Nissan Leaf memahatkan sejarah yang tersendiri untuk saya kerana ia adalah kereta elektrik sepenuhnya pertama yang saya pandu ketika pelancaran program perintis Edaran Tan Chong Motor (ETCM) untuk membawa kereta berkenaan ke pasaran Malaysia pada tahun 2012 dulu. Model generasi kedua kereta berkenaan kemudiannya di bawa secara rasmi ke sini, dilancarkan pada Julai tahun lalu oleh ETCM, dan sekali lagi saya antara yang terawal di Malaysia yang berpeluang untuk memandunya.

Jika anda lihat dari segi rupa sahaja, Leaf generasi baharu ini sememangnya menampilkan peningkatan yang ketara. Ia tidak lagi hadir dengan rupa pelik seperti model sebelum ini, sebaliknya ia kini nampak sebagai sebuah hatchback yang menawan. Kalau ikut selera saya sendiri, ini adalah model paling handsome yang berada dalam bilik pameran ETCM di Malaysia buat masa sekarang.

Ini kerana Leaf adalah model pertama Nissan dengan muka V-Motion terbaharu yang mendarat di Malaysia – selepas ini mungkin diikuti oleh Nissan Almera dan juga Sylphy generasi baharu yang turut menggunakan muka signatur terbaharu ini. Malah jika anda lihat Leaf yang menerima sentuhan Nismo pada pasaran Jepun, ia kelihatan seperti sebuah hot-hatch sebenar!

Dengan teknologi elektrifikasi terkini, Leaf masih lagi belum boleh dikategorikan sebagai “kereta murah” dalam pasaran global, walaupun ia sebuah model produksi massa dan mendapat sambutan menggalakkan di Jepun dan Eropah. Di Thailand misalnya, Leaf sudahpun dilancarkan tahun lalu, dijual pada harga 1.99 juta baht atau sekitar RM265k. Di Malaysia, Leaf dijual oleh ETCM sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun dengan harga atas jalan tidak termasuk insuran RM188,888.

Leaf juga dihasilkan dalam saiz yang agak besar iaitu 4,480 mm panjang, 1,790 mm lebar dan 1,540 mm tinggi – dimensi yang hampir sama dengan model-model segmen-C terkini dalam pasaran sekarang. Untuk pasaran Malaysia, ia menerima kelengkapan luaran seperti gril holografik “diamond”, lampu nyalaan siang LED berbentuk boomerang, lampu utama LED dan lampu belakang kombinasi LED serta rim aloi 17-inci dengan elemen rekaan seperti turbin.

Pada bahagian dalaman pula, versi yang rasmi dijual ini hanya menampilkan skrin sistem bersaiz 5-inci, tanpa fungsi sesentuh, yang hanya boleh memainkan muzik dari radio, port USB dan juga Bluetooth. Ia agak berlainan dengan model yang dipamerkan ketika KLIMS 2018 dan juga pasaran lain yang diberikan skrin sesentuh lebih besar, dengan fungsi-fungsi terkini.

Kedua-dua tempat duduk hadapan pula dibekalkan dengan unit larasan manual sepenuhnya, manakala roda stereng pula hanya boleh dilaras atas dan bawah tanpa fungsi larasan teleskopik – agak janggal sebenarnya memandu kereta dengan unit janakuasa yang sangat canggih seperti ini, tetapi dengan kelengkapan yang sangat asas.

Nak buat macam mana, ciri-ciri tersebut terpaksa direbiu semula oleh pihak ETCM bagi memastikan kereta ini dapat dijual pada harga yang masuk akal, dan memberikan akses kepada pengguna pasaran yang lebih mampu milik berbanding model elektrik premium lain seperti Tesla.

Satu-satunya rekaan yang menampakkan ia sebuah kereta yang canggih adalah pada tombol gearnya yang berbentuk separa sfera; kereta ini sebenarnya tiada kotak gear pun, dan kawalan ini disediakan untuk pemandu bagi memilih mod kehadapan, undur atau parkir.

