Dongfeng 008 dipertontonkan di Malaysia – EV dengan 6-tempat duduk, jarak gerak hingga 520 km ikut WLTP

Selain mempertontonkan Dongfeng MHero II dan Voyah Dream, Dongfeng Malaysia turut mengambil kesempatan menayang model 008 di mana ketiga-tiganya model ini juga akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. 008 ini merupakan MPV yang diberikan gaya ala SUV, diberikan dua versi iaitu REEV dan EV serta dengan pilihan lima- dan enam-tempat duduk. Cuma untuk pasaran Malaysia, ia masih belum dimaklumkan versi mana yang bakal dijual di sini.

Cuma model yang dipertontonkan di sini merupakan versi EV unit pemanduan sebelah-kiri dengan kapasiti enam-tempat duduk, walau bagaimana pun tidak diketahui adakah versi ini yang akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Juga belum dikhabarkan bila ia akan dilancarkan di sini. Semuanya masih dirahsiakan.

Walau bagaimana pun, untuk kedua-dua versi lima- dan enam-tempat duduk untuk varian REEV dan EV, ia berkongsi ukuran dimensi yang sama iaitu 5,002 mm panjang, 1,972 mm lebar, dan 1,732 mm tinggi dengan jarak roda 3,025 mm. Ya besar, lebih kurang sama dengan Audi Q7.

Dongfeng 008 dipertontonkan di Malaysia – EV dengan 6-tempat duduk, jarak gerak hingga 520 km ikut WLTPc

Rekaan luarannya menarik tetapi agak umum ini dan ia menampilkan lampu hadapan LED mendatar bertitik seperti permata, berbanding bar cahaya ‘padu’ yang biasa digunakan. Elemen reka bentuk yang sama turut diterapkan pada bahagian belakang. Roda yang dipaparkan di sini adalah bersaiz 21 inci, memberikan gambaran tentang betapa besarnya model 008 ini.

Untuk bahagian kabinnya, ia menampilkan ruang bertaraf kelas terbaik dengan kadar penggunaan ruang sebanyak 78.2% – model 008 menampilkan ciri-ciri seperti sebuah kereta mewah China berprestasi tinggi dan dilengkapi dengan ciri-ciri setanding. Ia mempunyai panel meter digital bersaiz 8.8-inci, cermin pandang belakang digital 9.2-inci serta skrin sentuh 15.6-inci yang mengawal hampir keseluruhan fungsi kenderaan.

Penumpang VIP di bahagian belakang pula menikmati skrin hiburan belakang bersaiz 15.6-inci serta peti sejuk kecil yang dibuka seperti laci di bawah konsol tengah hadapan. Tempat duduk dilengkapi fungsi pemanas dan pengudaraan, selain pencahayaan ambien 64 warna, pengecasan tanpa wayar 50W serta sistem audio dengan 20 pembesar suara termasuk pembesar suara pada perehat kepala dan penguat bunyi.

Dongfeng 008 dipertontonkan di Malaysia – EV dengan 6-tempat duduk, jarak gerak hingga 520 km ikut WLTP

Bagi EV 008 ini, dikuasakan oleh motor elektrik yang dipasang di belakang dengan hamburan 272 PS (200 kW) dan 340 Nm yang dicas oleh pek bateri 82.28 kWh, Unit LFP ini boleh mencapai status pengecasan dari 30% hingga 80% dalam 28 minit dan memberikan jarak gerak hingga 636 km mengikut CLTC, atau lebih realistik sekitar 520 km jika mengikut WLTP.

Di China, versi REEV diberikan enjin 1.5 liter turbo dengan hamburan kuasa 147 PS dan tork 210 Nm yang mengecas bateri LFP 34.32 kWh, dan ia mampu memberikan jarak hingga 210 km (CLTC) sekiranya menggunakan EV sepenuhnya dan kombinasi jarak hingga 1,300 km serta mengambil masa sekitar 26 minit untuk mengecasnya antara 30-80%.