PANDU UJI: BYD Dolphin 2023 – harga macam kereta enjin petrol, sesuai untuk jadi EV pertama anda?

PANDU UJI: BYD Dolphin 2023 – harga macam kereta enjin petrol, sesuai untuk jadi EV pertama anda?

Selain dari kebimbangan berkenaan jarak gerak (range anxiety) dan juga fasiliti untuk mengecas yang masih belum betul-betul matang di Malaysia, harga merupakan satu lagi faktor mengapa kenderaan elektrik penuh (EV) masih lagi belum menjadi popular di kalangan rakyat tempatan.

Namun dengan usaha kerajaan untuk mempromosikan kenderaan yang lebih mesra alam ini dengan pelbagai insentif dalam bentuk potongan cukai, dan sekarang kita boleh tengok harga EV dalam negara dijual jauh lebih murah dari sebelum ini. Lupakan pasal Tesla, kerana walaupun jenama dari Amerika Syarikat berkenaan menjual Model Y dengan harga yang murah tak masuk akal, tawaran RM199k untuk model paling asas itu sebenarnya tidak cukup marhean untuk sekurang-kurangnya dimiliki oleh golongan M40.

Alihkan pandangan anda kepada jenama China iaitu BYD, pemilikan EV nampak lebih masuk akal. BYD melancarkan model pertamanya di Malaysia iaitu Atto 3 pada Disember 2022. Dijual dengan harga bermula RM149,800, SUV EV dengan dalam kelas segmen-C ini menampilkan harga dalam julat yang sama seperti SUV segmen-C berkuasa petrol.

Dan kalau anda rasa Atto masih lagi belum berada dalam radar mampu milik mengikut poket anda, ini dia hatchback EV segmen-B BYD Dolphin yang mula dijual oleh BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM) pada hujung bulan lalu, dengan harga serendah RM99,900 untuk varian asas Dynamic Standard Range, sehingga RM124,900 untuk varian spesifikasi tertinggi Premium Extended Range.

PANDU UJI: BYD Dolphin 2023 – harga macam kereta enjin petrol, sesuai untuk jadi EV pertama anda?

Seminggu selepas model ini dilancarkan, BYD SDM telah menjemput sekumpulan media untuk menguji Dolphin ini, namun hanya dalam satu sesi ringkas dengan perjalanan hampir kesemuanya dalam bandar, dari Plaza Arkadia, Kuala Lumpur ke Putrajaya. Jadi untuk laporan pandu uji kali ini, ia adalah lebih bersifat tanggapan awal kerana banyak faktor lain yang belum sempat kami cuba.

Dari segi saiz, Dolphin dihasilkan dengan panjang 4,290 mm, lebar 1,770 mm lebar, tinggi 1,570 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Jadi Dolphin ini memang berada dalam kelas segmen-B sebenar – ia hanya 55 mm lebih pendek dari Honda City Hatchback, tapi jarak rodanya adalah 100 mm lebih jauh dan 22 mm lebih lebar dari model petrol jenama Jepun itu.

Namun disebabkan lantai Dolphin ini adalah jauh lebih ‘tebal’ dari kereta dengan enjin pembakaran dalam kerana keseluruhan lantainya merupakan bateri untuk kereta ini, ia secara tidak langsung menyebabkan EV segmen-B ini juga perlu direka tinggi, iaitu 82 mm lebih tinggi dari City Hactchback.

Tetapi ini tidak menjadikan Dolphin nampak seperti SUV, dan ia masih tampil sebagai sebuah hachback sejati. Muka hatchback ini menerima rekaan minimalis dengan kemasan gril tanpa liang yang nampak seakan satu unit bersama lampu utama yang mengapit.

Jalur lampu nyalaan siang pada kluster utama juga diberikan pada gril memberikan rupa ringkas tetapi moden. Tipikal sebuah kereta EV yang tidak memerlukan liang udara yang banyak untuk sistem penyejukkan, bampar Dolphin ini juga hanya diberikan liang nipis dibahagian bawah dan tidak mempunyai liang kemasukan udara sisi, ia cuma diberikan kemasan hitam berbentuk-L bagi mengelakkan ia nampak terlalu kosong di bahagian berkenaan.

