Toyota Astra Motor (TAM) telah memperkenalkan Avanza Veloz GR Limited baharu untuk pasaran Indonesia, di mana ia merupakan varian baharu bagi MPV ini susulan keputusan syarikat ini untuk mengangkat penjenamaan Gazoo Racing (GR) bagi menggantikan TRD Sportivo.
Untuk pengetahuan anda, Veloz merupakan versi sporty untuk Avanza yang dijual di Indonesia, dan rekaannya boleh dilihat menerusi Avanza yang dipasarkan di Malaysia. GR Limited dihadirkan dengan beberapa komponen baharu yang menjadikan MPV ini lebih sporty, dimulakan dengan bampar hadapan baharu yang dipadankan dengan gril bersama lencana GR.
Sementara itu, bampar belakang juga menerima kepingan tambahan untuk menyambungkannya dengan elemen diffuser dekoratif bersama lencana GR terpahat padanya. Kemasan luaran termasuk cermin sisi dan roda 15-inci diberikan sentuhan hitam, sementara untuk ruang dalamannya tidak banyak berbeza berbanding Veloz biasa.
Manakala pilihan enjinnya masih dikekalkan seperti sebelum ini iaitu 1.3 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan kuasa 96.5 PS pada 6,000 rpm dan tork 120 Nm pada 4,200 rpm, dan unit 1.5 liter pula dengan 104 PS pada 6,000 rpm dan tork 136 Nm pada 4,200 rpm. Kedua-dua enjin dipadankan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan, dengan pacuannya disalurkan ke roda belakang.
Konfigurasi kesemua penjana kuasa didatangkan secara standard dengan penghidup enjin tanpa kunci, pendingin hawa manual dengan panel digital, unit utama skrin sesentuh, tempat duduk upholstery fabrik dan papan pemuka hitam dengan kemasan perak. Pembeli juga boleh memilih empat pilihan warna termasuk Super White, Black Metallic, Silver Metallic dan Dark Red Mica Metallic.
Harga bermula dari 221.4 juta rupiah (RM65,109) untuk GR Limited dalam model asas 1.3 MT, sementara 1.3 AT pula berharga 232.2 juta rupiah (RM68,285). Manakala bagi 1.5 MT pula ditawarkan pada harga 232.8 juta rupiah (RM68,461), dengan versi 1.5 AT pula berharga 243.8 juta rupiah (RM71,696).
Anton Jimmi Suwandy, selaku pengarah pemasaran TAM, memberitahu Kompas, GR Limited ditawarkan secara terhad sebanyak 3,700 unit sahaja, dan model ini dilancarkan sempena ulang tahun ke-50 Toyota di Indonesia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.