Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid 2021 dilancar di Jepun Nov ini – Perodua Ativa akan terima sistem sama?

Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid 2021 dilancar di Jepun Nov ini – Perodua Ativa akan terima sistem sama?

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kembar Perodua Ativa di Jepun iaitu Daihatsu Rocky bakal muncul dalam versi rangkaian kuasa hibrid menjelang hujung tahun ini. Dan kini, Daihatsu telah menyiarkan teaser model berkenaan, yang bukan sahaja memberitahu bahawa ia akan mula dijual pada November nanti, malah turut mengesahkan bahawa model tersebut bakal menerima sistem hibrid e:Smart.

Teaser berkenaan didedahkan pada satu laman sesawang khas yang dibuat, tetapi ia telah ditutup tidak lama selepas itu, mungkin kerana terlalu awal. Walau bagaimanapun, maklumat yang didedahkan sudah cukup untuk membayangkan apa yang akan ditawarkan oleh Rocky e:Smart Hybrid berkenaan.

Seperti khabar yang bertiup tempoh hari, sistem e:Smart Hybrid berkenaan nampaknya adalah sistem range extender di mana enjin petrol yang dibekalkan hanyalah untuk mengecaj bateri hibrid, manakala kuasa untuk memacu tayar adalah sepenuhnya dari motor elektrik.

Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid 2021 dilancar di Jepun Nov ini – Perodua Ativa akan terima sistem sama?

“e-Smart Hybrid, yang beroperasi 100% dengan motor, mendemonstrasikan kekuatannya pada ketika pedal pendikit ditekan,” tulis teaser yang didedahkan tersebut. Dalam erti kata lain, enjin petrol yang dibekalkan berkenaan hanya akan berfungsi seperti “generator pasar malam” untuk menjana kuasa elektrik dan disimpan ke dalam bateri hibrid, dan tidak langsung memacu tayar.

Enjin petrol yang dibekalkan untuk tugas mengecaj bateri tersebut adalah unit WA-VEX 1.2 liter, iaitu versi yang diasaskan dari enjin WA-VE pada Rocky 1.2L yang telah pun diperkenalkan di pasaran Indonesia. Maklumat yang dibekalkan pada teaser ini turut menyebut bahawa enjin tersebut mencapai kadar keberkesanan suhu setinggi 40%.

Apa yang menarik, Rocky e:Smart Hybrid ini juga menerima sistem pedal pintar S-PDL, iaitu sistem yang membolehkan pemandu mengawal pecutan serta memperlahankan dan memberhentikan kereta dengan hanya satu pedal. Sistem ini adalah sistem lazim diberikan pada kerete-kereta berkuasa elektrik sepenuhnya, seperti sistem e-Pedal Nissan Leaf generasi kedua.

Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid 2021 dilancar di Jepun Nov ini – Perodua Ativa akan terima sistem sama?

Sistem tersebut diberikan dua mod pemanduan iaitu Normal dan Eco. Malah untuk pemandu yang lebih sukakan sistem dua pedal konvensional, sistem S-PDL ini turut boleh dinyah operasi. Daihatsu turut menyatakan model hibrid ini adalah lebih senyap dari versi petrol sepenuhnya. Ia menampilkan tebatan bunyi lebih baik pada enam bahagian utama termasuk pada penutup enjin, lantai, bawah enjin dan firewall.

Bagi rupa luaran, model hibrid ini nampaknya tampil dengan pengayaan yang hampir sama dengan model biasa. Ia diberikan gril hadapan dengan elemen sarang lebah bersama lencana tambahan bagi memberitahu bahawa ini adalah model dengan teknologi lebih mesra alam.

Rocky e:Smart ini merupakan model hibrid pertama bagi Daihatsu sejak 2010. Dengan Ativa pada pasaran Malaysia yang kini menerima spesifikasi sama canggih seperti Rocky di Jepun, tidak mustahil teknologi e:Smart Hybrid ini turut akan diperkenalkan oleh Perodua di sini. Anda pula bagaimana? Berminat dengan teknologi tersebut jika ia ditawarkan oleh Perodua?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required