Honda City Hatchback dilancarkan di M’sia – bermula RM75,670, 1.5L DOHC i-VTEC dan hibrid RS e:HEV

Honda City Hatchback dilancarkan di M’sia – bermula RM75,670, 1.5L DOHC i-VTEC dan hibrid RS e:HEV

Selepas diprebiu bulan lalu, hari ini Honda City Hatchback secara rasmi dilancarkan di Malaysia. Seperti yang sudah diketahui sebelum ini, City Hatchback merupakan pengganti kepada Honda Jazz GK di mana Malaysia bersama pasaran Asia Tenggara lain seperti Thailand dan Indonesia tidak akan menerima Honda Fit/Jazz generasi ke-empat seperti di Jepun dan Eropah.

Secara ringkasnya, model ini merupakan City sedan yang dihasilkan tanpa but belakang. Jadi varian City Hatchback yang ditawarkan di Malaysia ini adalah hampir sama dengan penawaran kembar sedannya – tiga varian dengan enjin petrol 1.5 liter, dan satu varian dengan unit penjana hibrid petrol-elektrik i-MMD.

Ia bermula dengan model asas 1.5 S dijual dengan harga RM75,670 , diikuti varian pertengahan 1.5 E berharga RM83,060, serta varian tertinggi 1.5 V pula berharga RM87,860. Menurut Honda Malaysia, penghantaran untuk pelanggan terawal yang telah menempah City ini akan dibuat pada Januari 2022. Apa yang berbeza, versi harchback ini masih belum ditawarkan dengan varian petrol 1.5 V Sensing seperti sedan.

Honda City Hatchback dilancarkan di M’sia – bermula RM75,670, 1.5L DOHC i-VTEC dan hibrid RS e:HEV

Manakala versi hibrid, City Hatchback hadir dalam tahap kemasan paling sporty iaitu e:HEV RS – sama seperti RS sedan tempoh hari, ia akan mula dijual sedikit lambat iaitu bermula pada awal 2022, dan harganya juga akan diumumkan hampir kepada tarikh ia sampai ke bilik pameran.

Semua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan oleh kerajaan sehingga 30 Jun 2022. Kesemua model menerima perlindungan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan bersama lima servis dengan kos buruh percuma. Model e:HEV RS pula menerima waranti selama lapan-tahun untuk bateri lithium-ion sistem hibrid juga tanpa had perbatuan.

Seperti yang disebutkan tadi, City Hatchback ini dihasilkan dari kembar sedannya dengan hanya membuang but belakang, menjadikan ia 208 mm lebih pendek dengan ukuran panjang 4,345 mm (4,349 dengan bampar RS), dan 21 mm lebih tinggi (1,488 mm). Manakala untuk dimensi lain ia kekal sama dengan sedan iaitu 1,748 mm lebar dan jarak roda 2,589 mm.

Honda City Hatchback RS e:HEV yang hanya akan mula dijual bermula awal tahun hadapan

Berbanding model yang digantikannya iaitu Honda Jazz generasi GK sebelum ini, City Hatchback ini adalah lebih panjang dan lebar, tetapi lebih rendah. Ia juga menampilkan jarak roda 59 mm lebih panjang berbanding Jazz.

Ia juga berkongsi rekaan dalaman yang sama dengan model sedan termasuk papan pemuka, roda stereng dan juga tempat duduk hadapan. Namun City Hatchback ini turut menampilkan konfigurasi Ultra Seat yang sama seperti Jazz, menawarkan empat larasan tempat duduk fleksibel iaitu mod Refresh, Long, Tall dan Utility.

Untuk kesemua varian dengan enjin petrol penuh, ia dijana dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm, bagi menggantikan enjin SOHC i-VTEC pada Jazz GK sebelum ini. Namun ia masih dibekalkan dengan kotak gear CVT automatik bagi memacu roda hadapan.

Ruang enjin City Hatchback 1.5L V (kiri) dan RS e:HEV (kanan)

Manakala untuk City RS e:HEV, ia menerima unit rangkaian kuasa hibird i-MMD (intelligent-Multi Mode Drive) yang terdiri dari enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran-Atkinson berkuasa 98 PS dan tork maksima 127Nm. Ia digandingkan dengan dua motor elektrik iaitu unit motor generator (MGU) yang bertindak sebagai motor penghidup dan pengecas semula bateri hibrid, bersama satu lagi motor utama yang digelar sebagai Traction Motor.

Tiada kotak gear konvensional diberikan pada sistem i-MMD ini kerana kebanyakkan masa termasuk semasa mula bergerak, tayar hadapan dipacu oleh Traction Motor berkenaan yang menyediakan 109 PS dan tork maksima 253 Nm bermula dari 0 rpm, manakala enjin petrol hanya bertugas untuk mengecas bateri lithium-ion.

