2016-renault-zoe-malaysia-showroom-005_BM

Kereta elektrik sepenuhnya (EV), Renault Zoe kini telah masuk ke pasaran Malaysia, dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran RM145,888. Hatchback lima-pintu segmen-B ini membuat penampilan sulung globalnya pada tahun 2012. Diumumkan tempahannya mula dibuka pada April tahun lalu, kini Zoe telah mula dipamerkan di bilik pameran Renault tempatan.

Zoe secara kasarnya mempunyai dimensi seakan Ford Fiesta. Ia mempunyai panjang 4,084 mm, 1,730 mm lebar dan 1,562 mm tinggi, serta jarak roda yang berukuran 2,588 mm. Zoe EV menawarkan lima tempat duduk, dengan ruang kargo berkapasiti 1,223 liter jika tempat duduk belakang dilipat.

Zoe menampilkan unit janakuasa elektrik sepenuhnya dengan motor elektrik tunggal berkuasa 87 hp pada takat 3,000 hingga 11,300 rpm dan tork 220 Nm bermula seawal 250 hingga 2,500 rpm. Ini membolehkan Zoe mencapai 48 km/j dari kedudukan pegun dalam masa empat saat dan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 13.5 saat. Ia juga boleh mencapai kelajuan maksima 135 km/j.

Motor elektrik Zoe dijana bateri lithium-ion 22 kWh yang diletakkan diatas lantai kereta ini. Tidak seperti pesaing lain, Renault membangunkan kereta ini khas untuk dijana oleh elektrik sepenuhnya, bukan salah satu varian yang mempunyai opsyen enjin petrol atau diesel. Kuasa motor elektrik kereta ini dihantar terus ke roda hadapan melalui kotak gear satu kelajuan.

Zoe dilengkapi pengecas Caméléon yang telah dipatenkan oleh Renault, dimana ia boleh digunakan dengan mana-mana punca kuasa sehingga tahap 43 kW. Ini bermakna anda boleh mengecas Zoe dengan hampir apa jua punca kuasa elektrik, asalkan soketnya sama, cuma tempoh mengecasnya sahaja yang berbeza bergantung pada punca kuasa tersebut.

Berdasarkan pengecas 3.6 kWh, Zoe mengambil masa sembilan jam untuk dicas sepenuhnya. Dengan pengecas pantas 7.0 kWh, cas penuh hanya mengambil masa empat jam. Pengecas Delta pemasangan dinding 3.6 kWh adalah standard didatangkan dengan setiap pembelian Zoe. Dengan bateri yang dicas penuh, Zoe mampu untuk dipandu sejauh 210 km (berdasarkan ujian NEDC).

Renault Zoe menampilkan rekaan luaran yang konvensional yang tidak kelihatan janggal atau kelihatan seperti kapal angkasa berbanding kereta janaan bahan api fosil yang lain. Kemasan biru elektrik adalah satu-satunya petunjuk yang ia adalah sebuah kereta elektrik sepenuhnya. Bahagian luaran kereta ini dibekalkan secara standard dengan lampu hadapan halogen, lampu belakang kombinasi LED dan roda aloi 16-inci. Buat masa sekarang, hanya warna Putih Glasier ditawarkan untuk Zoe.

Bahagian dalaman pula, Zoe direka seiras dengan Renault Clio. Ia menawarkan tempat duduk balutan fabrik, paparan skrin sesentuh tujuh-inci R-Link Renault, sistem audio 3D enam-pembesar suara Arkamys, penghawa dingin zon tunggal, butang penghidup tekan dan monitor paparan panel instrumen LCD sepenuhya. Ia juga mempunyai hab penyambungan USB, operasi handsfree Bluetooth dan juga soket kuasa 12-volt.

Untuk ciri keselamatan, Zoe menawarkan empat beg udara, ABS, EBD, ESC, dan ASR serta tali pinggang keledar hadapan dengan pretensioner . Tempat duduk belakang dan tempat duduk penumpang hadapan juga dilengkapi dengan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

Dengan setiap pembelian Renault Zoe, waranti pengeluar tiga tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dahulu) adalah standard. Manakala untuk bateri dan unit janakuasa elektrik pula dilindungi dengan waranti lima tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dahulu).

Untuk info lanjut berkenaan Renault Zoe, anda boleh lawati Carbase.my