Honda City Hatchback RS dilancarkan di Indonesia – 1.5L i-VTEC, pilihan manual 6-kelajuan dan CVT!

Honda City Hatchback RS dilancarkan di Indonesia – 1.5L i-VTEC, pilihan manual 6-kelajuan dan CVT!

Selepas Thailand yang menjadi tempat kemunculan sulung globalnya, Honda City Hatchback yang menggantikan Honda Jazz untuk pasaran ASEAN kini sudah pun dilancarkan di Indonesia. Namun apa yang menarik, Indonesia masih lagi belum menerima versi sedan City generasi kelima ini seperti apa yang telah pasaran Malaysia terima, sebaliknya diperkenalkan terlebih dahulu dalam versi hatchback ini.

Untuk pasaran Indonesia, City generasi kelima ini tidak menerima enjin 1.0 liter VTEC Turbo seperti Thailand, tetapi diberikan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC sama seperti di City sedan di Malaysia yang menjana 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm. Menurut Honda Prospect Motor (HPM) iaitu pengedar Honda di Indonesia, City Hatchback ini hanya dipasarkan dalam versi RS, dan enjin yang diberikan tersebut adalah yang paling berkuasa dalam kelasnya.

Apa yang menarik lagi, City Hatchback RS ini bukan sahaja ditawarkan dengan kotak gear CVT automatik Earth Dreams Honda, malah pelanggan di Indonesia turut boleh memilih kotak gear enam-kelajuan manual!

Honda City Hatchback RS dilancarkan di Indonesia – 1.5L i-VTEC, pilihan manual 6-kelajuan dan CVT!

Dari segi kelengkapan, RS di Indonesia ini nampak seiras dengan RS yang ditawarkan di Thailand. Pada bahagian luaran, ia menerima imej paling agresif dengan gril, antena sirip yu, spoiler belakang, pembuka pintu, penutup cermin sisi, kemasan diffuser bampar belakang dan juga perumah lampu kabus semuanya dilayangkan dengan warna hitam.

Lampu hadapan, lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang pada City Hatchback RS ini menerima teknologi LED. Manakala kelengkapan lain yang diberikan secara standard termasuk rim aloi 16-inci bersama tayar 185/55R16, sistem kunci pintar, cermin penapis haba, dan juga kamera undur pelbagai sudut.

Pada bahagian dalaman pula, model ini diberikan upholsteri gabungan kulit, sued dan fabrik, tempat duduk hadapan larasan manual, butang penghidup enjin, skrin infotainmen lapan-inci dengan sokongan WebLink dan Apple CarPlay, empat pembesar suara dan juga pendingin hawa zon tunggal.

Honda City Hatchback RS dilancarkan di Indonesia – 1.5L i-VTEC, pilihan manual 6-kelajuan dan CVT!

Model RS ini juga menampilkan tema warna merah-hitam di dalam kabin, termasuk pada panel kawalan pendingin hawa, benang jahitan pada roda stereng yang dibalut kulit, tombol gear dan juga panel instrumen. Tempat duduk Ultra Seat Honda juga masih tampil pada City Hatchback ini seperti yang ditawarkan pada Jazz dahulu, menampilkan pelbagai konfigurasi boleh diatur bagi memaksimakan pengunaan ruang berdasarkan situasi.

Bagi model yang dilengkapkan dengan kotak gear CVT automatik, City Hatchback RS ini turut hadir dengan dua fungsi yang tiada pada model manual iaitu penghidup enjin jarak jauh dan juga pedal penukar gear pada roda stereng.

Untuk ciri keselamatan pula, City Hatchback ini menerima sistem standard seperti enam-beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), bantuan mula mendaki, pengingat pemakaian tali pinggang hadapan, cagak tempat duduk Isofik, dan juga empat penderia parkir belakang.

Enam warna badan ditawarkan untuk City Hatchback RS ini di Indonesia iaitu Phoenix Orange Pearl, Rallye Red, Crystal Black Pearl, Meteoroid Grey Metallic, Lunar Silver Metallic dan Platinum White Pearl. HPM turut terus memperkenalkan barisan aksesori Modulo untuk model ini yang terdiri dari visor pintu, serta kit badan merangkumi spoiler bampar hadapan bersama skirting sisi dan belakang.

Walau bagaimanapun, HPM masih belum mendedahkan harga untuk Honda City Hatchback RS ini dan ia hanya diumumkan pada April nanti. Boleh dijangka, City Hatchback akan mendarat di Malaysia pula selepas ini. Bagaimana dengan anda? Lebih suka Jazz atau City Hatchback ini?


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required