Daihatsu Rocky Hybrid akan guna sistem range extender, bakal muncul pada November ini?

Daihatsu Rocky Hybrid akan guna sistem <em>range extender</em>, bakal muncul pada November ini?

Februari lalu ada berita mengatakan bahawa Daihatsu bakal memperkenalkan SUV kompak Rocky dalam versi rangkaian kuasa hibrid yang akan dilancarkan di Jepun pada tahun ini. Khabar terbaharu dari negara matahari terbit berkenaan, Rocky Hybrid tersebut akan didedahkan pada November nanti, bersama model facelift untuk versi 1.0L Turbo biasa.

Perkara ini didedahkan oleh portal creative311 yang memetik laporan dari majalah berbahasa Jepun, Mag-X. Tiada sebarang perincian rasmi diumumkan oleh Daihatsu ketika ini, namun laporan dari Mag-X berkenaan menyebut bahawa Rocky mungkin akan menerima sistem rangkaian baharu e-Smart Hybrid yang dihasilkan sendiri oleh pakar pembuat kereta kompak tersebut.

Sistem e-Smart Hybrid ini bukanlah seperti sistem hibrid konvensional yang digunakan oleh Toyota mahupun sistem-sistem hibrid ringkas yang lain. Ia adalah sistem hibrid jenis range extender, sama seperti sistem e-Power yang digunakan oleh Nissan buat masa sekarang.

Menerusi sistem range extender ini, enjin petrol pada kereta tersebut tidak akan memacu tayar, tetapi ia berfungsi hanya untuk mengecas bateri hibrid yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik. Jadi tayar pada kenderaan yang diberikan sistem e-Smart Hybrid ini hanya akan dipacu oleh motor elektrik sepenuhnya. Secara ringkasnya, enjin petrol yang diberikan hanya berfungsi seperti ‘generator pasar malam’.

Daihatsu Rocky Hybrid akan guna sistem <em>range extender</em>, bakal muncul pada November ini?

Menurut Mag-X lagi, sistem ini bukan hanya diberikan pada Rocky sahaja, malah ia juga akan ditampilkan pada kembarnya, Toyota Raize. Kedua-dua model ini akan mula diproduksi bermula Oktober ini sebelum diperkenalkan pada bulan seterusnya.

Bagi model 1.0L Turbo facelift pula, ia dijangka akan menampilkan perubahan rekaan kecil pada bahagian luaran dan dalaman, dan bakal didedahkan serentak dengan Rocky/Raize Hybrid.

Buat masa sekarang, kembar Rocky dan Raize untuk pasaran Malaysia iaitu Perodua Ativa diberikan kelengkapan tertinggi yang setaraf dengan model-model JDM berkenaan, kecuali penawaran sistem pacuan semua roda. Adakah Perodua turut akan memperkenalkan versi e-Smart Hybrid yang sama untuk Ativa kelak?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Wak ketari on Aug 03, 2021 at 11:54 pm

    Adakah alza D27A akan menggunakan sistem e-smart hybrid ini jugak?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required