta perehat tangan tengah serta banyak diberikan bahagian sentuhan lembut.

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Toyota Vios generasi keempat ini akan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dan sebab itulah ia menggunakan kod projek D92A yang seiras dengan kod-kod projek model baharu dari Perodua. Ia juga adalah pelengkap kepada trio model konsep DN yang didedahkan oleh Daihatsu pada 2017, iaitu DN-Trec (dijelma sebagai SUV Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa), DN Multisix (dijelma sebagai MPV Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza 2022).

Bagi model pasaran Thailand, Vios mungkin kekal menggunakan nama Yaris Ativ dan terus dijana enjin 1.2 liter seperti model generasi sedia ada, bagi membolehkan ia dijual di pasaran berkenaan dengan menerima manfaat insentif Kereta Eco Thailand. Manakala bagi pasaran lain, Vios dijangka akan terus menerima enjin 1.5 liter NA.

Malah ada laporan menyatakan bahawa Vios generasi keempat ini bakal ditawarkan dalam versi hibrid, bagi memberikan saingan terus kepada Honda City RS e:HEV yang menerima unit rangkaian kuasa hibrid elektrik i-MMD. Untuk Vios hibrid, ia dikhabarkan menerima unit rangkaian kuasa 1.5L hybrid yang sama digunakan pada model Toyota Aqua pasaran Jepun/Toyota Prius c.

Toyota Vios 2023 D92A – video <em>teaser</em> disiar, dalaman nampak premium, bakal didedah di Thailand Ogos ini!

Pada model tersebut, sistem hibrid itu menggandingkn enjin 1.5L Dynamic Force tiga-silinder kitaran Atkinson berkuasa 91 PS/120 Nm bersama dua motor elektrik dan set gear planetary. Motor elektrik paling besar dalam sistem berkenaan mampu menghasilkan kuasa 80 PS/141 Nm. Sistem yang sama turut digunakan pada Toyota Yaris dan Yaris Cross pasaran Eropah.

Apa pun, perincian penuh nanti mungkin akan diketahui ketika pelancaran model ini di Thailand pada bulan hadapan. Jadi apa pendapat anda berkenaan rupa Vios baharu ini? Adakah ia bakal memberikan saingan sukar kepada seteru utamanya iaitu Honda City?

GALERI: Daihatsu DN F-Sedan Concept di GIIAS 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required