SUV segmen-C Volkswagen Tiguan generasi kedua akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, setelah ianya diprebiu buat pertama kali bulan lalu. Model yang membuat kemunculan sulung pada peringkat global pada tahun 2015 ini hadir ke pasaran Malaysia dalam versi pemasangan tempatan (CKD) – SUV pertama jenama tersebut yang di pasang dikilang DRB-Hicom Pekan, Pahang.

Untuk pasaran Malaysia, Tiguan ditawarkan dengan dua varian berbeza iaitu Comfortline dan Highline. Ia dibina berasaskan platform modular MQB Volkswagen, asas yang sama digunakan pada Golf Mk7. Dimensi model baharu ini lebih besar berbanding Tiguan sebelum ini, iaitu 60 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan jarak roda 77 mm lebih panjang. Walaupun saiz SUV ini kini bertambah, beratnya masih dapat dikurangkan sebanyak 50 kg dengan penggunaan pelbagai teknologi baharu.

Penampilannya kini lebih ‘tajam’, lebih lebar dan dibina 33 mm lebih rendah berbanding model sebelumnya, membuatkan ia kelihatan lebih kepada sebuah kereta berbanding SUV. Ruang but juga direka 145 liter lebih besar, menjadi 615 liter, atau 1,655 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Tempat duduk penumpang hadapan boleh dibaringkan sehingga rata kehadapan, membolehkan kabin diisi dengan muatan yang benar-benar panjang. Di belakang tempat duduk hadapan pula diberikan meja lipat seperti pada kabin kapal terbang untuk digunakan oleh penumpang belakang.

Kedua-dua varian Tiguan dijana oleh enjin TSI 1.4 liter berkuasa 150 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 rpm hingga 3,500 rpm. Kuasa dialirkan kepada transmisi klac berkembar jenis basah enam-kelajuan automatik DSG, memacu roda hadapan. Padanan ini memberikan penggunaan bahan api 6.7 L/100 km, membolehkan Tiguan mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) untuk pasaran Malaysia.

Pada bahagian luaran, Comfortline dan Highline dibezakan dengan berberapa perincian. Untuk varian Comfortline,ia diberikan lampu hadapan halogen biasa, gril dengan kemasan krom pada baris bawah sahaja, rel bumbung berwarna hitam, penderia parkir hadapan dan belakang, serta rim ‘Montana’ 17-inci.

Bagi varian Highline pula, ia diberikan lampu hadapan lebih canggih dengan sistem LED bersama lampu nyalaan siang LED bina dalam berserta sistem Dynamic Conering Assist. Gril hadapan pula menerima kemasan krom pada kedua-dua tingkat jalur dan rel bumbung hadir dengan kemasan berwarna perak, manakala pada bahagian roda ia diberikan rim ‘Kingston’ 18-inci. Varian tertinggi ini turut diberikan bukaan pintu tailgate belakang dengan bantuan elektrik, di mana sudut bukaannya juga boleh dilaras.

Kedua-dua varian menerima lampu dan pengelap cermin automatik serta lampu belakang LED. Pada bahagian dalaman, kedua-duanya diberikan pedal penukar gear, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, roda stereng pelbagai fungsi tiga jejari rata dibawah balutan kulit serta sistem audio dengan skrin sesentuh lapan-inci dihubungkan kepada lapan pembesar suara.

Untuk varian Comfortline, ia diberikan paparan instrumen analog bersama paparan pelbagai informasi berwarna pada bahagian tengah, sistem infotaimenya tidak dilengkapi dengan sistem navigasi serta upholsteri pula diberikan fabrik ‘Rhombus’.

Untuk varian tertinggi Highline pula, paparan instrumen digital 12.3-inci Active Info Display diberikan menggantikan instrumen analog biasa. Sistem infotaimen Discover Media pada varian ini turut dilengkapi sistem navigasi serta boleh menyokong fungsi App-Connect yang memberikan hubungan Apple Carplay dan Android Auto (ditawarkan secara opsyen dengan harga promosi RM699 berbanding harga asal RM1,099).

Ciri lain yang turut diberikan termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sistem penghawa dingin tiga-zon (kawalan berasingan pada kabin belakang), Bantuan Parkir 3.0 (sokongan parkir secara menegak dan selari), kamera undur, lampu suasana, tempat duduk pemandu larasan berkuasa (dengan tiga set memori) serta upholsteri balutan kulit ‘Vienna’.

Untuk keselamatan, Tiguan dilengkapi enam-beg udara, Driver Alert System, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), ABS bersama bantuan brek dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

Volkswagen Tiguan ditawarkan dalam lima warna berbeza iaitu Deep Black, Pure White, Atlantic Blue, Indium Grey dan Tungsten Silver. Ia dijual pada harga bermula RM148,990 untuk varian Comfortline, manakala varian tertinggi Highline pula dijual pada harga RM168,990.

Setiap pembelian turut disertakan sekali dengan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. Khas untuk pembeli terawal, Volkswagen Passengger Car Malaysia (VPCM) turut menawarkan potongan harga sebanyak RM7,000.

Kami telah memandu uji kedua-dua varian Tiguan ini dalam satu sesi pemanduan media sebelum ia dilancarkan dan ulasannya bakal disiarkan tidak lama lagi. Sementara itu jika anda mahu melihat spesifikasi lebih lengkap SUV ini dan membandingkannya dengan model lain, anda boleh layari laman Carbase.my.

GALERI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI Highline

GALERI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI Comfortline