Untuk paparan instrumen, meter kelajuan masih lagi menggunakan unit analog, bersama paparan skrin berwarna 7-inci disebelahnya yang memberikan segala informasi lain seperti status bateri, kawalan casis, sistem bantuan pemanduan dan sebagainya. Tiada takometer untuk menunjukkan revolusi putaran motor elektrik kerana putaran berkenaan adalah berkadar terus dengan kelajuan roda.

Walau bagaimanapun, Leaf pasaran Malaysia ini tetap menerima tempat duduk yang dibalut dengan kulit dan material seakan sued, serta satu fungsi yang rasanya tidak berapa sesuai untuk digunakan disini iaitu pemanas tempat duduk. Berberapa panel dalaman lain juga dihasilkan dengan material sentuhan lembut.

Seperti model generasi terdahulu, Leaf dijana oleh bateri yang diletakkan pada bahagian lantai. Dengan susunan yang baik, tiada masalah dari segi praktikaliti ditimbulkan oleh kereta elektrik ini.

Malah penumpang belakang menerima ruang lutut yang cukup luas dan selesa, manakala bahagian but memberikan kapasiti kargo yang agak besar bagi sebuah hatchback iaitu 435 liter, kerana tayar gantiannya diletakkan di bawah lantai seperti sebuah MPV. Kalau masih tak cukup ruang atau anda mahu mengangkut barang yang panjang, seperti hatchback biasa, tempat duduk belakang turut boleh dilipat dengan nisbah 60:40 bagi memberikan ruang keseluruhan 1,176 liter.

Ok, bagaimana pula rasanya memandu sebuah kereta elektrik ini? Sebelum itu, mari saya terangkan dahulu berkenaan unit janakuasanya. Nissan Leaf dijana oleh motor elektrik EM57 berkuasa 150 PS dan tork maksima 320 Nm – 38% lebih berkuasa dan 26% lebih tork berbanding model generasi pertama.

Motor ini menerima bekalan kuasa dari bateri lithium-ion 40 kWj yang membolehkan kereta ini bergerak dalam jarak 311 kilometer (195 km hingga 270 km menurut ujian WLTP yang lebih ketat) dengan satu cas penuh. Di Jepun dan pasaran lain, Leaf turut ditawarkan dalam varian e+, hadir dengan bateri 62 kWj membolehkan ia bergerak 40% lebih jauh dengan kelajuan maksima 10% lebih tinggi. Varian ini tidak ditawarkan olh ETCM di sini, sekali lagi kerana faktor harga.

Dari segi kuasa, angka 148 hp dilihat tidaklah sebesar mana. Tapi tork yang dihasilkan oleh motor elektrik ini adalah cukup tinggi iaitu 320 Nm atau setara dengan angka yang boleh dihasilkan oleh sebuah enjin petrol 3.0 liter NA.

Motor elektrik ini juga mempunyai karekternya tersendiri seperti tujahan yang linear kerana ia tidak mempunyai kotak gear. Kenapa tak payah transmisi? Motor elektrik tidak seperti enjin pembakaran dalaman di mana kadar torknya dijana pada tahap rpm tertentu.

Angka 320 Nm yang dinyatakan dalam kertas tersebut tersedia dari 0 rpm, dan terus dilepaskan sepenuhnya sebaik sahaja pedal pendikit ditekan – jadi tiada sebarang nisbah gear diperlukan bagi memberikan tujahan yang cukup responsif setiap kali anda menekan pedal pendikit.

Ini membolehkan Leaf memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat. Laju ke? Untuk rekod, Honda Civic 1.5 liter VTEC Turbo hanya mampu mencatatkan masa 8.3 saat untuk pecutan yang sama. Walau bagaimanapun, kelajuan maksima kereta ini hanya dihadkan pada 155 km/j bagi memastikan ia boleh bergerak dalam jarak yang telah dinyatakan tadi.

