Nissan Note 2021 kini cuma digerakkan oleh e-Power

Nissan Note 2021 kini cuma digerakkan oleh e-Power

Nissan telah mendedahkan model Note generasi ketiga di Jepun, dan ia akan mula dijual pada 23 Disember ini. Model Nissan paling laris di Jepun ini sekarang cuma dijual dengan enjin e-Power dan tiada lagi versi petrol.

“Pada tahun 2016, Note e-Power menjadi kegemaran ramai sebaik sahaja penjualannya bermula di Jepun. Melalui model serba baru ini, kami ingin memberikan kepuasan e-Power kepada lebih ramai lagi pengguna. Sebaik anda sudah merasakan pengalamannya, barulah anda tahun kenapa e-Power ini diterima baik oleh pengguna. Ia menawarkan pecutan yang linear dan mengujakan, yang unik kepada penggerak elektrik 100%, tanpa kekangan daripada cas bateri,” kata COO Nissan, Ashwani Gupta.

Penggerak e-Power diperkenalkan oleh Nissan pada tahun 2016 melalui Note generasi kedua dan ia adalah satu sistem hibrid unik di mana enjin pembakaran dalaman tidak digunakan untuk memacu roda. Tahun ini juga Nissan telah memperkenalkan Kicks e-Power di Thailand dan Indonesia, dan sehingga kini 430k kenderaan e-Power telah berjaya dijual.

Nissan Note 2021 kini cuma digerakkan oleh e-Power

Note baru ini datang dengan sistem e-Power generasi baru, yang telah “direka dan dibangunkan semula secara menyeluruh” dan dapat memberikan “lebih kuasa, pengalaman pemanduan lebih berkualiti serta kecekapan yang dipertingkat.” Motor elektrik serta inverter yang digunakan adalah baru, tork yang dihasilkan adalah lebih tinggi 10%, kuasa bertambah 6% (sebelum ini 109 PS/254 Nm) dan teknologi kawalannya ditala semula untuk menghasilkan pecutan lebih lancar serta bunyi lebih senyap.

Inverter baru ini 40% lebih kecil dan 30% lebih ringan. Enjin petrol yang digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik kini lebih cekap, lebih berkuasa dan lebih menjimatkan bahan api. Spesifikasi enjin tidak didedah (model sebelumnya menggunakan unit 1.2L 79 PS/103 Nm), tetapi Nissan memberitahu enjin dapat beroperasi pada rpm lebih rendah dan tidak banyak beroperasi waktu pemanduan biasa.

Satu ciri unik pada Note ini adalah penjanaan tenaga elektriknya dikawal bergantung kepada keadaan jalan (didakwa sebagai yang pertama di dunia). Apabila bunyi daripada jalan meningkat disebabkan permukaan jalan atau kelajuan, enjin pembakaran dalaman itu akan mula hidup untuk mengecas pek bateri e-Power, sekaligus apabila berada dalam keadaan yang lebih senyap, penggunaannya dapat dikurangkan.

Di Jepun, semua model mendapat pilihan AWD, dan bagi Note, ia menampilkan “model pacuan semua roda elektrik sebenar” dengan dua motor elektrik di hadapan dan belakang. Varian AWD ini akan ditunjukkan pada bulan hadapan. Satu lagi ciri yang pertama kali digunakan oleh Nissan adalah besi ultra-high tensile 1,470 MPa pada casis Note, yang menyumbang kepada pengurangan berat serta peningkatan ciri keselamatan.

Bentuk Note baru ini juga berubah sepenuhnya dan kini lebih seperti kereta hatchback biasa berbanding seperti MPV mini sebelum ini. Lampu hadapan mempunyai bentuk lebih nipis dan ia sekarang menggunakan unit projector LED. Rim bersaiz 16 inci dan secara keseluruhannya terdapat 13 pilihan warna termasuk yang menggunakan bumbung berwarna hitam.

Pada papan pemuka terdapat skrin digital bagi panel instrumen dan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen. Kelengkapan lain yang diberi adalah seperti pengecas tanpa wayar, tempat duduk Zero Gravity serta sistem ProPilot yang disambungkan kepada active cruise control.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required