Honda Jazz generasi keempat, yang pertama kali didedahkan semasa Tokyo Motor Show 2019 kini telah pun memasuki pasaran China, selepas dipasarkan di Jepun dan Eropah. Jualan awal model ini di China akan bermula Julai ini, sebelum tiba di pusat pameran pada bulan Ogos.

Untuk pasaran China, Jazz akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Sport dan Crosstar, dengan kedua-duanya dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 1.5 liter berkuasa 131 PS (129 hp), dipadankan bersama transmisi CVT untuk menyampaikan kuasa ke roda hadapan.

Pada aspek penampilan, Crosstar yang mempunyai gaya seperti crossover masih kelihatan sama seperti model yang dijual di Jepun dan Eropah, dengan antara keistimewaannya adalah seperti kedudukan lebih tinggi, kemasan plastik pada lengkung roda, rel bumbung bersepadu, gril khas serta rim 16 inci.

Versi yang lebih menarik adalah Sport, di mana ia menggunakan muka hadapan yang lain berbanding Jazz versi Basic, Home, Ness serta Luxe yang dijual di pasaran lain. Rekaan khas untuk pasaran China ini mempunyai gril yang lebih menyerlah serta bampar yang lebih agresif.

Melalui gambar yang diteruma daripada Autohome ini, anda boleh menyaksikan gril versi Sport ini turut datang dengan bahagian dalam bercorak honeycomb. Kalau dibandingkan dengan gril Jazz versi Modulo, rekaan pada versi Sport China ini adalah lebih menonjol.

Satu lagi perbezaan adalah pada bahagian belakang, di mana bamparnya mempunyai kemasan seakan bukaan udara menegak dan diletakkan dengan pemantul cahaya. Bahagian lain termasuk dalam masih lagi kelihatan sama seperti versi panduan sebelah kiri Eropah dan dipasang dengan sistem infotainmen skrin sesentuh, panel instrumen serta pilihan warna yang bersesuaian dengan pasaran itu.