Ada orang kata, kereta elektrik ini ‘pekak’ dan kita akan berada dalam keadaan senyap sunyi di dalam kabin ketika memandu. Tetapi dalam dunia realiti, ia tidaklah senyap seperti yang anda bayangkan. Selain sedikit bunyi motor yang kedengaran seperti bunyi LRT, bunyi tayar dan bunyi jalan turut masuk ke kabin kereta ini, terutamanya jika anda memandu pada kelajuan tinggi di lebuhraya.

Nissan Leaf generasi baharu ini juga datang dengan satu lagi fungsi baharu, dan ia adalah fungsi pertama di dunia seumpanya, digelar e-Pedal. Dengan sistem ini, anda boleh memandu Leaf dengan menggunakan hanya satu pedal sahaja; tekan pedal pendikit untuk bergerak, dan bila kaki anda diangkat dari pedal tersebut, ia akan diperlahankan dengan sistem regenerative braking (turut berfungsi untuk mengecas semula bateri utama).

Saya sebenarnya kurang yakin pada peringkat awal untuk menggunakan sistem e-Pedal ini (ia boleh dihidupkan atau dimatikan mengikut pilihan pemandu menerusi suis yang diletakkan berhampiran tombol gear). Namun, anda tidak akan mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengan sistem ini.

Bagi saya sendiri, rasa kekok cuma pada lima minit terawal, dan selepas itu saya dapat menggunakannya dengan sempurna. Jurutera Nissan telah menala pedal ini dengan sangat baik, memudahkan anda untuk mengagak kadar brek yang akan diberikan ketika kaki diangkat dari pedal. Senang cerita, operasi e-Pedal ini tidak ubah seperti pendikit jari pada alat kawalan kereta lumba kawalan jauh berkuasa elektrik!

Lampu brek juga akan menyala sendiri setiap kali anda melepaskan tekanan pada pedal berkenaan. Dan apa yang saya perasan, lagi cepat anda angkat kaki dari pedal, ia akan mempengaruhi berapa cepat kuasa brek akan diberi; jadi bila anda angkat kaki secara mengejut, sistem ini akan memberikan brek seperti brek kecemasan. Kalau tak cukup kuasa brek yang diberikan, anda masih boleh menekan pedal brek seperti biasa.

Walaupun dengan tujahan kuasa yang boleh tahan, anda perlu ingat Leaf bukanlah direka sebagai hatchback sporty. Dengan konfigurasi topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang, ia adalah sebuah kereta dengan karekter pengendalian untuk kegunaan keluarga.

Jadi anda jangan jangkakan ia mempunyai daya olengan yang kurang, tetapi keselesaannya untuk melalui jalan yang tidak rata tidak perlu diragui. Ia juga dibekalkan dengan tayar jenis eco yang mengutamakan penjimatan dan kurang rintangan golekan, jadi jangan berharap ia akan memberikan cengkaman terbaik ketika mengambil selekoh terlalu laju.

Sebagai sebuah kereta elektrik yang direka untuk kegunaan bandar, sudah tentu Leaf dibekalkan dengan sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPS) yang ditala sangat ringan. Memang kurang ‘feel’ untuk melayan selekoh dengan stereng yang sangat ringan seperti ini kerana ia kurang memberikan rasa yang tepat pada permukaan jalan, tetapi ia amat memudahkan untuk dipandu dalam kawasan urban.

Untuk pengetahuan anda, Nissan Leaf ini juga tidak bekalkan sebarang penderia parkir, sama ada di hadapan atau sistem asas di belakang. Walau bagaimanapun, ia masih diberikan kamera pemantau sekeliling yang akan memudahkan anda melihat halangan yang berada di sekeliling ketika memandu pada jalan sempit mahupun ketika mengundur. Nak lagi mudah, anda boleh guna sistem ProPILOT untuk memarkir kereta ini.