Agak kontra di bahagian belakang, Dolphin menerima lampu kombinasi belakang dengan rekaan agak futuristik menampilkan kluster nipis merentangi sepenuhnya bersama jalur grafik LED yang nampak seperti renjatan elektrik.

Bagi model Dynamic Standard Range ia menerima rim aloi 16-inci dengan tayar 195/60R16, manakala varian Premium Extended Range pula diberikan rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50R17. Namun disebabkan badan hatchback ini yang tinggi, set-set rim berkenaan masih nampak kecil.

Dan apa yang menarik, bagi varian Premium ia turut menampilkan kemasan warna yang sama pada rim dengan warna badan, dan tayar Linglong Eco Master yang dipadankan kedua-dua varian turut mempunyai grafik ikan Dolfin seakan ia memang direka untuk BYD Dolphin ini.

PANDU UJI: BYD Dolphin 2023 – harga macam kereta enjin petrol, sesuai untuk jadi EV pertama anda?

BYD turut menawarkan pilihan warna badan yang funky untuk Dolphin. Ketika dilancarkan, model Dynamic hadir dengan skema tona tunggal dengan warna-warna pastel seperti Sand White dan Urban Grey. Namun ketika sesi pandu uji ini kami diberikan varian Dynamic dengan warna ungu.

Begitu juga dengan varian Premium, ketika dilancarkan ia ditawarkan dengan warna dua tona iaitu Surf Blue dengan bumbung dan bonet hadapan Urban Grey, Atlantis Grey dengan bumbung dan bonet Delan Black, serta Ski White dengan bumbung depan dan bonet Urban Grey.

Manakala ketika sesi pandu uji ini, varian Premium tampil dengan warna badan merah jambu metalik bersama bumbung dan bonet depan Urban Grey.

Nilai funky ini bukan hanya tampil pada bahagian luaran, ia juga turut diterapkan pada bahagian kabin. Bagi warna badan Urban Grey dan ungu, bahagian kabinnya diberikan tema warna gabungan hitam dan kelabu. Sementara warna badan Sand White pula menerima kabin berwarna coklat dan hitam.

Varian Premium pula lebih ‘meriah’ di mana model dengan warna badan Atlantis Grey dan Ski White menerima kabin kelabu dan hitam, manakala model dengan warna badan Surf Blue menerima kabin biru dan hitam.

Unit dengan warna merah jambu metalik yang kami pandu kali ini nampaknya benar-benar hanya sesuai untuk wanita kerana diberikan kabin dengan warna ungu, kelabu dan Rose Gold. Mujur kami pandu secara berkumpulan. Jika kereta ini dipandu penulis secara bersendirian, entah apa orang mengata.

Dari segi rekaan dalaman, Dolphin menampilkan gaya lain dari yang lain jika anda bandingkan dengan model-model hatchback segmen-B konvensional. Ia diberikan tempat duduk bucket yang agak sporty tetapi selesa, dibalut dengan kulit ‘vegan’ (atau bahasa mudahnya kulit sintetik atau kulit palsu) yang lembut seakan kulit Nappa untuk kedua-dua varian.

Roda stereng rata di bawah pada Dolphin ini agak menarik dengan diameter tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil bersama saiz genggaman yang agak ‘sedap-sedap’. Pemandu dapat memantau segala maklumat pemanduan menerusi panel instrumen digital penuh bersaiz lima-inci.

Skrin instrumen tersebut memang agak kecil, namun bagi penulis ia sudah cukup untuk memberikan segala maklumat yang diperlukan, malah nampak bergaya kerana seakan paparan instrumen kereta lumba. Manakala untuk ‘masuk gear’ D atau R, tiada tombol disediakan dan ia digantikan dengan suis yang diletak bersama suis-suis lain seperti mod pemanduan, pendingin hawa, larasan bunyi audio dan sebagainya di bahagian konsol tengah.

