Selepas versi hatchback lima-pintu, kemudian versi berprestasi tinggi GR tiga-pintu, kini Toyota memperkenalkan satu lagi versi dari Yaris generasi baharu pasaran Eropah, dikenali sebagai Yaris Cross. Seperti namanya, model yang sepatutnya diperkenalkan ketika Geneva Motor Show 2020 (dibatalkan kerana pandemik Covid-19) ini adalah SUV kompak dari versi Yaris biasa yang ditinggikan.

Model Cross ini berkongsi banyak komponen dengan Yaris hatchback termasuk platform TNGA-B sebagai asas. Oleh itu, ia dihasilkan dengan jarak roda yang sama iaitu 2,560 mm. Namun dengan penggayaan SUV yang diberikan, dimensi lain telah berubah sedikit – ia 240 mm lebih panjang dengan 4,180 mm untuk memberikan ruang dalaman lebih besar, 20 mm lebih lebar dengan 1,765 mm dan 90 mm lebih tinggi dengan 1,560 mm.

Dengan saiz ini juga, Yaris Cross diletakkan di bawah satu lagi SUV segmen-B Toyota iaitu C-HR. Ini kerana berbanding C-HR, Yaris Cross adalah 180 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 5 mm lebih rendah dan jarak roda 80 mm lebih dekat.

Dari segi rupa, anda boleh lihat Yaris Cross ini menggunakan panel-panel muka yang berlainan dari Yaris Hatchback, tetapi masih lagi nampak pertalian antara kedua-duanya. Ia juga masih diberikan lampu belakang belakang dengan kluster dan grafik jalur merah yang merentangi pintu tailgate, tetapi ia direka nampak lebih ‘tebal’.

Sudah tentu, model crossover ini menerima kemasan-kemasan pelindung di sekeliling badan, dengan rim 18-inci lebih besar, manakalan pada tiang-C menjadi pemisah antara warna hitam pada bumbung dan warna badan keseluruhan. Menurut Toyota, Yaris Cross ini dihasilkan dengan imej ‘tegap dan minimalis’ bagi menawarkan ‘kualiti pemanduan tinggi seperti SUV, tetapi direka khas untuk penggunaan dalam kawasan bandar.”

Toyota masih belum memperincikan sepenuhnya apa yang ditawarkan pada bahagian dalaman Yaris Cross ini, namun menerusi imej-imej yang disiarkan, ia menerima papan pemuka yang hampir seiras dengan Yaris Hatchback, panel meter yang berbeza serta diberikan jalur lampu suasana LED.

Untuk akses ke bahagian kargo, Yaris Cross diberikan pintu tailgate dengan bantuan kuasa yang boleh dibuka tanpa sentuhan tangan. Bahagian ini juga diberikan dek dengan larasan tinggi yang boleh diubah bagi memberikan ruang storan tambahan.

Dek tersebut juga boleh dibahagikan kepada dua bahagian untuk bagi memberikan ruang storan bawah lantai. Sistem flex belt turut diberikan bagi memastikan barangan anda tidak bergerak ketika kereta sedang berjalan. Jika lebih ruang diperlukan, tempat duduk belakang boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40.

Untuk pasaran Eropah, Yaris Cross digerakkan dengan unit janakuasa hibrid yang sama seperti Yaris Hatchback Hybrid iaitu enjin petrol tiga-silinder 1.5 liter kitaran Atkinson dan motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 116 hp. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT, dan hadir dalam pilihan pacuan hadapan dan pacuan semua roda E-Four.

Menurut Toyota, mereka telah memberikan perhatian khas terhadap karekter penghantaran kuasa unit janakuasa ini bagi membolehkan ia dipandu dengan responsif.

Manakala untuk pasaran lain, Yaris Cross turut diberikan pilihan enjin petrol sepenuhnya 1.5 liter tiga-silinder Dynamic Force. Untuk versi ini, tiada sistem pacuan semua roda ditawarkan namun pembeli boleh memilih sama ada dengan transmisi CVT automatik atau manual enam-kelajuan.

Toyota Yaris Cross ini akan dilancarkan pada pasaran Jepun pada musim luruh tahun ini. Ia kemudian akan masuk ke pasaran Eropah pada pertengahan tahun hadapan.