Bagi ciri keselamatan, Leaf hadir dengan enam beg udara SRS, sistem Nissan Safety Shield yang merangkumi ciri intelligent lane intervention, amaran pertukaran lorong, brek kecemasan pintar, amaran titik buta, pengesanan papan tanda trafik, amaran lintasan trafik di belakang, serta bantuan kecemasan bagi kesilapan aplikasi pedal pemijak selain ciri standard seperti kawalan kestabilan, ABS dengan Brake Assist dan bantuan mula mendaki.

Persoalan yang paling popular diajukan terhadap kereta elektrik – macam mana nak cas balik bateri? Mudah ke? Boleh cas di mana-mana sahaja? Leaf direka bagi membolehkan ia di cas semula dengan dua jenis penyambung iaitu Type 1 (pengecas AC dengan kadar cas maksima 6.6 kW) dan pengecas JDM iaitu CHAdeMO (pengecas DC pantas dengan kadar cas maksima 50 kW dalam masa sekitar 60 minit) – kedua-dua soket berkenaan terletak pada “hidung” kereta ini.

Setiap pembelian Leaf akan disertakan sekali dengan sebuah wallbox pada kadar 6.6 kW untuk dipasang di rumah anda. Dengan wallbox ini, bateri Leaf memerlukan lima hingga tujuh jam untuk mendapatkan kuasa penuh (Nissan menyatakan bahawa lapan jam diperlukan sekiranya di cas pada kadar 6 kW). Dengan wallbox ini, cas kereta anda sebelum masuk tidur, dan ia bersedia untuk bergerak membawa anda ke tempat kerja keesokan harinya.

Selain dari wallbox milik anda ini, wallbox yang sama turut diletakkan di 17-jaringan pengedar ETCM di seluruh negara, dan ia boleh digunakan secara percuma. Nissan Leaf ini juga di cas menggunakan pengecas awam 230V/16A 3.7 single-phase atau 230V/13A 3.0 kW single-phase di Malaysia, namun ia mungkin mengambil masa sekitar 10-12 jam.

Jadi secara ringkas, penggunaan kereta elektrik seperti Leaf ini masih hanya sesuai digunakan untuk pengangkutan dalam bandar dengan fasiliti pengecas di sini masih diperingkat paling asas. Namun rakan kami di paultan.org/EN telah pun menguji untuk memandu kereta ini dari Kuala Lumpur ke Seremban, kemudian pulang semula ke KL dengan hanya satu cas penuh tanpa masalah.

Menyedari tahap fasiliti kenderaan elektrik di Malaysia, ETCM mengambil langkah proaktif untuk pembeli-pembeli Nissan Leaf dengan menawarkan Nissan Leaf Owners Priviledge yang menawarkan penggunaan percuma bagi tempoh 23 hari setahun bagi model-model seperti X-Trail, Serena dan juga Navara, bagi tempoh tiga tahun pertama pemilikan.

Dengan program ini anda bukan sahaja boleh menggunakan model-model yang ditawarkan tersebut bila-bila masa yang anda suka, malah turut boleh merancang perjalanan jauh anda dengan Nissan Leaf ini; misalnya jika anda bercadang untuk bercuti ke Melaka, anda boleh pandu Leaf dari KL ke Melaka dan letakkan kereta ini di ETCM Melaka untuk dicas, kemudian untuk bergerak dalam bandar Melaka, anda boleh guna X-Trail, Navara atau Serena yang ditawarkan ini secara percuma.

Satu lagi yang tentu ramai yang musykil – selamat ke Leaf ini jika dipandu meredah banjir? Yang bangunkan kereta ini bukan pomen bawah pokok ceri, tetapi jurutera yang berpengalaman, sudah tentu perkara ini turut dilihat dengan teliti. Menurut Nissan, Leaf telah dihasilkan dengan ciri kalis air. Ia selamat walaupun sedang di cas ketika terdedah kepada hujan, dan ujian berbilion kilometer yang telah dilakukan turut merangkumi ujian mengharungi banjir.

GALERI: Nissan Leaf 2019 ketika dilancarkan