Walaupun banyak rekaan pelik yang tiada pada kereta biasa, BYD Dolphin ini hadir dengan perincian kabin yang begitu ergonomik. Ruang storan misalnya, anda boleh letak barang-barang yang mudah untuk anda capai misalnya kad touch & go atau telefon bimbit di ruang di bawah skrin infotainmen.

Manakala untuk mengecas telefon pintar, ada pad pengecas tanpa wayar (hanya untuk varian Premium) yang diletak pada perehat tangan, atau pada ruang storan bawah konsol tengah yang turut mempunyai slot USB biasa dan USB Type C jika anda perlu mengecas menggunakan kabel. Malah bahagian tersebut turut mempunyai slot kad mikro SD untuk input sistem infotainment dan juga port kuasa 12V.

Seperti yang disebut tadi, bateri untuk Dolphin ini diletak pada sepenuhnya bahagian lantai. Jadi lantai hatchback ini adalah rata sepenuhnya bukan sahaja membolehkan penumpang belakang lebih mudah untuk bergerak dari kiri ke kanan atau sebaliknya, malah ia turut membolehkan satu lagi ruang storan yang agak besar diberikan tersorok di bawah konsol perehat tangan.

Dengan lantai yang tinggi ini juga menjadikan posisi pemanduan seperti memandu sebuah SUV walaupun tempat duduk pemandu sudah direndahkan dengan kedudukan kaki hampir menjulur kehadapan.

Untuk sistem infotainmen, kedua-dua varian Dolphin dilengkapi dengan skrin sesentuh gergasi bersaiz 12.8-inci. Skrin berkenaan benar-benar diposisikan dalam keadaan terapung, dan kalau anda rasa tak suka dengan skrin yang lebar, ia boleh dipusingkan 90 darjah bagi memberikan paparan secara potret (menegak) dengan hanya satu sentuhan.

Skrin ini menyokong fungsi Android Auto dan Apple CarPlay, serta dihubungkan kepada sistem audio dengan enam-pembesar suara. Visual dari kamera panaromik 360 darjah, kamera undur dan juga kamera hadapan juga dipaparkan pada skrin ini.

Dengan kurangnya suis-suis fizikal pada papan pemuka Dolphin ini, bermakna ada pelbagai fungsi kereta yang perlu anda kawal pada skrin gergasi tersebut. Antaranya kawalan suhu dan hembusan sistem pendingin hawa, tetapan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.

Mungkin masih ada yang skeptikal dengan kualiti material-material dalam kabin BYD Dolphin ini kerana ia “made in China” bukan? Bagi penulis, untuk aspek fit & finish tiada apa yang perlu dipertikaikan. Kesemua komponen dipasang dengan solid tanpa pemasangan yang menyakitkan mata.

Ia juga diberikan material sentuhan lembut di kebanyakkan bahagian yang disentuh oleh anggota badan penumpang dan pemandu seperti pada perehat tangan, pemegang pintu dan sekeliling ruang storan konsol tengah dibalut dengan kulit vegan yang sama seperti tempat duduk.

Untuk komponen-komponen plastik, ia nampak seperti corak kain denim dari jauh. Tapi apabila disentuh, ia masih plastik keras biasa yang tidaklah terasa seperti material premium.

Selain dari warna dan pengecas telefon pintar tanpa wayar, tak banyak perincian lain yang membezakan antara varian Dynamic dan Premium dalam kabin Dolphin ini. Antara kelebihan lain yang diberikan pada Premium hanyalah tempat duduk hadapan larasan kuasa bersama liang udara, tingkap berkuasa dengan fungsi auto untuk semua pintu (hanya sebelah pemandu untuk Dynamic) dan juga bumbung suria panaromik. Selain dari itu kelengkapan antara Dynamic dan Premium adalah sama.