Namun ia masih diberikan transmisi kelajuan tunggal yang membolehkan enjin petrol memacu roda hadapan ketika cruising. Macam mana sebenarnya sistem i-MMD ini berfungsi? Anda boleh ketahuinya dalam artikel pandu uji kami terhadap City RS e:HEV versi sedan pada PAUTAN INI.

Papan pemuka City Hatchback 1.5L V (kiri) dan RS e:HEV (kanan)

Kelengkapan setiap varian pada City Hatchback ini juga hampir sama seperti kelengkapan yang diberikan pada model sedan. Bagi model asas 1.5 S, ia menerima perincian standard termasuk lampu hadapan projektor halogen dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, rim aloi 15-inci kemasan perak, sistem masuk tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, pendingin hawa manual, upholsteri fabrik, pemain audio biasa dengan hubungan Bluetooth serta empat pembesar suara.

Model pertengahan petrol 1.5 E pula ditambah dengan rim aloi kemasan dua tona, penghidup enjin kawalan jauh, sistem pendingin hawa automatik zon tunggal, pedal penukar gear, cruise control, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 8-inci bersama sokongan Apple Carplay dan Android Auto serta kamera undur.

Manakala model tertinggi dengan enjin petrol 1.5 V pula menerima tambahan perincian seperti lampu hadapan LED sepenuhnya bersama lampu kabus hadapan LED, rim aloi 16-inci kemasan dua tona, upholsteri kulit dengan serlahan jahitan dan paip berwarna putih, kemasan sentuhan lembut berwarna hitam pada papan pemuka serta sistem audio yang menampilkan lapan-pembesar suara.

Kabin City Hatchback 1.5L V (atas) dan RS e:HEV (bawah)

Bagi model e:HEV RS, imej agresif pada varian ini diserlahkan menerusi gril hadapan dan cermin sisi dalam kemasan hitam berkilat, perumah lampu kabus dengan elemen bersirip, serta rim 16-inci dalam kemasan dua-tona. Bahagian kabin model RS ini turut diberikan upholsteri gabungan kulit dan sued, set pedal aloi, pelapik bumbung hitam, pencahayaan merah pada suis kawalan pendingin hawa, serta paparan meter separa digital dengan skrin instrumen tujuh-inci.

Serlahan jahitan benang merah turut diberikan pada roda stereng, papan pemuka, sarung tuil gear bagi memberikan imej lebih sporty pada kabin versi RS ini. Malah, tempat duduk City Hatchback RS ini juga diberikan sedikit fabrik berwarna merah pada setiap sisi tempat duduk hadapan, berbanding hitam sepenuhnya pada sedan RS.

Juga sama seperti sedan, hanya model RS diberikan brek parkir elektronik dan brek cakera pada roda belakang (tuil manual biasa dan brek dram pada roda belakang untuk model petrol). Walau bagaimanapun, hanya varian RS pada City Hatchback ini yang menerima liang pendingin hawa belakang. Pada model sedan, liang penghembus udara sejuk untuk penumpang belakang berkenaan diberikan pada setiap varian secara standard.

Bagi aspek keselamatan pula, City Hatchback pasaran Malaysia ini diberikan standard dengan empat beg udara dan juga sistem kestabilan kenderaan elektronik. Model tertinggi petrol 1.5 V menerima tambahan beg udara tirai (menjadikan enam secara keseluruhan) dan juga kamera titik buta Honda LaneWatch.

Manakala varian e:HEV RS, ia ditambah dengan pakej sistem bantuan pemanduan termaju Honda Sensing. Sistem tersebut memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan arah bentetangan, cruise control adaptif, bantuan pengekal tengah lorong dan lampu tinggi automatik.

Model ini juga menerima servis Honda Connect yang memberikan fungsi seperti pengesan pelanggaran dan penggera automatik, amaran kelajuan dan geofencing, pengesan lokasi kereta dan juga panggilan kecemasan. Sistem ini juga boleh dihubungkan kepada aplikasi pada telefon pintar membolehkan pemilik memeriksa status kenderaan mereka, mengawal pelbagai fungsi dalam jarak jauh serta pengingat untuk servis seterusnya.

Untuk warna pula, lima rona badan ditawarkan termasuk dua warna baharu iaitu Ignite Red and Meteorite Grey Metallic. Tiga warna lagi adalah sama dengan versi sedan iaitu Platinum White, Crystal Black Pearl dan Lunar Silver Metallic. Sama seperti versi sedan, model Hatchback RS hanya ditawarkan dalam tiga warna iaitu merah, putih dan hitam.

GALERI: Honda City Hatchback RS e:HEV

GALERI: Honda City Hatchback 1.5 V

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required