Honda Jazz 2017 dilancarkan di Malaysia – varian 1.5L termasuk Sports Hybrid i-DCD, dari RM74,800

Honda Jazz 2017 dilancarkan di Malaysia – varian 1.5L termasuk Sports Hybrid i-DCD, dari RM74,800

Honda Malaysia membuka tirai 2017 dengan melancarkan crossover tujuh-tempat duduk BR-V pada Januari lalu, diikuti dengan sedan saiz sederhana City 2017 pada Mac.

Terus memacu pasaran automotif tempatan dengan menguasai segmen kereta bukan-nasional, Honda Malaysia kian melangkah cemerlang dengan melancarkan model Jazz 2017 pada hari ini pula. Jika negara jiran, Thailand, menerima lima varian termasuk Sport Hybrid, namun bagi pasaran Malaysia, hanya ditawarkan dengan tiga gred iaitu model asas gred 1.5 S, varian pertengahan 1.5 E dan spesifikasi tertinggi 1.5 V serta 1.5 Sports Hybrid i-DCD.

Bahagian luarannya telah dipertingkatkan dan diberikan suntikan yang lebih segar berbanding model pre-facelift. Ia hadir dengan bampar dan gril rekaan baharu dengan kekemasan hitam, liang kemasukan udara sisi yang direka lebih besar, lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus yang lebih bersegi serta mengekalkan lampu utama reflektor halogen.

Honda Jazz 2017 dilancarkan di Malaysia – varian 1.5L termasuk Sports Hybrid i-DCD, dari RM74,800

Malah ia turut dipadankan dengan rim lima-jejari 16-inci dengan warna baharu iaitu hitam berkilat bagi 1.5 V dan kelabu untuk 1.5 Sport Hybrid i-DCD, manakala rim rekaan baharu pelbagai-jejari 15-inci untuk varian untuk yang lebih rendah. Untuk bahagian belakangnya pula, tidak banyak perubahan dan masih menampilkan elemen yang sama seperti model sebelum ini.

Menjengah bahagian kabinnya pula, Jazz 2017 turut mendapat peningkatan termasuk kamera undur paparan pelbagai sudut dan tempat duduk separa kulit bagi varian tertinggi V (fabrik untuk varian yang lebih rendah) . Bermula model facelift 2017 ini juga, kesemua varian Jazz termasuk varian asas akan diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

Selain itu, bagi varian tertinggi V turut dilengkapi dengan kawalan kelajuan (varian hibrid juga mendapat elemen yang sama) dan pedal penukar gear. Malah kamera undur pelbagai-sudut juga ditampilkan termasuk bagi varian 1.5 E dan 1.5 Sport Hybrid i-DCD. Tambahan elemen bagi varian hibrid pula termasuk panel meter unik dengan paparan hibrid (aliran tenaga, meter sport, paparan Eco), pemilihan gear berlainan (dengan butang S hingga ke butang yang lebih sporty, yang boleh menghentikan mod EV).

Untuk varian 1.5 S pula, ia hanya disertakan dengan unit utama audio standard tanpa skrin-sesentuh, menggantikan unit DIN-tunggal yang lama. Jika varian enjin petrol konversional menerima ruang but seluas 363 liter, tetapi bagi 1.5 Sport Hybrid i-DCD ia hanya 314 liter sahaja dan tidak disertakan dengan tayar simpanan.

Jazz dengan teknologi hibrid baharu menggunakan unit janakuasa yang berbeza dari model generasi sebelumnya. Unit janakuasa yang digelar Sports Hybrid i-DCD berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion yang diletakkan di bawah lantai kargo (bermaksud ia tidak akan mengganggu konfigurasi tempat duduk Ultra). Menurut Honda, gabungan berkenaan menghasilkan kuasa akhir 137 PS, sama seperti kemampuan yang dihasilkan oleh enjin 1.8 liter.

Jazz Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual Clutch Drive) menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan, bukan lagi kotak gear CVT seperti teknologi IMA pada Jazz Hybrid sebelum ini. Transmisi berkenaan bukan sahaja memberikan aliran kuasa yang lebih responsif, malah dengan sistem i-DCD ini, Jazz Hybrid kini boleh dipandu dengan mod elektrik sepenuhnya. Mod EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive akan berubah secara automatik berdasarkan situasi pemanduan ketika itu.

Menurut Honda Malaysia, unit janakuasa Sports Hybrid i-DCD ini telah diuji di Malaysia selama dua tahun – diletakkan pada badan Jazz sedia ada bagi tujuan ujian (sebab itu kehadirannya di Malaysia langsung tidak dapat dikesan). Ini bagi memastikan sistem berkenaan benar-benar sesuai dengan situasi dan keadaan cuaca di negara ini.

Honda Jazz 2017 dilancarkan di Malaysia – varian 1.5L termasuk Sports Hybrid i-DCD, dari RM74,800

Klik untuk besarkan

Bagi sistem mekanikal untuk versi petrol pula, Jazz facelift dikuasakan oleh unit janakuasa sama seperti sebelum ini iaitu enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm bersama transmisi CVT Earth Dreams.

Ciri keselamatan standard yang ditawarkan untuk kesemua varian terdiri daripada enam beg udara kawalan kestabilan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) ABS, Bantuan Brek dan ISOFIX.

Bagi varian utama Jazz 2017 ini, ketiga-tiga varian ditampilkan dengan lima pilihan warna dengan Lunar Silver Metallic sebagai warna baharu, di samping Taffeta White, Carnival Red, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl. Manakala 1.5 Sport Hybrid i-DCD pula ditawarkan dengan tiga warna iaitu dua warna baharu – White Orchid Pearl dengan kos tambahan sebanyak RM300 dan Lunar Silver Metallic serta warna sedia ada; Modern Steel Metallic.

Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan bagi Jazz 2017 ini adalah RM74,800 untuk model asas 1.5 S, RM81,000 untuk model pertengahan 1.5 E, manakala bagi model spesifikasi tertinggi 1.5 V pula RM88,400 dan 1.5 Sport Hybrid i-DCD pula berharga RM87,500. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had. Manakala 1.5 Sport Hybrid i-DCD turut menerima waranti tambahan selama lapan-tahun bagi bateri hibrid.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi dan perincian mengenai Jazz 2017, sila layari CarBase.my.

GALERI: Honda Jazz 1.5 V

GALERI: Honda Jazz 1.5 E

GALERI: Honda Jazz 1.5 Sports Hybrid i-DCD

GALERI: Honda Jazz 1.5 Mugen

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required