GALERI: Renault Zoe Zen R110 – harga dari RM163k

GALERI: Renault Zoe Zen R110 – harga dari RM163k

Pengedar rasmi kenderaan Renault di Malaysia, TC Euro Cars secara diam-diam telah mula mendedahkan harga kereta elektrik Zoe baru dengan memuat naik dua varian untuknya dalam laman web iaitu Zen R110 pada harga RM163,000 dan Intens R135 pada RM175,000.

Model yang tiba di negara kita ini adalah model facelift, yang membuat penampilan global pada Jun 2019, dengan antara perubahan utamanya adalah motor elektrik lebih berkuasa dan kapasiti bateri dipertingkat. Untuk pengetahuan, Zoe bukanlah baru dalam pasaran kita, kerana model sebelum facelift sudah pernah dipasarkan sejak Mac 2016.

Untuk pasaran kita, kedua-dua versi Zoe baru ini dilengkapi dengan bateri Z.E 50 baru dengan kapasiti tenaga 52 kWh. Ini boleh membawa ia bergerak sehingga 395 km bagi Zen R110 dan 386 km bagi Intens R135 (mengikut kitaran WLTP).

Menggunakan pengecas AC dengan sambungan Type 2, bateri Zoe boleh penuh dari kosong dalam masa tiga jam apabila disambungkan kepada pengecas 22 kW, atau 9.5 jam dengan pengecas 7.4 kW. Pengecas pantas DC juga boleh digunakan (dengan sambungan CCS2), dan pada kadar 50 kW, ia akan mengambil masa 70 min untuk menaikkan tahap bateri dari kosong ke 80%.

Pacuan roda hadapan adalah standard untuk kedua-duanya, sementara motor elektrik pada varian asas adalah unit R110 yang mampu menghasilkan 110 PS (80 kW) dan tork 225 Nm, manakala pada varian Intens R135 yang menggunakan motor R135, ia mampu menghasilkan 135 PS (100 kW) dan 245 Nm.

Melalui B-mode, kereta elektrik ini boleh menyediakan pemanduan satu pedal, yang membantu penjanaan semula kuasa lebih baik, sementara mod Eco membantu menjimatkan tenaga dengan mengawal fungsi tertentu kenderaan. Pemandu juga boleh melihat meter Eco yang disediakan untuk memerhatikan penggunaan tenaga.

Dalam muatan ini, anda boleh melihat galeri penuh Zoe Zen R110, yang datang standard dengan lampu utama, lampu DRL dan lampu belakang LED, rim 16 inci, panel instrumen digital 10 inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh Easy Link tujuh inci (sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), enam pembesar suara, balutan fabrik, kawalan pendingin hawa manual, cermin sisi larasan elektrik serta pengesan undur.

Peningkatan menarik yang dilakukan untuk model baru ini adalah kemasukan sistem keselamatan aktif, yang termasuk Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Adaptive High Beam, Stability Control, Traction Control, ABS, Brake Assist, Hill Start Assist dan empat beg udara. Varian Intens R135 kemudiannya mendapat tambahan Blind Spot Warning.

Varian Intens R135 yang merupakan varian tinggi, ditambah dengan kemampuan navigasi luar talian, soket pengecas USB di tempat duduk belakang, pengawal suhu automatik, cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur, pemerhati titik buta, cermin sisi boleh lipat serta pengesan jarak hadapan dan belakang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required