Toyota Vios 2022 – versi produksi bagi model konsep Daihatsu DN F-Sedan? DNGA, bakal muncul Ogos ini

Toyota Vios 2022 – versi produksi bagi model konsep Daihatsu DN F-Sedan? DNGA, bakal muncul Ogos ini

Ingat lagi tiga model konsep yang telah didedahkan oleh Daihatsu pada tahun 2017 dahulu? Dua daripada model konsep tersebut iaitu MPV Daihatsu DN Multisix dan juga sedan DN F-Sedan Concept telah membuat kemunculan sulung di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017, manakala SUV DN Trec pula didedahkan di Tokyo Motor Show 2017.

Dua dari model konsep berkenaan telah pun dijelmakan dalam bentuk produksi – DN Trec muncul sebagai kembar Daihatsu Rocky/Toyota Raize (pasaran Jepun dan Indonesia) serta Perodua Ativa (pasaran Malaysia), manakala DN Multisix telah pun diperkenalkan sebagai model generasi baharu Daihatsu Xenia dan Toyota Veloz/Avanza di Indonesia serta bakal tampil sebagai model generasi baharu Perodua Alza yang bakal dilancarkan di Malaysia tak lama lagi.

Apa yang menarik, kedua-dua model konsep yang telah pun direalisasikan dalam bentuk produksi berkenaan dibina berasaskan platform terkini Daihatsu iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Jadi bagaimana pula dengan F-Sedan Concept? Adakah ia sekadar konsep yang menunjukkan bahawa mereka juga mampu membina sedan kompak memandangkan sudah lama Daihatsu tidak tampil dengan model sedemikian?

Model konsep SUV Daihatsu DN Trec (kiri) dan model produksi Toyota Raize (kanan)

Tahun lalu, laporan dari portal automotif Filipina, Autoindustriya mendedahkan bahawa Toyota Vios generasi baharu bakal diperkenalkan di Thailand pada Ogos tahun ini, bagi menggantikan model generasi sedia ada yang sudahpun berada dalam pasaran sejak 2013.

Dan apa yang menarik, projek penghasilan Vios berkenaan dikenali dengan kod dalaman D92A. Kod tersebut jelas sama seperti kod yang digunakan oleh Perodua (D38L untuk Aruz, D55L untuk Ativa, D20N untuk Myvi, D87A untuk Axia, D63D untuk Bezza dan D27A untuk Alza generasi baharu). Ini kerana Vios generasi baharu ini bakal menggunakan platform DNGA!

Jadi boleh diagak bahawa Vios generasi baharu ini mungkin adalah versi produksi untuk satu lagi model konsep tiga serangkai yang diperkenalkan oleh Daihatsu pada 2017 tersebut, iaitu DN F-Sedan Concept. Seperti DN Trec dan DN Multisix , perincian pada DN F-Sedan Concept ini kelak tidaklah 100% akan dijelmakan pada model produksi, tetapi sekurang-kurangnya ia akan menggunakan asas rekaan yang sama.

Model konsep SUV Daihatsu DN Multisix (kiri) dan model produksi Toyota Veloz (kanan)

Model konsep F-Sedan berkenaan merupakan sedan yang direka sebagai coupe empat pintu – sesuatu yang baharu dan lain daripada yang lain seperti apa yang lazimnya Daihatsu bawakan sebelum ini. Muka sedan ini direka sangat garang dan diberikan gril bersaiz besar bersama lampu utama dan juga lampu nyalaan siang LED yang direka tirus.

Rekaan tirus tersebut turut diberikan pada bahagian belakang, yang direka memenuhi panjang bahagian tersebut dan turut menampilkan teknologi LED. Pada bahagian sisi pula, model konsep ini diberikan garis badan yang mengujakan – tirus seakan sedan elektrik Tesla.

Untuk pasaran Thailand nanti, Vios dijangka akan terus digelar sebagai Yaris Ativ – menampilkan rupa yang sama seperti Vios pasaran lain, tetapi menggunakan enjin 1.2 liter yang lebih kecil bagi membolehkan ia dijual di pasaran berkenaan dengan menerima manfaat insentif Kereta Eco Thailand.

Toyota Vios 2022 – versi produksi bagi model konsep Daihatsu DN F-Sedan? DNGA, bakal muncul Ogos ini

Bagi platform DNGA pula, ia sebenarnya diasaskan dari platform TNGA Toyota tetapi diolah semula oleh Daihatsu bagi disesuaikan untuk model-model lebih kompak. Dengan menggunakan platform DNGA ini, Vios generasi baharu berkenaan sudah tentu menerima pelbagai manfaat daripadanya seperti lebih ringan dalam masa yang sama menampilkan kerangka lebih keras, serta menampilkan keselamatan yang lebih baik.

Malah Autoindustriya turut melaporkan bahawa Vios generasi baharu kelak bakal menawarkan varian hibrid yang akan diperkenalkan pada Oktober 2023. Vios Hybrid berkenaan didakwa bakal menerima teknologi e:Smart Hybrid dari Daihatsu sama seperti sistem yang telah pun dipadankan pada Rocky Hybrid pasaran Jepun.

Bagi sistem yang dipadankan pada Daihatsu Rocky, sistem e:Hybrid berkenaan menampilkan enjin WA-VEX 1.2 liter tiga-silinder, iaitu versi dengan sistem kitaran Atkinson dari enjin WA-VE 1.2 liter Rocky biasa pasaran Indonesia. Namun enjin tersebut hanya bertugas semata-mata untuk mengecaj bateri hibrid, manakala tayar hadapan dipacu sepenuhnya menggunakan motor elektrik.

Apa yang menarik, Rocky e:Smart Hybrid ini juga menerima sistem pedal pintar S-PDL, iaitu sistem yang membolehkan pemandu mengawal pecutan serta memperlahankan dan memberhentikan kereta dengan hanya satu pedal. Sistem ini adalah sistem lazim diberikan pada kerete-kereta berkuasa elektrik sepenuhnya, seperti sistem e-Pedal Nissan Leaf generasi kedua.

Sekiranya teknologi tersebut ditawarkan pada Vios kelak, ini bermakna Honda City RS e:HEV bakal menerima saingan setaranya buat pertama kali. Ini kerana Sistem e:Smart Hybrid rekaan Daihatsu tersebut sebenarnya adalah sistem hibrid jenis range extender, setara dengan sistem hibrid i-MMD pada Honda City RS e:HEV.

Bagi sistem Honda berkenaan, ia terdiri dari enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama dua buah motor elektrik, yang membekalkan kuasa 108 PS dan tork maksima 253 Nm. Berbeza dengan sistem hibrid i-DCD dari City sebelum ini, ia boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri sama seperti sistem hibrid range extender, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.

GALERI: Daihatsu DN F-Sedan Concept di GIIAS 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required