Toyota Prius C 2021 didedahkan — platform TNGA-B, 1.5L Dynamic Force 3-silinder, bateri bipolar NiMH

Toyota Prius C 2021 didedahkan — platform TNGA-B, 1.5L Dynamic Force 3-silinder, bateri bipolar NiMH

Sudah masuk 10 tahun sejak Toyota mula meluaskan barisan Prius hibrid dengan model Prius C. Ini satu kitaran hayat yang agak panjang bagi sesebuah produk automotif. Namun, berbeza dengan khabar angin sebelum ini, pengeluar kereta dari Jepun itu akhirnya memperkenalkan model generasi keduanya, dengan jolokan “kereta kompak untuk 10 tahun ke depan.”

Menarik tentang perkembangan ini ialah Prius C terbaru tersebut menampilkan perubahan rekaan yang komprehensif, walaupun bentuk umum, penggayaan dan dimensi tidak banyak berubah. Dibangun menggunaan platform segmen B Toyota New Global Architecture (TNGA-B), Prius C ini mempunyai dimensi 4,050 mm panjang dan 1,695 mm lebar. Bagaimanapun, ia kini 30 mm lebih tinggi dengan 1,485 mm, dengan jarak antara roda juga 50 mm lebih panjang dengan 2,600 mm. Menurut Toyota, ini memberikan tambahan keluasan ruang kabin, terutama pada ruang kaki dan ruang barangan.

Sistem janaan hibrid yang ada pada Prius C terbaru ini juga dirombak. Ia menggunakan enjin 1.5 liter Dynamic Force tiga-silinder dalam versi kitara Atkinson — unit sama yang digunakan pada Yaris hatchback dan Yaris Cross SUV — menghasilkan 91 PS pada 5,000 rpm dan 120 Nm tork dari 3,800 hingga 4,800 rpm.

Toyota Prius C 2021 didedahkan — platform TNGA-B, 1.5L Dynamic Force 3-silinder, bateri bipolar NiMH

Enjin ini dipadankan dengan dua elektrik motor dan set gear Toyota Hybrid System II yang sudah teruji, dengan motor yang lebih besar menghasilkan 80 PS dan 141 Nm. Tiada angka janaan gabungan didedahkan setakat ini, tetapi pada Yaris dan Yaris Cross sistem ini menghasilkan 116 PS, 16 PS lebih tinggi berbanding Prius C sebelum ini.

Pembaharuan paling utama ialah pada bateri. Walaupun masih menggunakan sel nickel-metal hydride (NiMH), ia menampilkan penggunaan teknologi bipolar pertama di dunia, menggunakan katod untuk satu sisi bagi setiap pengumpul aliran dan anod di sebelah yang satu lagi. “Elektrod bipolar” ini mengurangkan penggunaan pengumpul aliran dan bahagian lain, menjadikan tindanan sel bateri tersebut lebih kompak.

Elektrod ini mempunyai permukaan aktif yang lebih luas dengan binaan yang ringkas, mengurangkan rintangan dalam bateri itu sendiri. Ini membolehkan aliran yang lebih besar untuk meningkatkan output sekitar 1.5%. Dengan rekaan yang lebih kompak (membolehkan lebih banyak sel dimuatkan), teknologi baru ini membolehkan bateri Prius C ini dua kali ganda lebih berkuasa berbanding model sebelumnya.

Toyota Prius C 2021 didedahkan — platform TNGA-B, 1.5L Dynamic Force 3-silinder, bateri bipolar NiMH

Menurut Toyota, bateri baru ini membolehkan kerata tersebut memberikan maklum balas pendikit yang lebih baik, pecutan lancar dan berkuasa dari kelajuan rendah dan julat peningkatan kelajuan menggunakan pacuan elektrik sendirian. Ini juga membolehkan Prius C memberikan penggunaan minyak gabungan 35.8 km seliter dalam kitaran WLTP, meningkat daripada sekadar 29.8 km seliter sebelum ini.

Di Jepun (dengan menggunakan nama Aqua), kereta ini turut ditawarkan dalam sistem pacuan semua roda E-Four untuk pertama kali, menambah satu lagi motor elektrik di gandar belakang. Model generasi kedua ini juga menampilkan penggunaan pertama kali Comfort Pedal, yang diaktifkan melalui Power+ Mode, yang menambah “regenerative braking” ketika mengangkat kaki dari pedal untuk membolehkan pemanduan melalui satu pedal sahaja.

Rekaan luaran Prius C secara umumnya masih kekal sama dengan yang lama. Bagaimanapun, ada banyak bahagian yang diberikan sentuhan baru, seperti lampu utama LED yang lebih tirus, kerangka bawah gril dalam bentuk U, tiang-C lebih tinggi dan lampu belakang bentuk-C yang bercantum dengan spoiler. Fender belakang juga kini lebih lebar, memberikan penampilan lebih menarik. Juga ada pertambahan warna baru, Clear Beige.

Ruang dalaman pula turut meneruskan pendekatan rekaan di luar, misalnya bahagian papan pemuka yang dirangkum oleh bingkai nipis dan dibalut kulit tiruan, begitu juga pada bahagian panel pintu dan kerusinya (kerus pemandu larasan kuasa elektrik). Prius C juga menjadi model pertama Toyota yang datang dengan skrin sentuh 10.5-inci yang lebih besar untuk infotainmen; glovebox bahagian atas dan juga talam konsol tengah turut tersedia. Outlet kuasa 100-volt AC padanya juga datang standard untuk pasaran Jepun.

Dari sudut keselamatan, Prius C dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense, termasuk brek kecemasan autonomous dengan pengesanan lintasan trafik, kawalan melayar adaptif, bantuan laluan lorong dan kawalan salah-aplikasi pedal. Buat pertama kali, kereta ini juga hadir dengan bantuan parkir dan AEB kelajuan rendah yang kini mengesan objek di kedua-dua sisi.

Prius C sudah mula dijual di Jepun dengan harga bermula 1,980,000 yen (RM76,200) bagi model B paling asas hingga 2,598,000 yen (RM100,000) bagi spesifikasi Z dengan pilihan untuk sistem pacuan semua roda. Toyota mensasarkan jualan 9,800 unit sebulan model ini untuk pasaran di sana.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required