Kementerian Pengangkutan (MoT) mengumumkan satu lagi cadangan penting dalam siri pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang bertujuan memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti lumba haram dan kesalahan memandu melebihi had laju. Ia akan dibentangkan di Parlimen pada 22 Jun depan.
Menurut kementerian, Seksyen 42A (Lumba Haram) baru akan diperkenalkan, dan melaluinya, perbuatan berlumba atau menduga kelajuan itu sendiri dianggap satu kesalahan, meskipun tiada kemalangan.
Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilaporkan berdepan kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap sesetengah pesalah sekiranya perbuatan mereka tidak menyebabkan kemalangan atau tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
Melalui pindaan baru ini, kerajaan berhasrat memastikan aktiviti lumba haram dan pemanduan melebihi had laju dapat ditangani dengan lebih tegas tanpa perlu menunggu sehingga berlaku insiden yang mengakibatkan kecederaan atau kematian.
Antara hukuman yang akan diperkenalkan dalam Seksyen 42A adalah termasuk denda tidak kurang RM2,000, tidak lebih RM10,000, atau penjara tidak lebih 2 tahun, atau kedua-duanya untuk sabitan pertama, dan denda tidak kurang RM5,000, tidak lebih RM20,000, atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya untuk sabitan kedua.
Kementerian turut menegaskan bahawa pendekatan sifar toleransi akan diterapkan terhadap kesalahan perlumbaan jalanan dan memandu laju. Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya.