Jadi apa lagi yang membezakan varian Dynamic dan Premium ini dengan jarak harga keduanya mencapai RM25,000? Pertama sekali adalah bateri, di mana model Dynamic diberikan bateri Blade LFP (logam lithium fosfat) dengan kapasiti 44.9 kWj. Atas kertas, bateri ini menawarkan jarak gerak 410 km untuk satu cas penuh, mengikut ujian kitaran NEDC.

Ketika penulis diberikan kereta ini tempoh hari, tahap cas bateri berada pada tahap 78% dan anggaran jarak gerak berbaki adalah 320 km. Setelah tiba di Putrajaya dengan jarak perjalanan sejauh 56 km, tahap cas bateri berkurang sehingga 60% dan menunjukkan baki jarak gear sejauh 246 km.

Manakala untuk varian Premium, ia menerima bateri Blade LFP dengan kapasiti lebih besar iaitu 60.48 kWj. Menurut BYD, dengan satu cas penuh bateri ini boleh memberikan jarak gerak sejauh 490 km mengikut ujian kitaran NEDC. Ketika penulis menerima kereta ini pula, bateri berada pada tahap cas 76% dengan baki jarak gerak sejauh 347 km.

Apabila tiba semula di Plaza Arkadia dengan jarak perjalanan 52 km, kadar cas bateri menurun sehingga 61% dengan baki jarak gerak 298 km. Untuk penulis, jarak gerak yang ditawarkan tak kira untuk mana-mana varian sudah cukup untuk kegunaan dalam bandar seperti untuk bergerak ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, ke surau dan sebagainya kerana satu cas penuh baterinya memberikan jarak gerak lebih kurang sama dengan satu tangki petrol Perodua Myvi.

PANDU UJI: BYD Dolphin 2023 – harga macam kereta enjin petrol, sesuai untuk jadi EV pertama anda?

Kedua-dua varian BYD Dolphin ini menerima hanya satu motor elektrik bagi memacu roda hadapan, tetapi ia datang dengan kuasa maksima berbeza. Bagi varian Dynamic, motor yang dibekalkan menghasilkan kuasa 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan tork maksima 180 Nm. Mengikut spesifikasi yang diumumkan oleh BYD, varian ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat.

Untuk varian Premium, motor yang dibekalkan mempunyai kuasa lebih besar iaitu 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 310 Nm. Dengan kuasa sedemikian, Dolphin Premium ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7 saat. Sebagai perbandingan, Volkswagen Golf 1.4 TSi R-Line mencatatkan masa 8.5 saat untuk pecutan sama.

Bukan itu sahaja, varian Premium ini juga menerima sistem suspensi belakang yang lebih baik iaitu menggunakan konfigurasi multilink, berbanding varian Dynamic yang hanya diberikan sistem torsion beam. Walau bagaimanapun kedua-duanya diberikan suspensi jenis topang McPherson untuk bahagian hadapan.

Dari segi pemanduan, motor elektrik pada varian Dynamic dengan tork 180 Nm bermula 0 rpm yang diberikan seakan memberikan tujahan seperti sebuah kereta petrol dengan enjin 1.0L turbo dalam mod sport.

PANDU UJI: BYD Dolphin 2023 – harga macam kereta enjin petrol, sesuai untuk jadi EV pertama anda?

Kalau nak lebih sedap, dah tentu anda perlu pilih varian Premium. Kuasa 204PS/310 Nm yang dibekalkan cukup untuk memberikan rasa seakan enjin petrol 1.5 liter turbo pada hatchback dengan berat sekitar 1.5 tan ini. Dalam mod Sport, sentakan yang diberikan cukup membuatkan anda melekat ke tempat duduk. Jadi untuk pemanduan bandar, penulis rasa adalah lebih sesuai hanya menggunakan mod Eco dan Normal.

