Ini Perodua Alza generasi baharu? Imej Toyota Avanza Veloz 2022 tertiris di Indonesia sebelum dilancarkan

Ini Perodua Alza generasi baharu? Imej Toyota Avanza Veloz 2022 tertiris di Indonesia sebelum dilancarkan

Selepas pelbagai khabar angin bertiup, akhirnya satu set imej Toyota Avanza generasi baharu telah tertiris di Indonesia. Apa yang penting, Avanza Veloz ini dikatakan bakal menjadi asas kepada Perodua Alza generasi kedua, yang kini turut sedang dibangunkan oleh Perodua di Malaysia.

Unit yang tertiris dan disiarkan oleh AutonetMagz ini nampaknya sudah berada di bilik pameran, mungkin akan dilancarkan pada masa terdekat. Model generasi baharu menampilkan rupa yang jauh lebih moden dari Avanza sedia ada, dan nampaknya bersedia memberikan saing sengit terhadap model-model sekelasnya.

Muka Avanza Veloz tersebut direka dengan penggayaan sama seperti model-model terkini Toyota seperti RAV4 dan Corolla Cross, menampilkan gril berbentuk trapezoid. Ia juga diberikan lampu hadapan LED yang tirus, bersama perumah lampu kabus berbentuk segi tiga. Satu lagi gril yang lebar turut diberikan pada bahagian bawah bampar.

Bagi memberikan rupa yang lebih premium, satu jalur krom direka merentangi sepenuhnya bahagian sisi MPV ini bermula dari lampu hadapan, merentas pintu hadapan dan belakang, berakhir pada tiang-D. Jika dilihat dengan teliti, garis bumbung, bentuk cermin-cermin tingkap, tiang-D dan bahagian sisi lampu belakang Avanza baharu ini adalah seiras dengan model konsep Daihatsu DN Multisix, yang dikatakan model konsep bagi Perodua Alza generasi selepas ini.

Ini Perodua Alza generasi baharu? Imej Toyota Avanza Veloz 2022 tertiris di Indonesia sebelum dilancarkan

Rekaan Avanza ini juga nampaknya sudah terpengaruh dengan lawannya Mitsubishi Xpander , yang menampilkan rupa seakan SUV. Ia diberikan kemasan seakan skid plate di bawah bampar hadapan dan belakang, serta ruang roda yang berotot. Ia juga hadir dengan rim berdiameter besar, mungkin bersaiz 17-inci.

Di belakang, Avanza diberikan lampu yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang. Dengan skrip ‘Veloz’ yang diberikan di bawah logo Toyota, mungkin ada lagi model yang kurang sporty daripadanya sebagai Avanza standard.

Apa yang menarik, set gambar kali ini turut disertakan dengan beberapa imej bahagian kabin Avanza 2022 tersebut. Dapat dilihat, papan pemukanya direka dengan elemen-elemen yang sama seperti kembar Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa terutamanya pada bahagian liang tengah dan suis kawalan pendingin hawa dan juga konsol gear. Ia juga tampil dengan skrin infotainmen berdiri sendiri yang juga mungkin berkongsi dengan Raize.

Kabin Avanza ini juga menampilkan perincian terkini termasuk roda stereng rekaan baharu, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik – yang sememangnya jauh lebih moden dari Avanza sedia ada yang sudah berada lebih satu dekad dalam pasaran. Ia juga menerima kelengkapan menarik lain seperti monitor bumbung bersaiz besar untuk kabin belakang, poket untuk menyimpang barang juga sangat besar di belakang tempat duduk hadapan serta pemegang cawan dan port USB untuk penumpang baris kedua.

Toyota masih belum mengumumkan sebarang petunjuk berkenaan Avanza generasi baharu ini. Namun kami menjangkakan ia adalah model produksi bagi model konsep Daihatsu DN Multisix, diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang sama seperti Raize/Rocky/Ativa (sebelum ini tampil sebagai model konsep Daihatsu DN Trec). Oleh itu, ia tidak lagi menggunakan casis ladder frame dan bentangan pacuan belakang, digantikan dengan casis monocoque pacuan roda hadapan.

Dengan menggunakan platform DNGA, Avanza ini juga dijangka akan menerima unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 1.0 liter tiga silinder turbo berkuasa 98 PS/140 Nm, atau enjin 1.2 liter tiga silinder NA berkuasa 88 PS/113 Nm yang kini ditawarkan pada Raize dan Rocky di Indonesia.

Avanza ini juga dilihat mempunyai dua kamera pada bahagian atas cermin hadapan, menandakan ia telah dilengkapkan dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan Advanced Safety Assist (ASA). Pada model-model Perodua, sistem berkenaan kini memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan pengekal tengah lorong dan lain-lain.

Pada penghujung 2019, Perodua dikesan sedang membangunkan MPV baharu mereka yang dijangka akan menggantikan Alza yang sudah berada lebih 10-tahun dalam pasaran. Pengeluar dari Rawang berkenaan dilihat menguji prototaip baharu tersebut dengan ‘menyembunyikannya’ dalam badan Toyota Avanza yang kelihatan pelik, diuji bersama Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga baharu di kawasan sekitar Genting Highland.

Ini Perodua Alza generasi baharu? Imej Toyota Avanza Veloz 2022 tertiris di Indonesia sebelum dilancarkan

Khabar yang bertiup dalam industri, Alza generasi baharu yang kini digelar dengan kod nama D27A tersebut akan dihasilkan menggunakan platform yang sama dengan model generasi seterusnya untuk Daihatsu Xenia dan juga Toyota Avanza – tidak hairan mengapa ia diuji dengan menggunakan dua MPV pasaran Indonesia tersebut sebagai tanda aras. Ketiga-tiga MPV ini juga mungkin adalah versi produksi untuk model konsep Daihatsu DN Multisix yang muncul pada tahun 2017 di Jepun dan Indonesia.

Menerusi laporan majalah automotif popular Jepun, Best Car dan dipetik oleh portal Creative Trend, ketika itu Daihatsu sedang membangunkan versi produksi MPV DN Multisix berkenaan dengan platform terkini mereka iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

Malah pada Mei lalu, salah satu vendor Perodua di Malaysia kini sedang membangunkan komponen bagi D27A tersebut, dan ia dijangka bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required