Nissan akhirnya melancarkan Kicks generasi kedua di pasaran Jepun, kira-kira dua tahun selepas model tersebut membuat penampilan sulung di Amerika Syarikat. Berbeza dengan generasi terdahulu yang diimport dari Thailand, model baru berkod P16 ini dipasang di kilang Oppama milik Nissan di Jepun. Kilang di Samut Prakan, Thailand pula masih meneruskan pengeluaran versi facelift Kicks generasi pertama (P15).
Menariknya, pasaran Jepun menjadi satu-satunya pasaran yang menerima sistem hibrid e-Power untuk Kicks baru ini. Sistem tersebut menggunakan motor elektrik hadapan yang menghasilkan 143 PS dan 315 Nm tork, digandingkan dengan enjin tiga silinder 1.4 liter suntikan terus HR14DDe yang diambil daripada Serena e-Power. Enjin berkenaan berfungsi sepenuhnya sebagai penjana kuasa dan menghasilkan 98 PS serta 115 Nm tork pada 6,000 rpm.
Menurut Nissan, sistem e-Power generasi ketiga ini lebih kompak berbanding sebelumnya hasil penggunaan unit rangkaian kuasa elektrik lima-dalam-satu yang menggabungkan motor, penjana, inverter, pengurang dan pengganda gear dalam satu modul.
Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan berat keseluruhan sistem, malah meningkatkan tahap kekukuhan struktur. Buat pertama kali juga, Kicks ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda e-4orce yang menambah motor elektrik kedua pada gandar belakang dengan kuasa 68 PS dan tork 140 Nm.
Kicks baru dibangunkan menggunakan platform Common Modular Family-B (CMF-B) yang turut digunakan oleh Note. Nissan mendakwa model ini mempunyai struktur badan yang lebih kukuh serta sistem suspensi yang dipertingkatkan bagi memberikan pengendalian lebih stabil dan tahap getaran yang lebih rendah ketika melalui permukaan jalan tidak rata.
Bagi varian e-4orce, sistem tersebut turut menggabungkan teknologi torque vectoring melalui brek serta mod pemanduan Snow baru yang direka untuk meningkatkan keyakinan pemandu ketika memandu di atas permukaan licin atau bersalji.
Walaupun masih berada dalam segmen B, dimensi Kicks generasi kedua meningkat dengan ketara. Model ini berukuran 4,365 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,615 mm tinggi, menjadikannya 75 mm lebih panjang, 40 mm lebih lebar dan 10 mm lebih tinggi berbanding model terdahulu.
Jarak roda juga meningkat sebanyak 35 mm kepada 2,655 mm. Pertambahan saiz ini membolehkan ruang bahu dan ruang kaki penumpang belakang menjadi lebih luas, selain menawarkan ruang kargo yang lebih besar.
Dari segi rekaan, Kicks baru mengekalkan penampilan yang sama seperti versi pasaran Amerika Syarikat. Bahagian hadapan tampil lebih garang menerusi gril bersaiz besar yang digabungkan dengan lampu nyalaan siang tiga lapis dan lampu utama yang lebih tirus.
Profil sisi pula menampilkan rekaan yang lebih tegap dengan lengkungan fender yang jelas, manakala garisan tingkap belakang yang menaik ke arah tiang-D berwarna hitam menghasilkan efek bumbung terapung yang semakin popular dalam industri automotif. Tiang-D tersebut turut dihiasi logo kecil “Kicks” sebagai identiti model.
Di bahagian belakang, lampu berbentuk L dengan rekaan bertingkat menyerlahkan lagi identiti moden Kicks baru. Nissan turut memperkenalkan warna luaran baru dikenali sebagai Resonance Blue yang dikatakan melambangkan imej teknologi e-Power yang bersih dan maju.
Salah satu ciri unik untuk pasaran Jepun ialah penggunaan kemasan badan warna hitam berkilat pada varian tertinggi. Varian lain pula menggunakan kemasan plastik dengan corak tiga dimensi yang diinspirasikan daripada reka bentuk kasut sukan. Jarak kelegaan tanah model Jepun ini ialah 170 mm, lebih rendah berbanding versi yang dipasarkan di Amerika Syarikat.
Ruang kabin Kicks generasi kedua direka dengan konsep yang memberikan suasana lebih selesa dan menyelubungi penumpang. Buat pertama kali, tempat duduk hadapan dan belakang menggunakan teknologi Zero Gravity yang direka untuk meningkatkan keselesaan dalam perjalanan jauh.
Papan pemuka menampilkan reka bentuk yang lebih minimalis dengan gabungan kemasan fabrik dan kulit tiruan. Fokus utama kabin ialah paparan skrin lebar yang menggabungkan panel instrumen digital 12.3 inci bersama skrin infotainmen 12.3 inci yang dilengkapi perkhidmatan Google binaan dalam.
Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk sistem audio Bose Personal Plus dengan 10 pembesar suara termasuk unit yang dipasang pada penyandar kepala tempat duduk hadapan, kawalan pendingin udara sentuhan kapasitif serta bumbung kaca panoramik. Nissan turut menambah baik rekaan bumbung panoramik tersebut dengan mekanisme gelongsor baru yang membantu mengurangkan bunyi angin ketika dibuka.
Selain itu, pemegang cawan direka untuk memuatkan bekas minuman bersaiz besar, manakala ruang penyimpanan pada panel pintu juga mampu menempatkan botol atau tumbler yang lebih besar.
Dari sudut keselamatan, Kicks terus dilengkapi pakej bantuan pemanduan ProPilot yang menawarkan fungsi pemanduan separa autonomous Tahap 2. Sistem brek kecemasan automatik turut dipertingkatkan dengan keupayaan pengesanan pejalan kaki, kenderaan dari arah bertentangan dan trafik melintas di persimpangan yang lebih baik.
Turut ditawarkan ialah sistem amaran titik buta dengan fungsi pencegahan pelanggaran, amaran trafik lintas belakang serta kamera 360 darjah yang kini dilengkapi paparan baru seperti fungsi “bonet lutsinar” dan pandangan tiga dimensi.
Bagi pasaran Malaysia, kemungkinan besar Edaran Tan Chong Motor (ETCM) akan memberi tumpuan kepada Nissan Kicks P15 versi facelift yang baru dilancarkan di Thailand awal tahun ini. Ini kerana model Kicks yang dipasarkan di negara kita ketika ini diimport dari Thailand.




