Bermula dari generasi keempat, sedan segmen-B Honda City sudahpun menampilkan unit rangkaian kuasa hibrid petrol elektrik. Tetapi, saingan utamanya dari Toyota iaitu Vios sehingga kini masih belum menawarkan teknologi yang sama.

Namun, dengan pengenalan sistem hibrid yang agak canggih ditawarkan oleh sekutu Toyota, iaitu Daihatsu untuk model-model mampu milik, Vios dijangka bakal menerima teknologi tersebut. Sistem yang digelar sebagai e:Smart Hybrid tersebut telah dipadankan pada SUV segmen-B Daihatsu Rocky (kembar kepada Perodua Ativa di Malaysia) dan bakal dilancarkan secara rasmi pada bulan depan di Jepun.

Menurut laporan Autoindustriya, Toyota kini sedang mengembangkan penawaran model-model dengan teknologi elektrifikasi, dan teknologi e:Smart Hybrid dari Daihatsu tersebut bakal diperkenalkan dalam barisan model Toyota, dikhabarkan bakal dipadankan pada Vios dan Avanza.

Bagi sistem yang dipadankan pada Daihatsu Rocky, sistem e:Hybrid berkenaan menampilkan enjin WA-VEX 1.2 liter tiga-silinder, iaitu versi dengan sistem kitaran Atkinson dari enjin WA-VE 1.2 liter Rocky biasa pasaran Indonesia. Namun enjin tersebut hanya bertugas semata-mata untuk mengecaj bateri hibrid, manakala tayar hadapan dipacu sepenuhnya menggunakan motor elektrik.

Apa yang menarik, Rocky e:Smart Hybrid ini juga menerima sistem pedal pintar S-PDL, iaitu sistem yang membolehkan pemandu mengawal pecutan serta memperlahankan dan memberhentikan kereta dengan hanya satu pedal. Sistem ini adalah sistem lazim diberikan pada kerete-kereta berkuasa elektrik sepenuhnya, seperti sistem e-Pedal Nissan Leaf generasi kedua.

Sistem e:Smart Hybrid yang sebenarnya sistem hibrid range extender ini dilihat menampilkan teknologi setara dengan sistem hibrid i-MMD pada Honda City RS e:HEV. Bagi sistem Honda berkenaan, ia terdiri dari enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama dua buah motor elektrik, yang membekalkan kuasa 108 PS dan tork maksima 253 Nm.

Berbeza dengan sistem hibrid i-DCD dari City sebelum ini, ia boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri sama seperti sistem hibrid range extender, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.

Jika Vios dan Avanza Hybrid ini diperkenalkan, ia berkemungkinan besar akan ditawarkan di Malaysia kerana selari dengan aspirasi UMW Toyota Motor yang kini sedang menuju kearah untuk memperkenalkan lebih banyak model elektrifikasi, bermula dengan Corolla Cross Hybrid yang akan dilancarkan di sini tak lama lagi. Anda bagaimana? Agak-agak berminat ke sekiranya Vios dan Avanza dijual dalam versi hibrid di Malaysia?