Toyota Veloz 2022 dilancarkan di Thailand – bermula RM103k hingga RM113k, ada Toyota Safety Sense

Toyota Veloz 2022 dilancarkan di Thailand – bermula RM103k hingga RM113k, ada Toyota Safety Sense

Toyota Avanza generasi baharu telah pun dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu, dan sekarang MPV tujuh-tempat duduk berkenaan kini mendarat pula di Thailand. Namun di Thai, pelanggan dipasaran berkenaan tidak menerima Avanza biasa, sebaliknya hanya boleh memilih versi premium yang dikenali sebagai Toyota Veloz, berbanding Indonesia yang menerima kedua-dua versi.

Dengan status “premium”, Veloz 2022 pasaran Thailand ini dijual pada harga 795,000 baht (RM102,800) untuk varian asas Smart, sehingga 875,000 baht (RM113,100) untuk varian Premium. Sebagai perbandingan, Toyota Avanza generasi sebelum ini dijual pada harga bermula 649,000 baht (RM84,000) di sana.

Seperti yang diketahui, Veloz dan Avanza generasi terkini ini tidak lagi menggunakan casis semi-monocoque dan bentangan enjin hadapan pacuan belakang (FR), tetapi ia dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang jauh lebih moden (sama dengan kembar Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa.) dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan (FF).

Dengan platform modular baharu ini juga membolehkan Veloz dihasilkan lebih besar, kini dengan dimensi 4,395 mm panjang (+205 mm), 1,730 mm lebar (+70 mm) dan 1,700 mm tinggi (+5mm). Jarak roda juga lebih jauh dengan ukuran 2,750 mm, atau bertambah 95 mm berbanding model generasi sebelumnya.

Toyota Veloz 2022 dilancarkan di Thailand – bermula RM103k hingga RM113k, ada Toyota Safety Sense

Veloz pasaran Thailand ini hanya ditawarkan dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm. Enjin tersebut menampilkan konfigurasi yang hampir sama dengan Perodua Myvi facelift 2022 kerana menggunakan kotak gear D-CVT yang lebih moden dari transmisi 4AT konvensional sebelum ini.

Dari segi penggayaan, Veloz menerima gril hadapan besar berbentuk trapezoid, bersama sepasang lampu hadapan LED yang nipis, kelihatan berhubung menerusi bar krom merentangi bahagian atas gril berkenaan. Perumah lampu kabus juga direka sporty menampilkan perapi berbentuk-T dalam kemasan krom.

MPV ini juga diberikan perincian seakan SUV menerusi rekaan bonet hadapan dengan sisi lebih tinggi dari tengah, kesemua fender yang direka mempunyai ‘gelembung’, serta kemasan skid plate berwarna perak yang berada di bawah bampar hadapan dan belakang.

Dalam kabin, Veloz diberikan papan pemuka yang direka melintang dan berlapis, menampilkan skrin infotainmen berdiri sendiri di tengah bersama kemasan-kemasan perak pada papan pemuka dan pintu. Dengan menggunakan platform DNGA pacuan hadpaan ini juga membolehhkan tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat rata kerana lantainya tidak digangu dengan propeller shaft dan juga gandar hidup di belakang.

Kelengkapan standard yang diberikan pada Veloz pasaran Thailand ini termasuk rim aloi 16-inci, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, upholsteri separa leatherett, paparan instrumen digital tujuh-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, kamera undur, dan juga skrin sembilan-inci untuk sistem infotainmen dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Bagi model Premium, ia ditambah dengan perincian tambahan termasuk rim aloi 17-inci dan juga sistem kamera pemantau 360-darjah. Varian paling mahal ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense. Sistem berkenaan adalah seiras dengan sistem Perodua Safety Drive Assist (PSDA) yang ditawarkan pada Perodua Ativa. Ia menawarkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong dan juga lampu hadapan automatik.

Untuk kedua-dua varian, kelengkapan keselamatan standard yang dibekalkan pada Veloz 2022 pasaran Thailand ini termasuk enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, pemantau titik buta dan juga amaran lintasan trafik belakang.

Sekarang kita dah tahu perincian dan harga untuk Toyota Avanza dan Veloz bagi pasaran Indonesia dan Thailand. Di Indonesia juga MPV ini dijual dengan logo Daihatsu iaitu Daihatsu Xenia. Seperti yang dicanangkan sebelum ini, kita di Malaysia bakal menerima MPV ini dengan logo Perodua, iaitu model generasi baharu Alza bagi menggantikan model sedia ada yang akan diberhentikan produksinya pada April ini.

Jadi, agak-agak apa spesifikasi yang bakal kita dapat menerusi Perodua nanti, dan bagaimana pula dengan harga? Adakah Toyota juga akan turut membawa Veloz ke pasaran tempatan sebagai kembar kepada Alza generasi kedua seperti kembar Perodua Aruz dan Toyota Rush sebelum ini? Sama-sama kita nantikan perkembangannya nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required