BYD Dolphin 2023 kini di Malaysia – 44.9 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 490 km; dari RM99,900

BYD Dolphin 2023 kini di Malaysia – 44.9 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 490 km; dari RM99,900

BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, sebahagian daripada Sime Darby Motors) telah pun melancarkan model EV keduanya di pasaran tempatan, hatchback elektrik penuh lima-pintu BYD Dolphin. Seperti SUV EV Atto 3, untuk pasaran Malaysia, Dolphin juga dihadirkan dengan dua varian iaitu Dynamic Standard Range dan Premium Extended Range. Ia ditawarkan dengan harga bermula RM99,900 bagi Dynamic Standard Range, manakala model spesifikasi penuh Premium Extended Range pula berharga dari RM124,900.

Dolphin ini memiliki dimensi berukuran 4,290 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda 2,700 mm. Sebagai perbandingan di dalam segmen hatchback, Honda City Hatchback pula berukuran 4,345 mm panjang, 1,748 mm lebar, 1,488 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,600 mm. Menjadikannya lebih panjang berbanding Dolphin. Manakala jarak kelegaan tanah bagi Dolphin ialah 130 mm.

Kedua-dua varian diberikan motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan. Model asas Dynamic Standard Range diberikan kuasa hingga 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan tork 180 Nm. Ia membolehkan varian ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat. Varian ini juga menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) yang dibangunkan oleh BYD sendiri, dengan kapasiti tenaga 44.9 kWh yang berkeupayaan memberikan jarak 410 km dengan standard NEDC.

Bagi pengecasannya pula, Dynamic Standard Range boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2) dengan kadar maksimum sehingga 60 kW.

Manakala untuk Premium Extended Range pula, ia menerima kapasiti bateri yang lebih besar dengan kapasiti tenaga 60.48 kWh dan ini memberikan jarak perjalanan sehingga 490 km. dengan motor elektrik yang lebih berkuasa yang membekalkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 310 Nm, sekaligus membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam tujuh saat.

Varian tertinggi ini juga menerima pengecas pantas yang sama dengan Dynamic Standard dan juga pengecas pantas DC (CCS2) dengan kadar maksimum sehingga 80 kW. Dengan menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan pada tahap 30%-80% dapat dilakukan dalam 30 minit. Manakala sokongan V2L adalah standard.

Untuk sistem suspensi, kedua-dua varian diberikan topang MacPherson untuk bahagian hadapan, manakala untuk belakang pula, Dynamic Standard Range menerima palang torsion dan Multi-link untuk Premium Extended Range. Bagi sistem brek, kedua-duanya menerima cakera ventilated untuk hadapan dan cakera di belakang.

Bagi luarannya, Dolphin nampak sedikit ringkas di bahagian hadapannya, namun kelihata lebih bergaya pada bahagian belakangnya kerana penampilan jaluran lampu LED yang mempunyai paten tersendiri. Kedua-dua varian dilengkapi dengan ciri standard termasuk lampu utama LED dengan fungsi Follow Me Home dan bantuan lampu tinggi, lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang LED. Dynamic Standard Range diberikan roda aloi 16-inci yang dibaluti tayar profil 195/60 R16, manakala Premium Extended Range pula dengan roda aloi 17-inci dengan tayar profil 205/50 R17.

Begitu juga dengan rekaan bagi bahagian kabinnya, masih kekal ringkas dan tidak sarat dengan ciri kelengkapan dan tidak juga menampilkan rekaan yang futuristik. Ciri standard yang diberikan termasuklah roda stereng tiga-jejari, tempat duduk balutan kulit sintetik dengan larasan manual enam-cara bagi tempat duduk pemandu untuk varian rendah dan automatik bagi model spesifikasi penuh.

BYD Dolphin 2023 kini di Malaysia – 44.9 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 490 km; dari RM99,900

Selain itu, ia juga diberikan sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa automatik, panel instrumen digital lima-inci, cermin pandang belakang dengan fungsi kelam secara manual dan penapis udara PM2.5. Walau bagaimana pun, Premium Extended Range menerima pengecas tanpa wayar untuk telefon pintar, tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan dan bumbung kaca panoramik sebagai ciri tambahan.

Untuk hiburan pula, kedua-dua varian diberikan skrin sesentuh pintar boleh pusing 12.8-inci, enam pembesar suara, navigasi satelit, sokongan Apple CarPlay, bantuan suara dan dua unit port USB (type A + type C) untuk konsol tengah dan dua unit lagi di belakang.

Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian menerima enam beg udara, cagak Isofix, sistem pemantauan tekanan tayar, sistem brek pintar, ABS, EBD, sistem brek parkir elektronik, sistem kawalan cengkaman, kawalan kestabilan elektronik (ESC), amaran membuka pintu, paparan pandangan 360-darjah, penderia parkir ultrasonic untuk hadapan (dua unit) dan belakang (tiga unit).

Bukan itu sahaja, ia juga diberikan sistem keselamatan aktif seperti kawalan kelajuan adaptif (ACC), brek autonomous kecemasan (AEB), peninjau titik buta (BSD), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran dan penghindaran penukaran lorong (LCW), sokongan kekal lorong (LKS), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan bantuan kekal lorong kecemasan (ELKA).

Untuk warna luaran dan dalaman pula, Dynamic Standard Range diberikan dua pilihan iaitu Urban Grey (kelabu + hitam untuk kabin) dan Sand White (coklat + hitam untuk kabin). Manakala Premium Extended Range diberikan tiga pilihan warna iaitu Atlantis Grey dengan padanan Delan Black (kelabu + hitam untuk kabin), Surf Blue dengan Urban Grey (biru + hitam untuk bumbung) dan Ski White dengan Urban Grey (kelabu + hitam untuk kabin). Malahan rekaan dan warna rim juga berbeza mengikut warna luaran.

Hatchback EV ini didatangkan bersama waranti selama enam-tahun atau 150,000 km, dengan waranti bateri pula selama lapan-tahun atau 160,000 km. Kami ulang sekali lagi, ia ditawarkan dengan harga bermula RM99,900 bagi Dynamic Standard Range, manakala model spesifikasi penuh Premium Extended Range pula berharga dari RM124,900.

Bagi yang berminat untuk melihat Dolphin 2023 secara lebih dekat (pastinya juga bersama Atto 3), anda boleh kunjungi acara BYD Ocean Series anjuran BYD SDM pada 28 hingga 30 Julai ini bertempat di kawasan parkir terbuka di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya.

GALERI: BYD Dolphin Dynamic Standard Range

GALERI: BYD Dolphin Premium Extended Range

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required