BYD Atto 3 EV kini di Malaysia — 49.92 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 480 km, harga dari RM149,800

BYD Atto 3 EV kini di Malaysia — 49.92 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 480 km, harga dari RM149,800

Jenama BYD kini dengan rasminya diperkenalkan di Malaysia, dan pengeluar EV dari China ini sedang mengadakan aktiviti dan pandu uji di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur hujung minggu ini. Model pertama yang dilancarkan di sini ialah BYD Atto 3, sebuah crossover elektrik sepenuhnya.

Pengedar rasminya, BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, sebahagian daripada Sime Darby Motors) menawarkan dua varian Atto 3 di sini: Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), dan Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP).

Varian SR ini dijual pada harga RM149,800 sementara varian ER pula pada harga RM167,800. Harga bagi EV ini dikecualikan daripada duti, dan merupakan harga atas jalan tidak termasuk insurans. Harga akhir ini juga sebenarnya tidak lari jauh daripada jangkaan awal untuk tempahan sebelum ini, iaitu sekitar RM150k-RM170k.

BYD Atto 3 mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar daripada Proton X50. Dengan 4,455 mm panjang dan 1,875 mm lebar, EV BYD ini 125 mm lebih panjang daripada X50, dan 75 mm lebih lebar. Jarak antara rodanya pula ialah 2,720 mm, 120 mm lebih panjang berbanding X50. Ruang butnya pula ialah 440L, 110L lebih besar daripada X50.

Di luar, Atto 3 dilengkapi dengan lampu LED dengan fungsi “Follow Me Home” serta lampu depan adaptif, lampu belakang LED, dengan ciri lampu suasana warna tunggal atau pelbagai mengikut varian. Kelengkapan dalamannya — dengan rekaan futuristik yang menarik — pula terdiri antaranya daripada skrin pintar boleh pusing bersaiz 12.8-inci, Apple CarPlay sambungan wayar dan Android Auto sambungan tanpa wayar, penegcas telefon tanpa wayar dan sistem pintar tanpa kunci.

Keduanya menggunakan bateri Blade EV oleh BYD sendiri, yang disambung kepada sebuah motor elektrik di depan dengan janaan 204 PS/310 Nm. Atto 3 boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2), dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW, mengikut kapasiti baterinya. Dengan input lebih tinggi, kadar pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa 45 minit.

BYD Atto 3 EV kini di Malaysia — 49.92 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 480 km, harga dari RM149,800

Atto 3 menggunakan tetapan suspensi MacPherson strut di depan, dan jenis multilink di belakang untuk lebih keselesaan. Bagi varian SR, ia menggunakan rim aloi 17-inci dengan saiz tayar 215/60, manakala varian ER pula dengan saiz rim 18-inci dengan profil tayar 215/55 R18.

Dari segi keselamatan juga Atto 3 tampil agak lengkap. Ia hadir dengan tujuh beg udara, brek parkir elektrik, enam sensor parkir, sistem pengesan tekanan tayar, ABS dan kawalan kestabilan, sistem kawalan cengkaman, EBD, kawalan menuruni curam, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh dengan Stop & Go, brek kecemasan autonomous (AEB), amaran perlanggaran belakang (RCW), pengesan titik buta (BSD), amaran buka pintu (DOW) dan amaran lintasan trafik di belakang.

Ketika ini, pesaing lain bagi EV penuh peringkat kemasukan seperti ini ialah Hyundai Kona Electric (RM156k-RM208k) dan mungkin juga Hyundai Ioniq 5 versi Lite 58 kWh (RM270k). Selain itu, GWM Ora Good Cat juga sudah dilancarkan bulan lalu, dan dijual pada harga dari RM139,800 hingga RM169,800. Lain-lain EV yang pernah dijual di sini termasuklah Renault Zoe (RM163k) dan juga Nissan Leaf.

Atto 3 didatangkan dalam lima pilihan warna — Ski White, Boulder Grey, Forest Green, Parkour Red dan Surf Blue. Crossover ini didatangkan dengan jaminan selama enam tahun atau 150,000 km, dengan jaminan bateri pula selama lapan tahun atau 160,000 km.

Acara BYD di Bandar Malaysia ini terbuka kepada orang awam bermula esok hingga Ahad nanti. Jadi, luangkan masa dan berkunjung ke sana untuk melihat sendiri Atto 3 ini, serta pameran teknologi lain daripada BYD.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required