Selepas desas-desus tentangnya mula berlegar sejak kebelakangan ini, UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini memperkenalkan secara rasmi model SUV RAV4 2020 terbaru untuk pasaran Malaysia. SUV generasi kelima ini bakal menjadi penawaran terbaru dan kembali membawa nama Toyota ke dalam segmen SUV urban — walaupun sebelum ini memang ada Fortuner dan juga Rush; itu cerita lain.

Toyota RAV4 dibangun menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), menuruti model-model lain di Malaysia sebelum ini seperti Corolla, Camry dan C-HR. Untuk sekian lama bagi pasaran tempatan, inilah pesaing yang paling ideal dari Toyota untuk mengimbangi model-model pesaing seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5.

Sekali imbas, saiz RAV4 nampak sedikit lebih besar daripada dua model berkenaan. Dari ukuran dimensi, hal ini memang betul walaupun tidaklah terlalu ketara. RAV4 memiliki 4,600 mm panjang, 1,855 mm lebar dan 1,685 mm tinggi – ini misalnya 16 mm lebih panjang dan 6 mm lebih tinggi berbanding Honda C-RV.

Jarak antara rodanya pula ialah 2,690 mm, iaitu 30 mm lebih panjang berbanding SUV Honda berkenaan. Mazda CX-5 pula hadir dengan saiz yang lebih kecil berbanding C-RV. Apa yang membuatkan RAV4 nampak lebih besar tentunya disebabkan oleh pendekatan rekaan yang diterapkan.

Ia tampil dengan rekaan yang lebih berkotak, nampak lebih berotot. Unsur petak ini bahkan digunakan juga untuk bahagian lengkung roda, dengan garis badan yang lebih jelas terutama pada penawaran warna yang lebih cerah. Ini mungkin perkara yang sedikit sebanyak membezakan penampilan RAV4 berbanding SUV lain dalam pasaran ketika ini.

Untuk enjin, RAV4 menerima dua unit janaan Dynamic Force sebagai pilihan. Kedua-duanya tanpa gesaan turbo, dengan ciri suntikan terus D-4S DOHC serta VVT-iE untuk kemasukan udara manakala VVT-i untuk ekzos. Unit M20A-FKS 2.0L menjana 173 PS dan 207 Nm pada 4,800 rpm, dengan digandingkan bersama transmisi CVT.

Satu lagi pilihan enjin ialah A25A-FKS 2.5L empat-silinder dengan janaan 207 PS dan 243 Nm pada 5,000 rpm. Unit ini dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct-Shift, gandingan yang sama pernah digunakan pada Lexus ES 250 yang ada ketika ini. Kedua-dua sistem transmisi CVT dan 8AT berkenaan datang dengan paddle shifter untuk penukaran gear secara manual. Tiga mod pemanduan juga tersedia – Normal, Eco dan Sport.

Perlu juga dinyatakan bahawa kedua-dua pilihan enjin ini sebenarnya datang dengan penawaran dan senarai kelengkapan yang sama antara varian – hanya berbeza kapasiti enjin dan kombinasi transmisinya sahaja. RAV4 2.0L tidak diberikan senarai kelengkapan yang asas atau kurang berbanding versi 2.5L. Pilihan itu terserah kepada pelanggan; sekiranya anda inginkan enjin yang lebih besar dengan kotak gear 8AT, maka pelanggan perlu membayar RM20k lebih tinggi serta cukai jalan yang juga lebih mahal. Itu sahaja.

Senarai kelengkapan yang dimaksudkan pula sangat banyak. Antaranya, dari segi penampilan, RAV4 datang dengan rim 18-inci lima jejari (tayar Bridgestone Alenza, saiz 225/60), lampu utama LED dengan DRL, lampu belakang LED, lampu dan pengilap cermin automatik serta pintu kargo belakang kuasa elektrik automatik dengan operasi gerak kaki.

Di dalam, konsol tengahnya lebih tinggi dan tempat duduk boleh direndahkan lagi. Hal-hal perincian kemasan juga diberikan tumpuan; hampir semua bahagian separuh atas panel menggunakan material lembut di keliling kabin, papan pemuka dan panel dengan perincian jahitan serta kemasan-kemasan warna cokelat yang dapat dilihat di beberapa bahagian.

Sistem pintar tanpa kunci, meter Optitron (instrumen panel permandu terdiri daripada skrin tujuh-inci yang diapit oleh meter analog di kiri dan kanan), kawalan pendingin dua zon dengan corong belakang, kerusi depan berliang udara, metarial gabungan kulit untuk kerusi, kerusi pemandu larasan lapan-arah dengan sokongan lumbar dan memori, cermin pandang belakang elektrokromik dan brek parkir elektrik dengan ciri HOLD sebagai standard.

Unit utama untuk infotainmen pula menggunakan skrin sentuh DVD tujuh-inci yang disambungkan kepada enam pembesar suara. Sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto tersedia, melalui paparan panoramik 3D, yang membolehkan pemandu meninjau 360-darjah persekitaran kenderaan hanya dengan menekan satu butang. Pengecas tanpa wayar Qi juga disediakan, serta perakam video digital di depan dan belakang juga.

RAV4 juga lengkap dengan Toyota Safety Sense, yang termasuk di dalamnya ciri seperti sistem pra-perlanggaran, amaran penukaran lorong (dengan bantuan stereng dan bantuan mengekalkan lorong), kawalan melayar radar dinamik dan lampu tinggi automatik. Selebihnya, ia juga lengkap dengan tujuh beg udara, kawalan kestabilan dan peninjau titik buta serta peninjau tekanan tayar. UMWT juga menambah filem penapis haba dan sistem telematik.

Enam warna ditawarkan; Red Mica, Silver Metallic, Gray Metallic, Attitude Black, Dark Blue Mica dan White Pearl CS, yang dikenakan caj tambahan RM800. Jaminan kilang ialah selama lima-tahun, tanpa had perbatuan.

Untuk harga pula, RAV4 asalnya diumumkan akan dijual pada harga RM203,880 bagi enjin 2.0L manakala enjin 2.5L pila pada harga RM223,880, atas jalan tidak termasuk insurans. Namun, dengan pengumuman harga tanpa SST untuk tahun ini, yang termasuk juga sebahagiannya bagi kenderaan CBU, SUV ini akan dijual masing-masing pada harga RM196,500 dan RM215,700.

Jika dibandingkan dengan dua pesaingnya di awal tadi, RAV4 memang lebih mahal. Honda C-RV yang paling lengkap, varian 1.5 TC-P 2WD misalnya kini dijual pada harga RM168,465 (RM175,900 dengan SST sebelum ini). Perbezaannya, C-RV merupakan unit pemasangan tempatan (CKD), sementara RAV4 dibawa masuk dari Jepun.

Jadi, apa pandangan anda tentang Toyota RAV4 2020 ini? Adakah ia mampu untuk memberi saingan sengit kepada Honda C-RV dan juga Mazda CX-5? Jika anda perlukan maklumat lanjut berkaitan SUV terbaru daripada Toyota ini, layari juga laman CarBase.my.

Toyota RAV4 2020 2.5L