Tetapan suspensi pada kedua-dua varian ini adalah lembut dan selesa, tetapi ia masih tidak memberikan daya olengan yang banyak ketika meredah selekoh dalam kelajuan tinggi. Ini kerana bateri yang berat diletak pada keseluruhan lantai sudah cukup untuk memberikan titik graviti yang rendah.

Walau bagaimanapun penulis masih tidak boleh memberikan ulasan penuh berkenaan pengendalian kedua-dua varian ini kerana kami hanya memandu hatchback ini dalam kawasan bandar dan lebuhraya.

Dengan tiada enjin pembakaran dalam, sudah tentu sebuah EV adalah lebih senyap ketika dipandu bukan? Namun bukan semua EV memberikan kadar NVH yang baik ya kerana ada banyak bunyi lain lagi yang menyebabkan kabin bising seperti bunyi angin dan bunyi tayar yang masuk.

PANDU UJI: BYD Dolphin 2023 – harga macam kereta enjin petrol, sesuai untuk jadi EV pertama anda?

Untuk BYD Dolphin ini, kabinnya boleh dikatakan agak senyap kerana bunyi tayar dan bunyi-bunyi lain dapat dikurangkan dari masuk ke dalam. Ketika dipandu dalam kelajuan rendah, ia akan mengeluarkan bunyi seakan motosikal yang menjual aiskrim. Ini adalah untuk memberikan perhatian kepada pejalan kaki, takut-takut mereka tidak perasan akan kehadiran EV ini.

Tiada sebarang masalah praktikaliti untuk BYD Dolphin ini kerana ruang but belakang adalah lebih besar dari Perodua Myvi mahupun Honda City Hatchback dengan kapasiti 345 liter. Tempat duduk belakang juga boleh dilipat bagi membolehkan anda mendapatkan ruang storan lebih besar. Malah BYD turut menyediakan ruang storan tersorok di bawah lantai untuk penyimpanan yang lebih selamat.

Selain dari sistem keselamatan pasif seperti enam-beg udara, kedua-dua varian BYD Dolphin ini turut menerima sistem bantuan pemanduan termaju. Ia termasuk cruise control adaptif (ACC), brek kecemasan automatik (AEB), pemantau titik buta (BSD), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran dan penghindaran penukaran lorong (LCW), bantuan kekal lorong (LKS), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan bantuan kekal lorong kecemasan (ELKA).

Selepas memandu kedua-dua varian hatchback ini, penulis berpendapat Dolphin berbaloi dimiliki bukan hanya kerana ia adalah sebuah EV, malah perincian lain yang diberikan seperti skema warna yang agak funky, skrin yang canggih, kamera-kamera pemantau yang diberikan lebih baik dari model-model lain dengan julat harga yang sama.

Walau bagaimanapun, untuk memilih BYD Dolphin ini sebagai kenderaan utama, anda perlu mengambilkira berkenaan gaya hidup. Jika anda tinggal di rumah jenis landed, rasanya tidak ada masalah untuk anda memasang wallbox persendirian (perlu pastikan juga sistem bekalan elektrik rumah adalah sesuai untuk wallbox berkenaan). Namun jika anda tinggal di kondominium atau rumah pangsa, pemadanan wallbox mungkin agak rumit.

Tempoh mengecas kereta elektrik ini juga tidak sepantas mengisi petrol. Malah jika anda mahu ke tempat yang agak jauh dari bandar, fasiliti mengecas mungkin tak banyak atau tiada langsung. Jadi anda perlu benar-benar merancang perjalanan untuk memandunya keluar dari bandar.

Namun untuk penggunaan dalam bandar, jarak gerak antara 300 hingga 400 km pada BYD Dolphin ini sudah cukup bagus untuk anda gunakan setiap hari.

Untuk lebih perincian berkenaan spesifikasi dan maklumat lain berkenaan BYD Dolphin ini anda boleh baca dalam laporan kami sebelum ini pada PAUTAN INI, dan juga di laman carbase.com.my.

GALERI: BYD Dolphin Premium Extended Range 2023

GALERI: BYD Dolphin Dynamic Standard Range 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required