Honda City Hatchback buat kemunculan sulung global di Thailand – 1.0L VTEC Turbo, harga RM81k-RM101k

Honda City Hatchback buat kemunculan sulung global di Thailand – 1.0L VTEC Turbo, harga RM81k-RM101k

Sekarang ia bukan lagi misteri – Honda City Hatchback secara rasmi didedahkan secara rasmi hari ini, dan menandakan pasaran ASEAN termasuk Malaysia kini tidak lagi menerima Honda Jazz. Pelancaran model hatchback ini juga nampaknya genap setahun selepas versi sedannya didedahkan juga di Thailand pada 25 November tahun lalu.

Untuk yang masih tidak tahu, model generasi baharu City sedan masih menggunakan platform dari generasi GM6 sebelum ini, manakala Honda Jazz generasi terkini yang hanya dijual di pasaran Jepun, Eropah dan China sudah tidak ada lagi kaitan dengan City.

Bagi City dalam versi Hatchback yang baru didedahkan ini pula, ia menampilkan rupa yang seiras dari muka hingga pintu belakang, dan perbezaan ketara hanya boleh dilihat pada bahagian but belakang. Pendek kata, Honda kini mengambil terus konsep yang dibuat oleh Toyota dalam menghasilkan sedan Vios dan Yaris pasaran ASEAN.

Untuk pasaran Thailand, Honda City Hatchback ditawarkan dalam tiga varian, atau kurang satu varian berbanding sedan. Model paling asas adalah S+ dijual pada harga 599,000 baht (RM80,776), diikuti model pertengahan SV berharga 675,000 baht (RM91,025). Model tertinggi RS pula dijual pada harga 749,000 baht (RM101,011).

Honda City Hatchback buat kemunculan sulung global di Thailand – 1.0L VTEC Turbo, harga RM81k-RM101k

Oleh itu, model hatchback ini nampaknya lebih mahal dari versi sedan dalam pasaran sama. Di Thailand, Honda City sedan dijual pada harga bermula 579,500 baht (RM78,152) hingga 739,000 baht (RM99,662) model tertinggi RS.

Seperti yang anda boleh lihat, setiap perincian termasuk lampu, bonet dan bampar hadapan sehinggalah kepada garis sisi bermula pada fender hadapan merentasi pintu hingga ke lampu belakang pada hatchback ini adalah sama sepenuhnya seperti versi sedan.

Pintu belakang untuk model hatchback ini masih kelihatan sama seperti sedan, namun bumbungnya ‘ditarik’ lebih kebelakang bagi memolehkan ia separas dengan spoiler, dan membuatkan tiang-C model ini lebih ‘tebal’.

Lampu belakang hatchback ini pula menampilkan rekaan grafik yang seakan sama dengan model sedan, namun sebenarnya ia menggunakan kluster berbeza bagi disesuaikan dengan bahagian belakang lebih bulat. Jika bahagian belakang City sedan nampak seakan BMW 3 Series G20, model hatchback ini pula sekali pandang macam Mercedes-Benz A-Class W177.

Model hatchback ini dihasilkan dengan panjang 4,345 mm (4,349 mm untuk varian RS), atau 208 mm lebih pendek dari model sedan. Lebar dan jarak roda masih sama iaitu masing-masing 1,748 mm dan 2,589 mm, tetapi model ini nampaknya 21 mm lebih tinggi dengan ukuran 1,488 mm.

Rekaan asas untuk kabin hatchback ini juga nampak seiras dengan City sedan. Ia diberikan papan pemuka rekaan sama dilengkapi sistem infotainmen Advanced Touch dengan skrin sesentuh lapan-inci (varian RS sahaja), bersama corong pendingin hawa bersaiz besar.

Di bawah skrin utama tersebut pula menempatkan suis-suis fizikal kawalan pendingin hawa, soket kuasa 12V, port-port USB serta satu ruang storan bersaiz kecil. Di bawah lagi bahagian ini ditempatkan pula dua pemegang cawan yang bersambung dengan konsol tuil penukar gear.

Model petrol sepenuhnya pasaran Thailand ini masih hadir dengan brek parkir manual, di mana konsolnya bersambung dengan satu lagi ruang storan di bawah perehat tangan (varian SV dan RS sahaja).

Honda City Hatchback buat kemunculan sulung global di Thailand – 1.0L VTEC Turbo, harga RM81k-RM101k

Model hatchback ini juga masih menggunakan paparan meter analog untuk semua varian, yang dilengkapi skrin paparan pelbagai info (MID) pada bahagian tengah. Roda stereng dengan rekaan suis dari model sedan juga dibawa terus kepada model hatchback ini.

Walaupun City hatchback ini sudah tiada kaitan dengan Honda Jazz, Honda Thailand masih menghasilkan konfigurasi tempat duduk Ultra pada model ini, dan ia masih tiada pada versi sedan. Susunan tempat duduk tersebut bukan sahaja memberikan ruang kaki lebih besar dari sedan, malah ia turut boleh dilipat dalam mod utiliti, panjang, tinggi dan refresh.

Model hatchback pasaran Thailand ini turut menerima penjana yang sama dengan model sedan dimana kesemua varian diberikan enjin 1.0 liter (998 cc) tiga-silinder VTEC Turbo menghasilkan 122 PS pada takat 5,500 rpm, dan tork maksima 173 Nm bermula 2,000 hingga 4,500 rpm.

Seperti biasa, enjin untuk model pasaran Thailand ini dihasilkan membolehkan ia beroperasi dengan bahan api gasohol E20. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

Honda City Hatchback buat kemunculan sulung global di Thailand – 1.0L VTEC Turbo, harga RM81k-RM101k

Untuk kelengkapan pula, model S+ menerima lampu hadapan projektor, gril kromium, rim aloi 15-inci, bahagian dalaman berwarna hitam, upholsteri fabrik, pendingin hawa manual, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sistem melahu eco, radio standard hubungan Bluetooth, empat pembesar suara, empat beg udara, bantuan kestabilan kenderaan (VSA), bantuan mula mendaki (HSA), brek ABS dan EBD serta cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

Varian pertengahan SV ditambah dengan lampu isyarat membelok pada cermin sisi, tempat duduk balutan kulit, pendingin hawa automatik zon tunggal, pencahayaan putih pada skrin MID, kotak storan pada konsol tengah, skrin infotainmen Advanced Touch serta kamera undur pandangan pelbagai sudut.

Model tertinggi RS pula menerima penggayaan paling sporty dengan kemasan hitam pada gril, antena sirip jerung, spoiler belakang, penutup cermin sisi, elemen diffuser pada bampar belakang dan perumah lampu kabus.

Ia turut diberikan rim aloi 16-inci, upholsteri gabungan sued, fabrik dan kulit, pedal penukar gear, cruise control, pencahayaan merah pada skrin MID, dua soket kuasa tambahan dan perehat tangan untuk penumpang belakang, sistem telematik Honda Connect dan juga tambahan dua beg udara bagi menjadikan enam unit secara keseluruhan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Ada pelik la sikit untuk dua model yang cuma badan je lain:
    Toyota Vios (sedan) lagi mahal dari Yaris (Vios hatchback)
    Honda City (sedan) lagi murah dari City hatchback

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required